Pengguna TikTok, Jay Ish’haq Rajoo, telah dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) kerana membuat kenyataan palsu berhubung sokongan pemerintah bagi Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina dalam satu kiriman video yang diterbitkan pada 26 Ogos.
Ia telah dikeluarkan di bawah arahan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, pada 7 September.
Dalam kiriman videonya di TikTok itu, Encik Jay, antara lain, telah menyatakan bahawa Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, telah mengumumkan bahawa pemerintah akan memberi wang dan sumber untuk menarik warga China ke Singapura, dan memupuk mereka bagi jawatan kepimpinan.
Dakwaan ini disangkal Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan pada 7 September.
Encik Chee, yang merupakan Pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina, telah memperkenalkan Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina itu pada 20 Ogos.
Encik Jay juga menyatakan pemerintah menggunakan wang dan sumber untuk memupuk pemimpin hanya daripada kaum Cina.
Membidas kenyataan palsu tersebut, MCCY berkata:
“Kenyataan fakta palsu yang dibuat oleh Encik Jay ini menyebabkan salah faham yang serius dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap komitmen pemerintah dalam memenuhi kepentingan Singapura dan rakyat Singapura, tidak kira bangsa, bahasa atau agama.
“Demi melindungi kepercayaan awam dan memastikan fakta yang tepat disampaikan, pihak kementerian telah mengeluarkan Arahan Pembetulan Pofma kepada Encik Jay.”
Membentangkan fakta kes, MCCY berkata hanya rakyat Singapura yang aktif dalam masyarakat dan telah menunjukkan semangat untuk berkhidmat layak bagi Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina itu.
Rakyat negara lain tidak layak bagi kursus itu, dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) akan mengendalikan pemilihan peserta, yang akan dicalonkan suku kaum Cina dan kumpulan perniagaan tempatan, tambah kementerian itu.
“Inisiatif tersebut adalah sebahagian gerakan lebih besar untuk memupuk pemimpin muda dari semua kaum di Singapura, dan memperkukuh saluran kepimpinan dalam pertubuhan masyarakat kita,” kata MCCY.
MCCY turut memberi contoh beberapa program lain bagi masyarakat Melayu dan India yang disokong pemerintah – program Tunas Bersama M³ oleh Yayasan Mendaki, dan Program Pemimpin Muda oleh Kelab Belia Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Di samping itu, Majlis Belia Kebangsaan (NYC) juga mengendalikan program untuk membangun pemimpin muda, yang dibuka kepada belia dari semua kaum dan latar belakang. Serupa dengan itu, Kor Belia Singapura juga mengasuh belia untuk berkhidmat dan memimpin masyarakat mereka, kata MCCY.
Pemeriksaan Berita Harian mendapati bahawa Encik Jay telah memuat naik kiriman mengenai arahan pembetulan itu di akaun TikToknya. Video berhubung Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina itu pula didapati telah dipadamkan.
Arahan pembetulan itu memerlukan Encik Jay memuat naik kiriman baru, dengan pautan kepada penjelasan pemerintah ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg