NEW YORK: Datuk Bandar baru New York City, Encik Zohran Kwame Mamdani, mencatat sejarah pada 1 Januari apabila mengangkat sumpah jawatan menggunakan dua naskhah Al-Quran, menjadikan beliau datuk bandar Muslim pertama bandar terbesar di Amerika Syarikat itu.
Upacara angkat sumpah yang berlangsung di hadapan City Hall itu menyaksikan Encik Mamdani, 34 tahun, meletakkan tangannya di atas dua Al-Quran yang masing-masing dimiliki oleh datuknya dan Encik Arturo Schomburg, tokoh penulis serta sejarawan kulit hitam yang berpengaruh.
Selepas itu, seorang imam mengetuai doa, sekali gus meletakkan identiti keagamaan Mamdani di tengah-tengah perhatian awam sejak hari pertama pentadbirannya.
Walaupun Perlembagaan Amerika Syarikat tidak mewajibkan sumpah jawatan menggunakan kitab agama tertentu, kebanyakan pemimpin politik di negara itu lazimnya menggunakan kitan Injil Kristian. Tindakan Encik Mamdani memilih Al-Quran dianggap simbolik oleh penyokongnya, tetapi turut mencetuskan kritikan keras dan serangan berbaur Islamofobia daripada kelompok konservatif.
Menurut laporan The New York Times, Encik Mamdani sebelum ini pernah dinasihatkan supaya tidak menonjolkan identiti Muslimnya ketika bertanding jawatan awam. Namun beliau menolak pandangan itu dan memilih untuk tampil secara terbuka dengan pegangan agamanya. “Saya tidak akan menyembunyikan siapa diri saya untuk diterima,” kata Mamdani dalam kenyataan sebelum ini.
Pemilihan beliau sebagai datuk bandar turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong kuat Israel, khususnya kerana pendirian tegas Mamdani yang menyokong hak rakyat Palestin serta penentangannya terhadap kewujudan Israel sebagai negara Yahudi.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, media sosial dibanjiri meme dan hantaran yang cuba mengaitkan Encik Mamdani dengan serangan 11 September 2001 hanya kerana persamaan agama. Ahli Kongres Republikan, Elise Stefanik, berulang kali dan tanpa bukti melabel Mamdani sebagai “jihadis”. Sementara itu, aktivis sayap kanan Laura Loomer, yang menggelarkan dirinya sebagai “Islamofob tegar”, mendakwa New York akan diperintah mengikut undang-undang syariah.
Senator Republikan dari Alabama, Tommy Tuberville, turut mencetuskan kontroversi apabila menulis di media sosial: “Musuh berada di dalam pintu pagar,” sebaik mengetahui Mamdani mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran.
Doa yang mengetuai upacara awam itu disampaikan oleh Imam Khalid Latif, Pengarah Eksekutif dan pengasas bersama Pusat Islam New York City, yang juga dilantik sebagai pendeta Polis New York sejak 2007. Dalam doanya, Encik Latif menekankan peranan pemerintah sebagai pelindung rakyat biasa.
“Jangan biarkan beliau lupa bahawa jawatan ini wujud untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mengatasi mereka,” kata Encik Latif. “Biarlah tiada siapa perlu memilih antara sewa rumah dan maruah, antara ubat dan makanan, antara terus tinggal atau sekadar bertahan hidup,” tambahnya. “Dasar mesti dibentuk oleh belas ihsan, dan belanjawan mencerminkan nilai kita.”
Dalam ucapan sulungnya sebagai datuk bandar di hadapan ribuan hadirin yang berdepan cuaca sejuk, Encik Mamdani berikrar untuk melaksanakan agenda kemampuan hidup dan menolak pendekatan “menurunkan jangkaan” terhadap peranan pemerintah.
“Satu-satunya jangkaan yang mahu saya ubah ialah jangkaan yang terlalu kecil,” katanya. “Mulai hari ini (1 januari), kita akan mentadbir secara berani dan meluas.” Beliau turut menegaskan akan mentadbir sebagai seorang sosialis demokratik, selari dengan mandat pengundi.
“Saya dipilih sebagai seorang sosialis demokratik dan saya akan mentadbir sebagai seorang sosialis demokratik,” katanya. “Kepada mereka yang memandang pentadbiran ini dengan curiga atau rasa tidak senang, saya berjanji: jika anda warga New York, saya ialah datuk bandar anda.”
Upacara itu turut diserikan kehadiran tokoh progresif nasional, termasuk Ahli Kongres Cik Alexandria Ocasio-Cortez yang menyampaikan ucapan pembukaan, serta Senator Bernie Sanders yang memimpin istiadat angkat sumpah jawatan.
“New York, terima kasih kerana memberi inspirasi kepada negara ini,” kata Encik Sanders. “Terima kasih kerana memberi kami harapan bahawa pemerintah boleh berfungsi untuk semua, bukan hanya untuk golongan kaya dan berkuasa.”
Selesai majlis, Encik Mamdani bergerak ke Brooklyn untuk mengumumkan beberapa perintah eksekutif, termasuk pembatalan semua perintah yang dikeluarkan selepas 26 September 2024, tarikh pendakwaan bekas datuk bandar Encik Eric Adams. “Itulah tarikh ramai warga New York mula merasakan politik tidak lagi membawa makna untuk mereka,” katanya dalam sidang media.
Kemunculan Encik Mamdani mencerminkan perubahan generasi dan landskap politik New York yang semakin progresif. Beliau ialah datuk bandar milenial pertama, datuk bandar Asia Selatan pertama, dan yang termuda dalam tempoh satu abad. Namun, beliau juga berdepan cabaran besar, termasuk kekurangan pengalaman pentadbiran dan agenda bercita-cita tinggi yang dianggarkan menelan kos AS$7 bilion (S$8.99 bilion) setahun.
“Saya tahu ada yang ragu-ragu kerana pengalamannya,” kata Encik Stephen Minter, pesara dari Bronx.
“Tetapi kita juga pernah bermasalah dengan pemimpin yang kononnya berpengalaman.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg