Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi kebakaran bar: Mangsa lecur terlalu ramai, hospital Switzerland tidak mampu tampung

Pesakit turut dipindah ke hospital di Jerman, Italy dan Perancis
Jan 2, 2026 | 2:09 PM
crans-montana, le constellation
Ratusan orang berkumpul untuk meletakkan bunga dan menyalakan lilin bagi memperingati mangsa kebakaran di bar, Le Constellation, yang mengorbankan dan mencederakan ramai orang semasa sambutan Tahun Baru di Crans-Montana, Switzerland, pada 1 Januari. - Foto EPA

GENEVA: Jumlah mangsa yang mengalami kelecuran serius akibat kebakaran bar di bandar peranginan Switzerland, Crans-Montana, jauh melebihi keupayaan sistem rawatan kecederaan bagi menangani kelecuran di negara itu.

Demikian menurut seorang pegawai perubatan kecemasan pada 1 Januari.

Sekitar 50 orang dipercayai mengalami kelecuran teruk, kata Ketua Rawatan Kecemasan Hospital Universiti Geneva, Dr Robert Larribau, yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa persekutuan Switzerland.

“Bilangan pesakit yang mengalami kelecuran serius ini melebihi kapasiti pusat rawatan melecur di Zurich dan Lausanne, termasuk pusat bencana nasional di Bern,” katanya.

Menurut Dr Larribau, pihak berkuasa di ibu negara, Bern, kini menyelaras dengan Kesatuan Eropah untuk mengenal pasti hospital di negara jiran yang mampu menerima sebahagian mangsa.

Proses pemindahan pesakit ke hospital di Jerman, Italy dan Perancis dijangka bermula pada 1 dan 2 Januari.

Hospital di Sion, yang terletak paling hampir dengan lokasi kebakaran, menjadi hospital pertama menerima mangsa dan dilaporkan hampir lumpuh akibat lonjakan pesakit secara mendadak.

“Kira-kira 60 orang dibawa ke hospital Sion dalam tempoh singkat,” kata Dr Larribau.

Seramai 22 mangsa lain dipindahkan ke Lausanne, lebih dua kali ganda kapasiti pusat rawatan melecur di bandar itu.

Hospital Universiti Zurich menerima 16 pesakit, manakala lapan lagi dihantar ke hospital di Bern.

Empat mangsa berusia antara 15 dengan sekitar 25 tahun dibawa ke Hospital Universiti Geneva.

Dua daripada mereka berada dalam keadaan tenat dan memerlukan pemindahan segera ke pusat rawatan khusus.

Selain itu, tiga individu yang mengalami patah tulang dan kecederaan lain akibat letupan di bar berkenaan tiba sendiri di sebuah hospital lain di Geneva ketika api masih marak.

Tragedi itu berlaku sekitar 1.30 pagi waktu tempatan apabila kebakaran dan letupan melanda bar, Le Constellation, yang dipenuhi pengunjung yang sedang meraikan Tahun Baru.

Sekurang-kurangnya 40 orang maut dan lebih 100 cedera dalam tragedi yang kini dianggap sebagai antara bencana awam terburuk dalam sejarah moden Switzerland.

Pada malam 1 Januari, ratusan penduduk berkumpul dalam cuaca beku di Crans-Montana untuk memperingati mangsa yang terkorban dan cedera.

Mereka meletakkan bunga dan menyalakan lilin dalam suasana sunyi dan penuh kesedihan.

Ramai yang berdiri kaku menghadap lokasi tragedi, hampir tidak bersuara.

“Saya sendiri tidak berada di sana, tetapi ramai kawan dan saudara-mara saya ada,” kata seorang pemuda yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Encik Orosstevic.

“Ada yang meninggal dunia, ada yang masih dirawat di hospital. Lebih kurang 10 orang,” katanya kepada agensi berita, AFP.

“Kebanyakannya mereka adalah rakan kepada ibu bapa saya, tetapi saya kenal mereka dengan sangat rapat,” tambah beliau.

Menurutnya, bunga yang dibawanya hanyalah “penghormatan kecil”.

“Semoga mereka beristirahat dengan tenang,” katanya.

Di sudut lain, sekumpulan rakan saling berdakapan sambil teresak-esak.

Anak-anak muda berdiri terpaku dengan mata merah dan wajah kosong, seolah-olah masih belum dapat menerima hakikat yang berlaku.

Encik Mathys, dari kampung berdekatan Chermignon-d’en-Bas, berkata bar itu merupakan tempat pertemuan tetap mereka hampir setiap hujung minggu.

“Kebetulan malam itu satu-satunya hujung minggu kami tidak ke sana,” katanya.

“Kami fikir ia hanya kebakaran kecil. Tetapi apabila kami tiba, ia seperti peperangan. Itu satu-satunya perkataan yang boleh saya gunakan: Kiamat. Ia benar-benar mengerikan,” katanya.

Encik Paulo Martins, warga Perancis yang menetap di kawasan itu sejak 24 tahun lalu berkata, tragedi itu hampir meragut nyawa anaknya sendiri.

“Anak saya sepatutnya berada di sana. Dia tidak jauh dari situ.

“Dia bersama temanitanya, dan mereka memang bercadang untuk masuk ke bar itu. Tetapi akhirnya mereka tidak jadi. Apabila dia pulang, dia benar-benar terkejut,” katanya.

Seorang rakan kepada anak lelakinya yang berusia 17 tahun kini dirawat di Jerman selepas mengalami kelecuran pada 30 peratus tubuhnya.

Sekumpulan pemuda kelihatan tidak dapat ditenangkan, saling berpaut dan bertentang mata.

“Ramai yang terkorban atau cedera, dan ada seseorang yang sangat rapat dengan kami masih hilang. Kami langsung tiada berita,” kata seorang wanita muda yang enggan dikenali.

“Mereka masih muda, dan mereka adalah orang yang kami kenal,” tambah seorang lagi wanita.

Di sebalik lampu Krismas yang masih berkelip di bandar itu, beberapa bar memilih untuk menutup operasi sebagai tanda penghormatan.

Di gereja Montana-Station, satu upacara misa diadakan bagi memperingati mangsa.

Muzik organ yang suram mengiringi doa, sebelum jemaah beredar dengan wajah sugul.

“Sekurang-kurangnya, biarlah kita masih ada harapan,” kata seorang penduduk tempatan, Encik Jean-Claude.

Seorang wanita, Cik Mina, dengan air mata bergenang, berkata: “Ia mungkin menjejas anak saya. Kebetulan dia tidak berada di sana malam itu.”

Seorang penduduk, Cik Veronica, yang telah menetap di Crans-Montana selama 40 tahun, menahan air matanya sambil berkata:

“Kesakitan orang lain adalah kesakitan kita semua.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg