Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempat anak muda berkumpul bertukar medan maut di kampung Switzerland

Jan 2, 2026 | 12:08 PM
Orang ramai kesedihan di luar bar “Le Constellation” selepas kebakaran dan letupan berlaku semasa sambutan Malam Tahun Baru, yang mengorbankan puluhan individu dan mencederakan yang lain, menurut polis Switzerland, di pusat peranginan ski mewah Crans-Montana di barat daya Switzerland, pada 1 Januari 2026.
Orang ramai kesedihan di luar bar “Le Constellation” selepas kebakaran dan letupan berlaku semasa sambutan Malam Tahun Baru, yang mengorbankan puluhan individu dan mencederakan yang lain, menurut polis Switzerland, di pusat peranginan ski mewah Crans-Montana di barat daya Switzerland, pada 1 Januari 2026. - Foto REUTERS

CRANS-MONTANA: Beberapa minit selepas tengah malam 1 Januari, Bruno Martins, 17 tahun, berjalan menyusuri jalan-jalan kampung Crans-Montana dengan niat bertemu rakan-rakan lama yang sedang meraikan Tahun Baharu. Destinasinya ialah Le Constellation, sebuah bar dua tingkat yang menjadi tempat kegemaran remaja dan belia tempatan.

Namun setibanya di situ, pemandangan yang dilihatnya langsung tidak dapat diterima akal. “Bar itu sedang terbakar, api marak di mana-mana dan polis sudah mengepung kawasan,” kata Bruno dalam satu wawancara. “Orang ramai bertempiaran keluar, ada yang dipijak dan ditolak.”

Menurut Bruno, seorang rakan karibnya mengalami kecederaan parah akibat melecur dan dikejarkan ke hospital, manakala beberapa yang lain masih tidak dapat dikesan pada ketika itu. “Segalanya huru-hara,” katanya. “Saya tidak percaya apa yang berlaku di depan mata. Ini bar yang menjadi sebahagian daripada hidup kami.”

Kebakaran itu merebak dengan pantas, memerangkap ramai pelanggan di dalam bangunan. Presiden Switzerland Encik Guy Parmelin menyifatkan insiden tersebut sebagai antara tragedi paling buruk dalam sejarah negara itu, sekali gus meninggalkan Crans-Montana, sebuah kampung kecil yang biasanya tenang, dalam keadaan terkejut dan berkabung.

“Apabila kita lihat berita di televisyen, kita selalu fikir perkara begini tidak mungkin berlaku kepada kita,” kata Bruno sambil berdiri berhampiran runtuhan bar tersebut. “Ini kampung kecil, sunyi, semua orang saling mengenali.”

Bagi remaja dan belia awal 20-an di kampung itu, kehilangan Le Constellation bukan sekadar kehilangan sebuah bangunan, tetapi kehilangan ruang sosial yang membentuk kehidupan mereka. “Itu bar kami,” kata Cik Sofia Degraye, 22 tahun. “Ia satu-satunya tempat di mana anak muda boleh minum dengan harga mampu milik.”

Menurut Cik Sofia, pada malam-malam biasa, mereka berkumpul untuk bermain biliard atau menikmati coklat panas. Pada malam sibuk seperti malam Tahun Baru, bar itu berubah suasana menjadi seakan kelab malam kecil. Tidak seperti kebanyakan bar lain di Crans-Montana, Le Constellation lazimnya tidak mengenakan bayaran masuk, menjadikannya tumpuan golongan muda.

“Ia membuatkan saya terfikir, sepatutnya itu boleh jadi saya,” katanya dengan suara bergetar. “Rasa bersalah itu datang tanpa diundang. Kenapa tragedi ini berlaku malam itu, dan bukan pada malam-malam ketika saya berada di sana?”

Pada malam tragedi itu, ratusan penduduk berkumpul di luar kawasan bar yang dipagar polis. Ada yang saling berpelukan mencari kekuatan, sementara yang lain menunggu dalam diam, mengharapkan khabar tentang ahli keluarga atau rakan yang masih belum ditemui.

Maklumat tentang mangsa amat terhad. Beberapa mangsa mengalami kecederaan teruk sehingga sukar dikenal pasti, manakala ramai yang dihantar ke hospital di luar wilayah untuk rawatan lanjut.

Encik Johnny Marcelli, 27 tahun, seorang pelayan restoran, berkata beliau melihat asap tebal menjulang dari bar itu dan sejak saat itu hanya mampu menunggu khabar tentang seorang rakannya yang bekerja di sana. “Saya langsung tidak menerima sebarang berita tentang dia,” katanya dengan suara perlahan.

Encik Lucas Batista, 20 tahun, seorang tukang bumbung dari kampung tersebut, kelihatan menitiskan air mata sambil memeluk rakan-rakan di perhimpunan itu. Beliau datang untuk meletakkan bunga buat rakannya, seorang pelayan bar berusia 23 tahun di Le Constellation.

“Saya dengar tentang kebakaran itu ketika berada di sebuah parti lain,” katanya. “Pada pagi esoknya, saya dimaklumkan dia berada di unit rawatan rapi. Beberapa jam kemudian, seorang kawan telefon dan beritahu dia sudah meninggal dunia.” “Saya rasa sangat hancur,” kata Encik Lucas.

Cik Sofia berkata beliau berada di bar itu hanya dua malam sebelum kejadian. Seorang rakan rapatnya sepatutnya turut berada di sana pada malam tragedi itu, namun membatalkan rancangan pada saat-saat akhir. Sejak itu, satu persoalan terus menghantui fikirannya: bagaimana sebuah malam yang melambangkan permulaan baharu boleh bertukar menjadi malapetaka. “Malam itu sepatutnya tentang cinta, cahaya dan tahun baharu,” katanya. “Mereka semua masih muda. Mereka hanya mahu meraikan.” “Semuanya hilang dan berlaku terlalu pantas,” tambahnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg