CARACAS: Pasukan penyelamat di Venezuela terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih hidup selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu pada 25 Jun lalu, ketika harapan semakin tipis dengan puluhan ribu individu masih belum dapat dikesan.

Walaupun tempoh kritikal 72 jam selepas bencana kini berlalu, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan selepas beberapa mangsa berjaya ditemukan hidup di bawah runtuhan sepanjang hujung minggu.

Presiden sementara Venezuela, Cik Delcy Rodríguez, berkata sekurang-kurangnya 33 mangsa berjaya diselamatkan hidup-hidup daripada runtuhan bangunan sejak 27 Jun lalu.

Antara yang terselamat ialah dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang diselamatkan secara berasingan dari bangunan runtuh di negeri pesisir La Guaira.

Operasi menyelamat dan pemulihan masih diteruskan. Hari ini kami masih menemukan mangsa hidup, justeru operasi tidak akan dihentikan. Kami sentiasa menaruh harapan,” katanya.

Setakat 28 Jun, angka korban akibat dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,450 orang, manakala lebih 3,150 lagi cedera.

Cik Rodríguez menyifatkan tragedi itu sebagai “bencana alam paling dahsyat” dalam sejarah Venezuela.

Gempa yang berlaku pada Rabu lalu melanda dalam sela masa hanya 39 saat dan menyebabkan hampir 800 bangunan runtuh, terutama di La Guaira yang terletak kira-kira 40 kilometer di utara Caracas.

Puluhan ribu penduduk pula masih belum dapat dikesan, dengan laman web yang disokong pihak pembangkang mencatat hampir 50,000 individu masih hilang setakat 28 Jun.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan keluarga mangsa yang kini memasuki malam kelima tanpa sebarang berita mengenai insan tersayang.

Ramai ahli keluarga bertindak menggali sendiri runtuhan menggunakan tangan kerana kekurangan jentera berat di beberapa kawasan.

Sebahagian mereka mendakwa masih mendengar suara mangsa di bawah timbunan konkrit, namun tidak mampu mengalihkan runtuhan besar tanpa bantuan pasukan penyelamat.

Seorang anggota bomba di Caraballeda memberitahu BBC bahawa masih terdapat puluhan bangunan yang belum diperiksa.

“Kami masih belum sempat memeriksa semua bangunan yang runtuh. Banyak kawasan masih berbahaya,” katanya.

Operasi menyelamat turut berdepan kesukaran akibat ratusan gegaran susulan yang terus melanda kawasan terjejas.

Penduduk yang terselamat pula hidup dalam ketakutan, bimbang bangunan yang masih berdiri akan runtuh pada bila-bila masa.

“Sejujurnya ia sangat menakutkan. Bunyi kecil pun membuat kami cemas,” kata seorang pemandu bas berusia 64 tahun, Encik Jesus Andueza.

Ribuan penduduk kini tinggal di dalam kereta atau berlindung di kawasan lapang seperti lapangan terbang dan padang golf kerana takut kembali ke rumah masing-masing.

Padang golf di Caraballeda kini bertukar menjadi pusat operasi kecemasan sementara, lengkap dengan hospital sementara dan pusat pengagihan bantuan kemanusiaan.

Penduduk yang kehilangan tempat tinggal dilihat beratur mendapatkan pakaian dan bekalan makanan yang disumbangkan orang ramai.

Seorang penduduk, Encik Milagros Gonzalez, berkata beliau melarikan diri ke pusat perlindungan bersama dua anak perempuan dan dua saudara warga emas selepas bangunannya rosak akibat gempa.

“Saya bersyukur kami semua selamat. Bangunan kami sudah tidak sesuai didiami, tetapi nyawa kami masih ada,” katanya.

Cik Rodríguez turut mengumumkan sebuah kompleks sukan di La Guaira dijadikan pusat tindak balas kecemasan utama, selain memaklumkan bekalan elektrik di kawasan terjejas sudah dipulihkan sehingga 75 peratus.

Pemerintah Venezuela juga menggantung sesi persekolahan selama seminggu lagi bagi memberi ruang kepada operasi pemulihan.

Sementara itu, lebih 2,600 anggota penyelamat asing dari pelbagai negara kini berada di Venezuela bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan penyelamat Switzerland berkata peluang menemukan mangsa hidup semakin tipis selepas tempoh 72 jam berlalu.

“Biasanya terdapat jangka masa sekitar tiga hari di mana peluang menyelamatkan mangsa hidup lebih tinggi. Selepas itu kebarangkalian akan menurun,” kata ketua pasukan penyelamat Switzerland, Encik Sebastian Eugster.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ada kemungkinan mangsa dapat diselamatkan sekiranya mereka mempunyai akses kepada makanan dan air.

Sepanjang hujung minggu, beberapa kisah penyelamatan ajaib turut memberikan sinar harapan kepada penduduk.

Pasukan penyelamat Colombia berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki berusia 11 tahun bernama Moises yang terperangkap hampir tiga meter di bawah runtuhan.

Kanak-kanak itu ditemukan menggunakan alat pengimbas khas sebelum dibawa keluar dengan pengusung dalam keadaan patah tangan.

Reuters melaporkan ibu dan kakaknya ditemukan maut berhampiran lokasi mangsa ditemui.

Dalam satu lagi operasi, pasukan penyelamat Mexico berjaya menyelamatkan seorang lagi budak lelaki berusia 11 tahun di Caraballeda.

Amerika Syarikat pula memaklumkan pasukan penyelamatnya berjaya mengeluarkan seorang bayi hidup-hidup daripada runtuhan bangunan pada 27 Jun lalu.

Di sebalik bantuan antarabangsa yang semakin meningkat, ramai penduduk Venezuela meluahkan kemarahan terhadap respons pemerintah yang dianggap lambat dan tidak tersusun.

Pihak berkuasa sebelum ini turut mengetatkan akses jalan ke La Guaira selepas mendakwa kesesakan lalu lintas mengganggu pergerakan kenderaan kecemasan.

Kajian awal Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan angka korban akibat gempa itu berpotensi melebihi 10,000 orang, sekali gus menjadikannya antara gempa paling maut di Amerika Latin dalam tempoh seabad lalu. - Agensi berita