Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mantan diplomat AS, Henry Kissinger, meninggal pada usia 100 tahun

Nov 30, 2023 | 01:09 PM



CONNECTICUT (Amerika Syarikat): Dr Henry Kissinger, yang merupakan kuasa diplomatik dan berperanan sebagai penasihat keselamatan negara, juga selaku setiausaha negara di bawah dua presiden Amerika Syarikat, meninggal dunia pada 29 November, pada usia 100 tahun.


Mendiang Dr Kissinger meninggalkan kesan mendalam terhadap dasar luar Amerika dan telah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan yang dipalit kontroversi.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Connecticut, menurut satu kenyataan daripada firma perunding geopolitiknya, Kissinger Associates Inc.

Tiada maklumat lanjut tentang kematian beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, beliau akan dikebumikan dalam upacara kekeluargaan dan akan diikuti dengan upacara peringatan awam di New York.

Dr Kissinger kekal aktif walau mencecah usia lanjut dengan menghadiri mesyuarat di Rumah Putih, menerbitkan buku mengenai gaya kepimpinan, dan memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Senat mengenai ancaman nuklear yang ditimbulkan oleh Korea Utara.

Pada Julai, beliau membuat lawatan mengejut ke Beijing untuk bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping.

China adalah salah satu legasi paling lama mendiang Dr Kissinger.

Beliau berharap dapat meningkatkan kelebihan dalam Perang Dingin semasa menentang Kesatuan Soviet (kini Russia), dengan menjalin hubungan dengan China.

Tindakan mendiang Dr Kissinger secara rahsia berhubungan dengan China menyaksikan lawatan bersejarah Presiden Amerika, Encik Richard Nixon pada 1972 ke China, yang menjadi asas terjalinnya hubungan dengan Beijing.

Jasa anak kelahiran Jerman itu turut menghasilkan hubungan diplomatik Amerika dengan China, rundingan kawalan senjata Amerika-Soviet, meluaskan hubungan antara Israel dengan negara Arab jirannya serta Perjanjian Damai Paris dengan Vietnam Utara.

Pengaruhnya sebagai arkitek utama dasar luar Amerika berkurangan dengan peletakan jawatan Encik Nixon pada 1974, di tengah-tengah skandal ‘Watergate’.

Namun, beliau terus menjadi kuasa diplomatik sebagai setiausaha negara di bawah pengganti Encik Nixon, iaitu Presiden Amerika, Encik Gerald Ford, dan menawarkan pendapat yang kukuh sepanjang hayatnya.

Walaupun ramai memuji Dr Kissinger kerana kecemerlangan dan pengalamannya yang luas, ada yang menggelarnya sebagai penjenayah perang kerana sokongannya terhadap pemerintahan diktator antikomunis, terutamanya di Amerika Latin.

Pada tahun-tahun terakhirnya, perjalanannya dibatasi oleh usaha negara lain untuk menangkap atau menyoalnya tentang dasar luar Amerika yang lalu.

Dr Kissinger dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel kerana peranannya dalam rundingan damai menamatkan Perang Vietnam, walaupun konflik itu berterusan dan wakil pihak Vietnam Utara, Encik Le Duc Tho, enggan menerima hadiahnya.

Dua ahli jawatankuasa Nobel meletak jawatan atas pemilihan itu apabila timbul persoalan mengenai pengeboman rahsia Amerika ke atas Kemboja.

Walaupun mendiang terkenal dengan kemahiran intelek, beliau juga dikenali sebagai seorang yang penuh kontroversi dan tiada belas kasihan di arena politik, baik oleh kawan atau lawannya.

Ini termasuk ketika beliau menggunakan kuasanya untuk mencarta kepentingan politik Amerika.

Dokumen yang kini tidak lagi diklasifikasikan sebagai sulit menunjukkan mendiang Dr Kissinger mengarahkan penggulingan Presiden Chile berfahaman Marxist yang dipilih, Encik Salvador Allende, dan kemudian, rampasan kuasa pada 1973 menjatuhkan Jeneral Augusto Pinochet.

Mendiang Dr Kissinger juga menyokong Indonesia, negara sekutu antikomunis, apabila ia menawan Timor Leste pada 1975.

Beliau juga ‘membutakan mata’ terhadap kekejaman besar-besaran Pakistan apabila Bangladesh meraih kemerdekaan pada 1971, dengan harapan mendapat sokongan Islamabad dalam menjalin hubungan baik dengan China.

Dilahirkan di Furth, Jerman, pada 27 Mei 1923, mendiang – yang nama penuhnya Heinz Alfred Kissinger – telah berpindah ke Amerika bersama keluarganya pada tahun 938 sebelum kempen Nazi untuk menghapuskan Yahudi Eropah.

Namanya ditukar menjadi lebih keinggerisan kepada Henry Kissinger, menjadi warganegara Amerika pada 1943.

Beliau berkhidmat dalam Tentera Darat di Eropah dalam Perang Dunia Kedua, dan menuntut di Universiti Harvard dengan biasiswa, memperoleh ijazah sarjana pada 1952 dan ijazah kedoktoran pada 1954. Beliau berada di Harvard selama 17 tahun.

Dalam kebanyakan masa itu, Dr Kissinger berkhidmat sebagai perunding kepada agensi pemerintah termasuk pada 1967 apabila beliau bertindak sebagai perantara untuk Jabatan Negara di Vietnam.

Beliau menggunakan hubungannya dengan pentadbiran Presiden Amerika, Encik Lyndon Johnson untuk menyampaikan maklumat tentang rundingan damai kepada kem Encik Nixon.

Apabila Encik Nixon menyatakan hasrat untuk menamatkan Perang Vietnam dan membantunya memenangi pilihan raya presiden 1968, beliau membawa Dr Kissinger ke Rumah Putih dan melantiknya sebagai penasihat keselamatan negara.

Bercerai daripada isteri pertamanya, Cik Ann Fleischer, pada 1964, Dr Kissinger berkahwin dengan Cik Nancy Maginnes, pembantu kepada Gabenor New York, Encik Nelson Rockefeller, pada 1974. Beliau mempunyai dua orang anak daripada isteri pertamanya. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >