Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mantan Menteri Besar Perlis didakwa rasuah

Apr 11, 2023 | 05:30 AM



KANGAR (Perlis): Mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kangar pada 10 April, atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri itu.



Tertuduh berusia 64 tahun itu hanya mengangguk faham dan minta bicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.



Beliau didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butiran membabitkan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London dalam beberapa tarikh tertentu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).



Tarikh tersebut adalah pada 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014, 17 hingga 26 Disember 2014, 18 hingga 29 Disember 2015, 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 serta 23 hingga 30 November 2017.



Datuk Azlan didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Persiaran Wawasan, Kangar, pada Disember 2013, 20 November dan 18 Disember 2014, 30 November dan 21 Disember 2015, 8 November dan 29 Disember 2016 serta 9 Oktober dan 14 Disember 2017.



Dalam pertuduhan itu, Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.



Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.



Oleh demikian, beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.



Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.



Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Encik Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Encik Burhanudeen Abdul Wahid.



Encik Ahmad Akram dalam hujahannya memohon mahkamah supaya dapat memberikan satu jaminan yang maksimum kepada tertuduh iaitu RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.



Beliau turut memohon supaya kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan pertuduhan.



Bagi Burhanudeen pula, dia bersetuju dengan permohonan daripada pihak pendakwaan memandangkan anak guamnya sudah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sebelum ini malah dia turut tidak membantah pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.



Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Lumpur.



Selain itu juga, Azlan yang akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 Rabu ini dan turut akan dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.



Terdahulu, Azlan yang berkemeja biru dan berseluar panjang hitam tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.15 pagi dari kediamannya di Wang Ulu, Bintong.



Ketibaannya juga disambut segelintir penyokongnya sekitar 15 orang yang turut hadir di pekarangan mahkamah demi memberikan sokongan kepada bekas Menteri Besar Perlis yang ketujuh itu.



Datuk Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, sebelum tewas pada PRU15.



Beliau, yang juga Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 juga gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >