Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mantan menteri Indonesia saran hidupkan semula segi tiga pertumbuhan

Dalam temu bual dengan Berita Minggu Profesor Mari perjelas konsep segi tiga pertumbuhan harus diperbaharui agar seiring dengan landskap ekonomi semasa serantau yang dinamik
Aug 13, 2023 | 05:23 AM



Mantan menteri Indonesia, Profesor Mari Elka Pangestu, telah mengemukakan cadangan untuk menghidupkan semula konsep segi tiga pertumbuhan yang melibatkan Singapura, Indonesia, dan Malaysia. Idea ini bertujuan untuk mengerat kukuhkan lagi kerjasama ekonomi di antara negara-negara jiran ini.

Setelah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Indonesia dari 2004 hingga 2011 dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif dari 2011 hingga 2014, Profesor Mari percaya bahawa dengan menghidupkan semula konsep segi tiga pertumbuhan, ia akan dapat membuka peluang baru bagi kemajuan ekonomi dan kerjasama di rantau ini.

Dalam temu bual eksklusif bersama Berita Minggu (BM), Profesor Mari berkata konsep segi tiga perumbuhan ini harus dikaji semula dan diperbaharui agar seiring dengan landskap ekonomi semasa serantau yang dinamik.


Profesor Mari yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perdagangan, pembangunan, dan kerjasama serantau ini juga merupakan bekas Pengarah Urusan Pembangunan Dasar dan Perkongsian di Bank Dunia ditemuramah ketika berada di Singapura semasa menghadiri Forum Asean dan Asia ke-15 di Hotel The Fullerton Hotel Singapura pada Jumaat.

Forum tersebut dianjurkan oleh Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) dan dihadiri lebih 270 peserta – terdiri daripada pemimpin korporat serantau, pakar industri, penggubal dasar dan pembuat keputusan – berkumpul untuk membincangkan bagaimana Asean boleh bergerak ke hadapan dalam era polikrisis yang berpanjangan.

Profesor Mari pula merupakan panel dalam sesi forum bertajuk “Laluan Pemulihan dan Membina Semula Ketahanan Sosioekonomi”.

Menyentuh tentang usulnya untuk menghidup segarkan segi tiga pertumbuhan itu, Profesor Mari berkata:

“Saya melihat kawasan segi tiga pertumbuhan ini terletak di antara Singapura dengan Kepulauan Riau di Indonesia, dengan kemungkinan melibatkan Malaysia.

“Salah satu titik tumpuan cadangan ini adalah untuk memanfaatkan kedekatan geografi negara-negara ini dengan meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, sumber air dan teknologi.

“Terdapat kepentingan kerjasama dalam menangani cabaran bersama seperti keselamatan, tenaga, pembangunan lestari dan perubahan iklim,’‘ ujar Profesor Mari.

Konsep segi tiga pertumbuhan, ini menurutnya menggabungkan hab ekonomi yang bersambung di kawasan berdekatan Singapura, Indonesia, dan Malaysia yang telah dibincangkan sejak dahulu dengan pelbagai nama seperti “segi tiga pertumbuhan” atau “kawasan pertumbuhan”.

Sebelum ini segi tiga pertumbuhan ini dikenali sebagai Segi tiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (Sijori) dan kumpulan ekonomi Segi tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS-GT) yang dibangunkan dalam usaha meningkatkan pembangunan ekonomi negeri dengan mengukuhkan hubungan antara ketiga-tiga pihak.


“Hubungan sejarah dan hubungan diplomatik antara Singapura, Indonesia memberikan asas yang kukuh untuk mengeratkan lagi integrasi ekonomi. Segi tiga pertumbuhan yang dicadangkan ini tidak hanya akan merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memperkukuh lagi hubungan diplomatik dan pertukaran budaya di antara negara-negara ini,” tambah Profesor Mari lagi.

Profesor Mari berkata ia juga selari dengan matlamat lebih luas kerjasama serantau dan integrasi ekonomi di Asia Tenggara di kalangan negara Asean.

Dalam temuramah tersebut, Profesor Mari turut menyoroti peranan penting Singapura sebagai pusat teknologi dan kewangan.

Beliau melihat bahawa Singapura dan Indonesia mempunyai potensi untuk berkerjasama dalam bidang yang akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Kerjasama itu antara lain dalam menangani perubahan iklim; tenaga yang boleh diperbaharui, pengeluaran, penyelidikan serta pembangunan kenderaan elektrik.

Malah katanya terdapat pelbagai bidang usaha sama yang berpotensi di antara Singapura –Indonesia seperti dalam sektor kewangan hijau, tambah Profesor Mari.

“Apatah lagi kini terdapat kebimbangan mengenai keselamatan tenaga, air serta makanan memerlukan perhatian serius, terutamanya dalam konteks ketidakstabilan global masa kini. Kerjasama ini amat diperlukan,’‘ ujar Profesor Mari.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan walaupun Singapura dan Indonesia mempunyai hubungan sejarah dan diplomatik yang kukuh, kededua negara masih perlu melakukan usaha yang lebih untuk meningkatkan interaksi antara rakyat.

Beliau berpendapat bahawa warga kededua negara perlu meluangkan lebih banyak masa untuk melawat negara antara satu dengan lain dan memahami negara jiran mereka dengan lebih mendalam bagi mengikat hubungan yang lebih teguh.

“Lebih banyak interaksi dalam bidang pendidikan, pelancongan dan perniagaan akan membantu memperkukuhkan lagi hubungan di antara kedua negara ini,’‘ ujar Profesor Mari.

Menyentuh peranan Bank Dunia dalam pembangunan negara-negara Asean khususnya Singapura dan Indonesia, Profesor Mari turut menjelaskan perbezaan dalam pendekatan.

Di Singapura, katanya Bank Dunia berperanan sebagai pusat infrastruktur yang memberikan bantuan dalam infrastruktur digital dan fizikal bagi kepentingan rantau Asean.

Di Indonesia, Bank Dunia telah berperanan dalam pembangunan negara tersebut sejak 1966 dengan memberikan sokongan kewangan dan pengetahuan dalam merancang projek pembangunan jangka panjang.

“Bank Dunia tidak hanya memberikan bantuan kewangan, tetapi juga memberikan pengetahuan serta kepakaran dalam merancang dan melaksanakan projek-projek pembangunan jangka panjang. Ini akan membuka wawasan tentang potensi kerjasama di antara negara-negara Asean dalam bidang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan selanjutnya untuk manfaat bersama,’‘ ujar Profesor Mari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >