SEOUL: Mantan Menteri Pertahanan Korea Selatan telah ditangkap secara rasmi atas tuduhan melakukan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol, yang menjerumuskan negara itu ke dalam huru-hara, kata jurucakap mahkamah pada awal 11 Disember.
Encik Yoon menggantung pemerintahan awam seminggu lalu dan menghantar pasukan khas dan helikopter ke Parlimen, sebelum penggubal undang-undang memaksanya membatalkan dekri di negara demokrasi yang stabil itu.
Waran tangkap rasmi dikeluarkan lewat pada 10 Disember terhadap mantan Menteri Pertahanan, Encik Kim Yong-hyun ditahan pada hari yang sama.
Keputusan mahkamah adalah yang pertama berkaitan pergolakan politik yang berterusan disebabkan oleh undang-undang tentera.
Tuduhan termasuk “melibatkan diri dalam tugas kritikal semasa pemberontakan” dan “penyalahgunaan kuasa untuk menghalang pelaksanaan keadilan”.
Dua pegawai tertinggi polis turut ditahan pada awal pagi 11 Disember, ketika siasatan giat dijalankan terhadap kemelut politik yang disebabkan oleh pengisytiharan undang-undang tentera.
Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Bandar Seoul berkata penahanan rasmi Encik Kim dibuat di tengah-tengah kebimbangan bukti mungkin dimusnahkan.
Kesalahan yang didakwa dilakukan Encik Kim “terdapat dalam skop undang-undang jenayah yang membolehkan pihak pendakwaan memulakan siasatan”, kata jurucakap itu.
Encik Kim telah melahirkan rasa kesal dengan menyatakan bahawa “semua tanggungjawab atas situasi yang berlaku terletak di bahu saya semata-mata”.
Beliau turut meminta maaf kepada rakyat Korea Selatan dan berkata orang bawahannya “hanya mengikut perintah saya dan menunaikan tugas yang diberikan kepada mereka”.
Terdahulu, Ketua Komando Peperangan Khas Tentera, Encik Kwak Jong-geun, mendakwa Encik Yoon telah mengarahkannya untuk menghentikan anggota Parlimen daripada berhimpun di Parlimen untuk mengundi menentang dekri undang-undang tentera.
“Presiden menghubungi saya terus melalui talian rahsia.
“Beliau menyebut bahawa nampaknya kuorum belum dipenuhi dan mengarahkan saya untuk segera memecahkan pintu dan menyeret orang (penggubal undang-undang) keluar dari dalam,” kata Encik Kwak.
Penggubal undang-undang juga telah meluluskan usul melantik peguam khas untuk menyiasat kes undang-undang tentera. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg