SEOUL: Siasatan ke atas perisytiharan undang-undang tentera yang kontroversial oleh Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, pada 3 Disember telah bertukar menjadi medan ‘tarik tali’ bidang kuasa dalam kalangan agensi pendakwaan, polis dan agensi antirasuah Korea Selatan.
Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai kejelasan dan kecekapan siasatan yang sedang dijalankan itu.
Di tengah-tengah pertikaian itu ialah Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) yang menolak permintaan daripada pejabat pendakwa untuk menyerahkan semua kes yang berkaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera itu.
Sebaliknya, CIO menggunakan kuasa undang-undangnya di bawah Akta Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi untuk menuntut supaya pihak pendakwaan memindahkan kes bertindih kepada CIO.
“Permintaan pendakwa ialah supaya kes itu diserahkan kepada mereka, bukan untuk menyiasatnya secara bersama.
“Dalam keadaan sebegini, CIO boleh meminta pemindahan, jadi kami berkomunikasi dengan pejabat pendakwa ke arah itu, ” kata seorang pegawai dari CIO.
Bagaimanapun, pendakwa raya berpendapat mereka telah mencadangkan penyiasatan bersama dengan CIO, sesuatu yang dipertikaikan oleh CIO.
Kedua-dua agensi masih menemui jalan buntu, dengan pihak pendakwaan dan polis dilaporkan mengkaji semula alasan undang-undang untuk permintaan pemindahan oleh CIO.
Sementara itu, pendakwa raya yang menyiasat kes yang sama telah melancarkan siasatan jenayah terhadap Komando Perisikan Balas Pertahanan pada 9 Disember.
Pasukan penyiasat khas pendakwaan yang menyiasat pengisytiharan undang-undang tentera Encik Yoon mengumumkan bahawa ia telah menjalankan serbuan terhadap Komando Perisikan Balas Pertahanan sejak pagi 9 Disember dalam siasatan bersama dengan pendakwa raya tentera.
Lebih 50 pendakwa dan penyiasat tentera sedang mendapatkan bahan berkaitan undang-undang tentera di pejabat berkaitan perisikan balas.
Pasukan khas pendakwa turut memanggil mantan Komander Perang Khas Tentera, Encik Kwak Jong-geun, sebagai saksi bagi dakwaan pemberontakan terhadap mantan Menteri Pertahanan, Encik Kim Yong-hyun.
Encik Kwak sedang disiasat kerana mengerahkan tentera ke Dewan Negara ketika undang-undang tentera dikuatkuasakan.
Pendakwa raya dan polis juga telah mengenakan larangan perjalanan ke atas mantan Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Encik Lee Sang-min.
Encik Lee didakwa memainkan peranan penting dalam keputusan undang-undang tentera, bersama Encik Kim, yang mencadangkan pengisytiharan itu, dengan Jeneral Yeo In-hyung, komander Komando Perisikan Balas, bertanggungjawab melaksanakannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg