Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti gabungan Prabowo kuasai pilihan raya wilayah, kecuali Jakarta

Nov 28, 2024 | 3:19 PM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menunjukkan kertas undi ketika datang mengundi pada pilihan raya wilayah di Bogor, Jawa Barat, pada 27 November.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menunjukkan kertas undi ketika datang mengundi pada pilihan raya wilayah di Bogor, Jawa Barat, pada 27 November. - Foto AFP

JAKARTA: Calon yang disokong Presiden Prabowo Subianto kelihatan bersedia untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya wilayah, kecuali bandar Jakarta.

Ini akan memudahkan beliau melaksanakan agenda dan mengukuhkan pengaruh politiknya, ujar penganalisis.

Lebih 200 juta rakyat Indonesia mengundi pada 27 November bagi memilih pemimpin di 37 wilayah, 93 bandar dan 415 daerah.

Meskipun keputusan rasmi akan hanya diumumkan antara 30 November dengan 15 Disember, pihak tinjauan bebas telah mengeluarkan hasil kiraan pilihan raya mereka.

Calon daripada parti gabungan Encik Prabowo, yang sebahagiannya turut disokong mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, memenangi kebanyakan wilayah utama, termasuk Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur, berdasarkan keputusan awal daripada tinjauan pendapat.

“Ini adalah kejayaan buat Prabowo dan juga Jokowi, tetapi berhubung Jakarta, ia adalah satu kegagalan,” kata Dr Yanuar Nugroho, Zamil Kanan Pelawat di Iseas-Institut Yusof Ishak.

“Pelaksana semua program Prabowo adalah pemimpin wilayah ini,” jelasnya.

Jawa Tengah, Jawa Barat, dan Jawa Timur dilihat penting kerana wilayah itu paling ramai penduduknya, manakala Jakarta mempunyai kepentingan nasional sebagai ibu kota dan, sebagaimana dicontohkan Encik Jokowi, boleh menjadi batu loncatan untuk bertanding bagi jawatan presiden.

“Kemenangan ini penting agar program Prabowo dapat dilaksanakan dan disepadukan dengan baik,” kata Encik Sufmi Dasco Ahmad, pegawai kanan Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo.

Di Jakarta, calon gabenor dan timbalan gabenor yang disokong pembangkang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) meraih antara 49.49 peratus dengan 51.1 peratus undi – menurut dapatan tinjauan pendapat – mendahului calon sokongan gabungan parti pemerintah dan parti bebas.

Calon mesti memperoleh majoriti langsung (50 peratus) untuk menang di Jakarta, jika tidak pengundian pusingan kedua perlu diadakan.

Seorang penganalisis, Cik Titi Anggraini, berkata keputusan keseluruhan itu akan melancarkan laluan bagi Encik Prabowo melaksanakan ikrar pilihan rayanya sendiri dan memberinya ruang membina platform untuk bertanding semula pada 2029.

Dr Yanuar berkata keputusan itu akan memudahkan Encik Prabowo melaksanakan dasar-dasarnya.

“Prabowo mahu menyatukan kuasanya agar tidak ada gangguan bagi programnya,” ujar beliau.

Pilihan raya Jakarta menyaksikan calon Encik Prabowo, mantan Gabenor Jawa Barat, Encik Ridwan Kamil, menentang pilihan pembangkang, bekas setiausaha Kabinet, Encik Pramono Anung, untuk menguasai ibu kota itu.

Calon yang menang akan menghadapi pelbagai cabaran, termasuk isu kesesakan lalu lintas, pencemaran dan hakikat bahawa bandar yang mempunyai lebih 11 juta penduduk itu sedang menghadapi masalah tenggelam.

Gabenor baru itu mungkin berdepan detik penentu dalam sejarah Jakarta, apabila ia melepaskan tugasnya sebagai pusat pemerintah Indonesia kepada sebuah ibu kota baru yang sedang dibina, dikenali sebagai Nusantara, di Kalimantan.

Awal sebelum ini, calon Gabenor Jakarta telah membentangkan visi mereka untuk bandar besar yang kekal sebagai kuasa ekonomi di Asia Tenggara itu.

Encik Ridwan berjanji akan mengurangkan kerenah birokrasi dengan menarik lebih ramai pelabur, membina Disneyland di luar pantai Jakarta dan meneruskan projek tebus guna tanah.

Encik Pramono, yang disokong pembangkang PDI-P, berikrar akan melabur dalam melatih tenaga kerja Jakarta, memulakan dana AS$3 bilion ($4.03 bilion) untuk membiayai projek di bandar itu dan meneruskan rancangan membina tembok laut gergasi bagi menangani masalah banjir.

Encik Prabowo menjadi presiden pada Oktober selepas menang besar dalam pilihan raya 2024. Beliau mendapat sokongan tujuh daripada lapan parti dalam Parlimen Indonesia. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg