MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., telah mengarahkan semua anggota Kabinetnya untuk mengemukakan peletakan jawatan secara sukarela pada 21 Mei, hanya beberapa hari selepas keputusan pilihan raya separuh penggal yang mengecewakan bagi blok pemerintah.
“Ini bukan urusan seperti biasa,” tegas Encik Marcos dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Mei. Langkah ini, menurut Pejabat Komunikasi Presiden (PCO), bertujuan memberi ruang kepada beliau untuk menilai semula prestasi setiap kementerian dan menyusun semula pasukan kepimpinannya agar lebih selaras dengan keutamaan baharu pentadbiran.
“Rakyat telah bersuara, dan mereka mahukan hasil, bukan alasan, bukan politik,” kata Encik Marcos, mengakui kekecewaan rakyat terhadap perkhidmatan pemerintahan.
Langkah yang digambarkan sebagai satu “penyusunan semula pengurusan” ini dibuat susulan keputusan pilihan raya 12 Mei lalu yang menyaksikan calon-calon yang disokong oleh Encik Marcos mengalami kekalahan mengejut, manakala calon-calon yang bersekutu dengan Naib Presiden Cik Sara Duterte dan pihak pembangkang meraih pencapaian yang lebih baik.
Dalam senarai 12 senator baru yang dipilih, hanya enam merupakan calon yang disokong Encik Marcos, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran. Keputusan ini dianggap oleh penganalisis sebagai satu isyarat kelemahan mandat Marcos menjelang baki tiga tahun terakhir tempoh pentadbirannya yang tamat pada 2028.
Kegagalan ini juga berlaku ketika hubungan antara Encik Marcos dan keluarga Duterte semakin renggang. Ketegangan itu bertambah apabila bekas Presiden Rodrigo Duterte, bapa kepada Naib Presiden Sara, memenangi kerusi Datuk Bandar Davao City semasa pilihan raya, walaupun sedang disiasat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan semasa perang dadahnya dahulu.
Tambah mencurigakan, Peguam Negara Filipina, Encik Menardo Guevarra yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Encik Duterte enggan mewakili pemerintah di ICC bagi membela Encik Duterte. Keengganannya dianggap sebagai tanda wujudnya perpecahan kesetiaan dalam pentadbiran Marcos.
Dalam kenyataan lanjut, Encik Marcos menekankan bahawa keutamaan pentadbiran kini ialah prestasi dan kecekapan. “Ini bukan soal peribadi. Ini soal keselarasan, kecekapan, dan keutamaan rakyat,” katanya.
PCO memberi jaminan bahawa perkhidmatan pemerintah tidak akan terjejas sepanjang tempoh peralihan ini. Pegawai kanan setiap kementerian akan menjalankan tugas sebagai pemangku sementara menunggu pelantikan semula atau pengganti oleh Presiden.
Setakat pagi 22 Mei, beberapa menteri telah mula menyerahkan surat peletakan jawatan mereka. Encik Marcos belum menetapkan tarikh akhir bagi pelantikan semula anggota Kabinet, namun menegaskan bahawa proses tersebut akan dipandu oleh prinsip meritokrasi dan keperluan untuk mencapai hasil yang nyata serta segera.
Langkah seumpama ini pernah diambil oleh bekas Presiden Corazon Aquino pada 1987 selepas siri cubaan rampasan kuasa, dan oleh Gloria Macapagal-Arroyo pada 2005 selepas skandal pilihan raya.
Dalam podcast pertamanya yang dimuat naik sebelum ini, Encik Marcos mengakui bahawa ramai rakyat kecewa terhadap pemerintah. Beliau mengaku memberi tumpuan kepada projek-projek besar seperti pelancongan dan kesihatan yang mengambil masa panjang untuk dirasai kesannya oleh rakyat.
“Saya fikir projek jangka panjang itu penting. Tapi rakyat mahukan hasil segera. Mereka sudah penat dengan politik,” katanya. Marcos turut menambah, “Saya mahu dihormati, tetapi mungkin lebih baik jika saya ditakuti.” Kenyataan itu merujuk kepada sesetengah pegawai yang menurut beliau tidak menghormati disiplin kerana menganggap beliau terlalu “baik.”
Beliau menyatakan: “Zon selesa sudah berakhir. Kita perlukan tindakan pantas dan pasukan yang benar-benar mahu bekerja untuk rakyat.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg