PARIS: Perancis berdepan tugas sukar untuk membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Parlimen gagal menentukan majoriti dengan pemimpin berhaluan kiri mahu mentadbir negara itu.
Pakatan New Popular Front (NFP) yang berhaluan kiri mengakui pada 8 Julai bahawa perbincangan akan menjadi sukar dan mengambil masa, selepas pilihan raya pada 7 Julai menyekat kemaraan parti berhaluan kanan untuk berkuasa, sekali gus mengakibatkan ‘Parlimen tergantung’.
Dalam masa yang sama, ramai sekutu Perancis menarik nafas lega selepas parti National Rally (RN) pimpinan Cik Marine Le Pen, gagal mendapatkan majoriti dalam pilihan raya mengejut yang diumumkan oleh Presiden Emmanuel Macron.
NFP yang dibentuk secara tergesa-gesa sebelum pilihan raya tanpa disangka-sangka mendahului parti-parti lain tetapi jauh daripada majoriti mutlak.
NFP menduduki tempat teratas dalam undian, berjaya menewaskan kedua-dua penyokong Encik Macron dan pemimpin sayap kanan, Cik Le Pen dari RN, dilihat semakin ghairah untuk menamakan calon perdana menteri minggu ini.
Ada kemungkinan parti berhaluan kiri menyertai pemerintah minoriti yang akan bergantung pada undi tidak percaya daripada pesaing, melainkan mereka mencapai kesepakatan dalam gabungan parti yang hampir tidak mempunyai persamaan.
“Kami memerlukan sedikit masa,” kata Ahli Parlimen (AP) NFP, Encik Pouria Amishahi, kepada agensi berita Reuters ketika penggubal undang-undang yang baru dipilih tiba di Parlimen untuk mengambil lencana mereka.
Beliau menambah bahawa apa jua pilihan yang diambil adalah rumit.
NFP tidak mempunyai pemimpin tunggal dan dengan anggaran 182 ahli parlimen, jauh di bawah 289 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mutlak.
Tiada kumpulan lain yang mempunyai majoriti, sama ada golongan sentris pimpinan Encik Macron di tempat kedua dan RN ketiga, menyebabkan Parlimen berpecah kepada tiga kumpulan.
“Presiden Republik ini harus menyeru kami supaya membentuk pemerintah untuk menghormati keputusan pilihan raya,” kata Encik Manuel Bompard, daripada golongan sayap kiri France Unbowed, antara yang membentuk NFP, sebelum pertemuannya dengan Sosialis, Green and Communist untuk memutuskan strategi apa yang akan diambil.
Bagi Cik Le Pen, keputusan itu adalah mengecewakan kerana tinjauan pendapat selama berminggu-minggu meramalkan parti pimpinannya akan menang. RN bagaimanapun berjaya menambah bilangan AP mereka lebih daripada 50 kepada 143 anggota.
Perdana Menteri, Encik Gabriel Attal, sudah menyerahkan peletakan jawatannya kepada Encik Macron tetapi Encik Macron meminta Encik Attal supaya terus memegang jawatannya “buat masa ini” selepas tiada satu pun daripada tiga pakatan utama memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk pemerintah.
Encik Macron membubarkan Parlimen dan menggesa pilihan raya diawalkan selepas RN memenangi lebih daripada 31 peratus undi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah pada 9 Jun, mengalahkan blok kelompok tengahnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg