Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria berdepan krisis ekonomi akibat sekatan AS

Jan 7, 2025 | 12:30 PM
Menteri Perdagangan Syria, Encik Maher Khalil al-Hasan, semasa wawancara dengan agensi berita ‘Reuters’, di Damsyik, Syria, pada 6 Januari.
Menteri Perdagangan Syria, Encik Maher Khalil al-Hasan, semasa wawancara dengan agensi berita ‘Reuters’, di Damsyik, Syria, pada 6 Januari. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Syria kini berdepan dengan kesukaran besar dalam urusan perdagangan kerana sekatan ketat yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Perdagangan Syria yang baru, Encik Maher Khalil al-Hasan, dalam satu wawancara eksklusif dengan agensi berita Reuters, mendedahkan bahawa negaranya itu tidak dapat menjalankan urus niaga bagi import bahan bakar, gandum, atau barang-barang penting lain disebabkan sekatan tersebut.

Meskipun banyak negara, termasuk negara-negara Arab, ingin membantu Syria, halangan utama tetap wujud disebabkan oleh dasar Amerika yang ketat.

Encik al-Hasan menjelaskan bahawa walaupun pemerintah baru Syria berjaya mengumpul sedikit gandum dan bahan bakar untuk beberapa bulan, negara itu berhadapan dengan “bencana” sekiranya sekatan tidak dihentikan atau dilonggarkan dalam masa terdekat.

“Kami hanya mempunyai simpanan untuk beberapa bulan sahaja.

“Jika sekatan ini terus berlaku, Syria akan menghadapi krisis yang lebih buruk,” katanya di pejabatnya di Damsyik pada 6 Januari.

Pemimpin baru Syria kini diterajui oleh kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham, yang merampas kuasa daripada mantan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember selepas serangan kilat yang mengejutkan.

Sekatan Amerika telah dikenakan sejak era pemerintahan Encik Assad menyasarkan pemerintah Syria serta institusi negara termasuk bank pusat negara tersebut.

Sebelum ini, Russia dan Iran merupakan dua negara yang menyumbang sebahagian besar bekalan gandum dan minyak kepada Syria, namun bantuan itu dihentikan selepas kemenangan pemberontak dan langkah Encik Assad melarikan diri ke Moscow.

Keadaan itu menjadikan Syria semakin tertekan dengan kekurangan bahan mentah dan barang keperluan asas.

Walaupun begitu, terdapat harapan baru berikutan laporan yang menyatakan bahawa Amerika sedang merancang untuk melonggarkan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan asas seperti bekalan elektrik ke Syria.

Keputusan itu diumumkan oleh pemerintahan Presiden Joe Biden yang mahu memberi isyarat baik kepada rakyat Syria dan pemerintah baru.

Seorang pegawai memberitahu Reuters bahawa kesan sebenar daripada langkah-langkah yang dijangka itu masih belum dapat dipastikan.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa Amerika berharap untuk melihat Syria melalui peralihan politik yang bersifat terangkum dan saling bekerjasama dalam menangani isu pengganasan serta isu-isu lain.

Encik al-Hasan turut mengesahkan bahawa beliau sedar tentang laporan mengenai kemungkinan pelonggaran atau pembekuan sekatan.

“Kami berharap dengan langkah-langkah ini, keadaan akan menjadi bertambah baik.

“Jika sekatan ini dapat dihentikan atau digantung, ia akan membantu kami menghadapinya dengan lebih baik,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Menteri Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed, turut menyuarakan sokongan negara itu terhadap kedaulatan dan kemerdekaan Syria.

Dalam satu lawatan rasmi Menteri Luar Syria, Encik Asaad Hassan al-Shibani, ke UAE pada 6 Januari, kedua-dua pihak membincangkan perkembangan terkini di Syria selepas kejatuhan Encik Assad.

Menteri Luar UAE mengulangi sokongan negara mereka terhadap kemerdekaan Syria, sambil menekankan pentingnya menjaga hubungan “saudara” antara kedua-dua negara.

“Kami akan terus menyokong kestabilan dan kedaulatan Syria,” kata Sheikh Abdullah dalam pertemuan tersebut.

UAE merupakan lawatan luar negara kedua Encik al-Shibani selepas beliau melawat Qatar dan merancang lawatan ke Jordan.

Encik al-Shibani menyatakan bahawa lawatan itu bertujuan “menyokong kestabilan, keselamatan, pemulihan ekonomi dan membina perkongsian yang kukuh”.

Lawatan pertama Encik al-Shibani adalah ke Arab Saudi.

Ia menyaksikan pegawai Saudi membincangkan bagaimana mereka dapat menyokong peralihan politik di Syria, yang kini berada di persimpangan besar selepas kejatuhan rejim Encik Assad. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg