RIYADH: Menteri Luar Syria yang baru dilantik, Encik Assaad al-Shibani, tiba di Arab Saudi pada 1 Januari untuk lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik bulan Disember. Lawatan ini dilihat sebagai usaha untuk memulihkan hubungan antara Syria dan Arab Saudi selepas pergolakan selama lebih satu dekad di Syria.
“Saya baru sahaja tiba di Arab Saudi yang bersaudara, bersama Menteri Pertahanan Murhaf Abu Qasra dan Ketua Perkhidmatan Perisikan Umum Anas Khattab,” kata Encik Shibani dalam kenyataan di platform X.
“Melalui lawatan bersejarah ini, kami berharap dapat membuka lembaran baharu yang cerah dalam hubungan Syria-Saudi yang mencerminkan sejarah panjang antara kedua-dua negara,” tambahnya.
Delegasi Syria disambut oleh Timbalan Menteri Luar Arab Saudi, Encik Waleed bin Abdulkarim El-Khereiji, di Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Syria. Gambar-gambar menunjukkan Encik Shibani dan Encik El-Khereiji berjabat tangan, bersama pertemuan rasmi antara pegawai kedua-dua negara.
Kehadiran delegasi itu adalah atas jemputan rasmi Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah, yang menurut Encik Shibani adalah satu penghormatan besar bagi pihak Syria.
“Syria baharu mengalu-alukan semua delegasi Arab dan asing. Kami membuka babak baharu yang menghubungkan masa lalu dan masa kini Syria, serta menutup episod pemulauan di bawah rejim terdahulu,” kata Encik Shibani.
Encik Ahmed al-Sharaa, ketua pentadbiran baharu Syria, dalam wawancara bersama televisyen Al-Arabiya, menegaskan kepentingan Arab Saudi dalam pemulihan Syria.
“Arab Saudi akan memainkan peranan besar,” katanya, merujuk kepada kenyataan positif Arab Saudi baru-baru ini mengenai Syria. Beliau juga menekankan peluang ekonomi besar yang tersedia di Syria, yang infrastrukturnya musnah akibat perang saudara selama lebih 13 tahun.
Arab Saudi sebelum ini memutuskan hubungan dengan kerajaan Bashar al-Assad pada 2012 tetapi memulihkannya tahun 2024. Riyadh juga memainkan peranan penting dalam mengembalikan Syria ke Liga Arab, menamatkan pengasingan serantau negara itu.
Syria kini berada di bawah pentadbiran baharu yang dipimpin oleh Encik Sharaa selepas penggulingan Bashar al-Assad pada Disember lalu. Lawatan Encik Shibani ke Arab Saudi ini mencerminkan usaha pentadbiran baharu Syria untuk memperbaiki hubungan serantau dan membuka jalan kepada kestabilan ekonomi serta politik.
Arab Saudi, selain memulihkan hubungan diplomatik, dilihat sebagai rakan strategik untuk kestabilan Syria, terutama dalam usaha memerangi dadah captagon, yang sebelum ini menjadi eksport utama Syria di bawah rejim Assad. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg