Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid baru di Nusantara menggantikan Istiqlal sebagai Masjid Negara

Dec 10, 2024 | 10:57 AM

Masjid Negara di ibu kota Nusantara (IKN) disasarkan untuk siap digunakan bagi solat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal 1446 Hijrah, yang jatuh pada tahun 2025, dengan kapasiti sehingga 5,580 jemaah. Projek ini bukan sahaja mencerminkan komitmen pemerintah terhadap pembangunan infrastruktur tetapi juga simbolik kepada aspirasi negara Indonesia dalam memperkukuh harmoni dan kebebasan beragama.
Masjid Negara di ibu kota Nusantara (IKN) disasarkan untuk siap digunakan bagi solat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal 1446 Hijrah, yang jatuh pada tahun 2025, dengan kapasiti sehingga 5,580 jemaah. Projek ini bukan sahaja mencerminkan komitmen pemerintah terhadap pembangunan infrastruktur tetapi juga simbolik kepada aspirasi negara Indonesia dalam memperkukuh harmoni dan kebebasan beragama. - Foto Instagram IKN Pusat

JAKARTA: Status Masjid Negara yang kini dipegang oleh Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat, bakal dipindahkan ke masjid baru yang sedang dibina di Nusantara, Kalimantan Timur. Menurut jurucakap Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hariqo Wibawa Satria, masjid ini akan menjadi pusat acara keagamaan peringkat negara setelah siap dibina.

“Ketika ini, Masjid Negara adalah Masjid Istiqlal. Namun, dengan perpindahan ibu kota ke Nusantara, masjid baru ini akan mengambil alih peranan tersebut,” kata Encik Hariqo seperti dipetik daripada Antara.

Masjid yang dibina di atas kawasan seluas 60,173 meter persegi itu dijangka mampu menampung sehingga 60,000 jemaah. Pembinaan masjid ini turut menggambarkan kemajuan infrastruktur di ibu kota baru dan menjadi simbol keharmonian serta toleransi beragama di Indonesia.

Encik Hariqo menjelaskan bahawa pembinaan masjid kini berada pada fasa pertama, melibatkan struktur utama yang terdiri daripada empat tingkat, dua lantai mezanin, serta kawasan serbaguna dan tempat letak kereta dua tingkat. Fasa ini dijangka siap menjelang 1 Syawal 1446 Hijrah, iaitu tahun 2025, bagi membolehkan masjid digunakan untuk solat Hari Raya Aidilfitri.

“Buat masa ini, masjid direka untuk menampung 29,000 jemaah. Masjid ini dilengkapi dengan tiga elemen utama iaitu kubah, plaza terbuka dan menara,” jelas Encik Hariqo.

Kubah masjid direka berdasarkan konsep simbolik pengorbanan dan galaksi, melambangkan alam semesta yang tiada penghujung. Menara masjid setinggi 99 meter pula mewakili Asmaul Husna dan berbentuk lingkaran ke atas, simbolik kepada doa yang diangkat ke langit.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, masjid ini turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta khas untuk VVIP, golongan kurang upaya, bas serta ruang parkir bertingkat.

Encik Hariqo turut menegaskan bahawa masjid ini akan bersebelahan dengan rumah-rumah ibadat lain di kawasan pusat keagamaan Nusantara, termasuk gereja, kuil, biara dan Basilika Nusantara Santo Fransiskus Xaverius. “Ini mencerminkan semangat perpaduan dan saling menghormati antara penganut pelbagai agama,” katanya.

Masjid Negara di Nusantara bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga diharapkan menjadi ikon budaya dan simbol keagungan peradaban baru Indonesia.

“Masjid ini akan menjadi tanda perpaduan dan kehebatan tamadun Indonesia di ibu kota baru,” tambah Encik Hariqo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg