Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran Los Angeles: 14 pelajar M’sia terjejas dipindahkan

Jan 13, 2025 | 11:25 AM
Imej dari udara menunjukkan rumah penduduk terbakar dalam kejadian kebakaran besar berhampiran kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Imej dari udara menunjukkan rumah penduduk terbakar dalam kejadian kebakaran besar berhampiran kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles, Amerika Syarikat. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan 14 pelajar Malaysia terkesan dengan insiden kebakaran di Los Angeles, Amerika Syarikat, yang kini dilaporkan semakin merebak.

Jabatan Pendidikan Tinggi KPT dalam satu kenyataan menyatakan semua pelajar terbabit adalah penuntut di University of California (UCLA) dan mereka sudah diberikan bantuan serta rangka pelan pemindahan jika diperlukan.

“Sehingga kini, pelajar yang terkesan adalah 14 orang daripada UCLA kerana berhampiran dengan tempat kejadian itu.

“KPT bersama pejabat Konsul Jeneral (CG) di Los Angeles bersetuju memberi bantuan dan akan melaksanakan pelan pemindahan sekiranya perlu melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai rumah perlindungan.

“Setakat hari ini, keadaan pelajar dalam keadaan baik dan pelajar akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaru diterima,” kata KPT dalam kenyataan pada 12 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu Duta Besar Malaysia ke Amerika, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata setakat 13 Januari, tiga pelajar Malaysia di UCLA sudah dipindahkan ke tempat selamat susulan kebakaran besar di Los Angeles itu.

Beliau berkata kebakaran Pacific Palisades dijangka merebak kerana angin kencang diramalkan melanda hingga 15 Januari.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, sebelum ini mengisytiharkan keadaan darurat menyusuli kebakaran besar itu.

Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dan 13 masih hilang setakat ini dalam kebakaran yang memusnahkan kawasan perumahan di situ sehingga Encik Biden menyifatkan malapetaka yang sedang berlaku sebagai “umpama pemandangan medan perang”.

Sementara itu, KPT turut memperkenalkan sistem pembangunan data, disediakan melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U bagi mendapatkan kemas kini termasuk kedudukan pelajar terjejas.

“Pelajar amat digalakkan mengemaskini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi kementerian ini bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat dan segera berhubung dengan KPT,” katanya.

Kata KPT, pihaknya bersama Kementerian Luar sentiasa mengikuti perkembangan situasi di luar negara terutama membabitkan penempatan pelajar Malaysia di negara sedang bergolak dengan situasi kecemasan seperti rusuhan, peperangan dan bencana alam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg