JEDDAH: Musim haji di Makkah bukan sahaja menghimpunkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia, malah menjadikan kota suci itu tempat pertemuan pelbagai bahasa dan budaya ketika jemaah melaksanakan ibadah haji.

Selain bahasa Arab, suasana di Masjidil Haram dan kawasan tanah suci kini dipenuhi dengan pelbagai bahasa antarabangsa termasuk Urdu, Indonesia, Turkey, Parsi, Bengali, Inggeris, Perancis, Swahili dan Melayu.

Walaupun datang daripada latar budaya dan negara berbeza, jutaan jemaah tetap disatukan melalui ibadah, doa dan tawaf di sekitar Kaabah.

Bagi membantu jemaah berkomunikasi dengan lebih mudah, pihak berkuasa Arab Saudi telah memperluaskan pelbagai perkhidmatan pelbagai bahasa sepanjang musim Haji 2026.

Penguasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyediakan terjemahan serentak khutbah di Masjidil Haram dalam 10 bahasa menerusi platform ‘Manarat Al-Haramain’ dan siaran radio FM.

Pihak berkuasa itu turut menyediakan panduan lokasi dan penerangan budaya dalam lebih 50 bahasa menggunakan alat pendengar tanpa wayar dan kad panduan digital.

Usaha penterjemahan itu turut melibatkan buku, risalah, papan tanda arah dan skrin elektronik di dalam Masjidil Haram selain naskhah Al-Quran bersama terjemahan pelbagai bahasa.

Di kawasan tanah suci pula, pasukan lapangan pelbagai bahasa dan sukarelawan membantu jemaah mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan, keselamatan, pengurusan ibadah dan kawalan pergerakan orang ramai.

Langkah itu bertujuan memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa dan memahami perkhidmatan yang disediakan.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata usaha tersebut mencerminkan kedudukan Makkah sebagai titik pertemuan global umat Islam. “Makkah menjadi gambaran dunia Islam yang menghimpunkan kepelbagaian budaya dan manusia dari seluruh dunia,” menurut kenyataan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, aplikasi nasional Arab Saudi, Tawakkalna, kini membolehkan jemaah dan petugas haji mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam 19 bahasa antarabangsa.

Inisiatif itu dikendalikan oleh Penguasa Data dan Kecerdasan Buatan Arab Saudi (SDAIA) sebagai sebahagian daripada ekosistem digital haji untuk memudahkan perjalanan jemaah dari ketibaan hingga pulang ke negara masing-masing.

Aplikasi Tawakkalna menawarkan lebih 1,300 perkhidmatan digital dengan kerjasama lebih 350 agensi kerajaan dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, pelancongan, kehakiman dan hiburan.

Bahasa yang disediakan termasuk Arab, Inggeris, Indonesia, Hindi, Urdu, Turkey, Perancis, Bengali, Parsi, Melayu, Russia, China, Filipina, Jerman, Belanda, Jepun, Italy, Sepanyol dan Portugis.

Melalui aplikasi itu, jemaah boleh memaparkan permit haji secara elektronik menerusi integrasi dengan platform Tasreeh, iaitu platform digital utama bagi permit haji. Pengguna juga boleh mengakses pelbagai permit lain termasuk kad permit haji, permit memasuki Makkah, permit kerja, sukarelawan dan permit kenderaan.

Menurut pihak berkuasa Saudi, aplikasi tersebut kini mempunyai lebih 35 juta pengguna dan memainkan peranan penting dalam transformasi digital negara sejajar dengan Wawasan Saudi 2030.

“Aplikasi ini membantu memberikan pengalaman lebih lancar dan meyakinkan kepada jemaah melalui akses mudah kepada perkhidmatan kerajaan,” menurut kenyataan SDAIA.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut memperkukuh saluran komunikasi langsung dengan jemaah menerusi nombor pusat panggilan tunggal 1966 yang beroperasi 24 jam sehari dalam 11 bahasa.

Kementerian itu berkata perkhidmatan tersebut membolehkan jemaah mendapatkan maklumat, bantuan dan membuat aduan berkaitan perkhidmatan sepanjang musim haji. “Kami mempunyai sistem tindak balas pantas dan pengurusan kes yang cekap bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah,” menurut kementerian itu.

Pusat komunikasi tersebut dikendalikan oleh kakitangan terlatih dengan sokongan teknologi moden yang mampu mengagihkan panggilan berdasarkan kemahiran petugas dan jenis pertanyaan.

Pihak kementerian berkata penggunaan teknologi canggih itu membantu meningkatkan ketepatan maklumat dan mempercepatkan respons kepada jemaah dari seluruh dunia.

Arab Saudi terus memperluaskan penggunaan teknologi pintar dan sistem digital sepanjang musim haji bagi memastikan pengurusan jutaan jemaah berjalan lebih lancar, selamat dan teratur ketika jumlah jemaah antarabangsa terus meningkat setiap tahun. - Agensi berita