Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Qiblatain di Madinah kini dibuka 24 jam hasil titah Raja Salman

Oct 7, 2025 | 3:40 PM
Raja Salman telah mengarahkan supaya Masjid Qiblatain di Madinah dibuka 24 jam sehari bagi membolehkan jemaah menunaikan solat pada bila-bila masa.
Raja Salman telah mengarahkan supaya Masjid Qiblatain di Madinah dibuka 24 jam sehari bagi membolehkan jemaah menunaikan solat pada bila-bila masa. - Foto SPA

MADINAH: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, mengarahkan agar Masjid Qiblatain di Madinah dibuka 24 jam sehari bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat pada bila-bila masa.

Arahan diraja ini disambut penuh penghargaan oleh pemimpin tempatan dan kementerian berkaitan yang menegaskan komitmen Arab Saudi dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada jemaah dan pengunjung,  lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Emir Wilayah Madinah, Putera Salman bin Sultan, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah, menyampaikan rasa terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas keprihatinan berterusan terhadap masjid-masjid di seluruh negara.

“Titah diraja ini mencerminkan keazaman berterusan Kerajaan Arab Saudi untuk menjaga dan memakmurkan masjid, terutama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta melambangkan peranan negara dalam khidmat kepada Islam dan umatnya,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa semua pihak berkuasa berkaitan telah memulakan langkah operasi bagi memastikan Masjid Qiblatain bersedia menerima jemaah sepanjang masa, termasuk penambahbaikan kemudahan dan keselamatan.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr. Abdullatif Al Al-Sheikh, berkata arahan tersebut membuktikan komitmen kepimpinan Arab Saudi untuk memberikan keselesaan tertinggi kepada pengunjung masjid, khususnya masjid bersejarah yang mempunyai nilai istimewa di hati umat Islam.

“Masjid Qiblatain kini lengkap dengan kemudahan moden bagi melayani keperluan jemaah, dan kementerian terus melaksanakan projek pembangunan masjid secara menyeluruh,” jelasnya.

Menurut beliau, usaha ini seiring visi Arab Saudi untuk mengekalkan peranan utama dalam memelihara warisan Islam serta menyediakan ruang ibadah yang kondusif bagi jemaah tempatan dan antarabangsa.

Masjid Qiblatain, yang terletak di barat laut Madinah, mempunyai nilai sejarah yang besar kerana di sinilah arah kiblat solat umat Islam berubah dari Baitulmakdis ke Kaabah di Makkah.

Keputusan untuk membukanya 24 jam sehari dijangka meningkatkan pengalaman rohani pengunjung dan memberi peluang kepada umat Islam untuk beribadah tanpa kekangan masa.
Dengan arahan ini, kerajaan Arab Saudi sekali lagi menegaskan peranan mereka sebagai penjaga tempat suci umat Islam serta komitmen untuk meningkatkan kemudahan bagi jemaah yang datang dari seluruh dunia.

“Arahan Raja Salman ini bukan sekadar kemudahan, tetapi tanda kasih kerajaan terhadap rumah Allah dan jemaah yang mendatanginya,” ujar Putera Salman bin Sultan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg