MAKKAH: Buat kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad, Masjidil Haram di Makkah kini bebas sepenuhnya daripada struktur kren gergasi yang selama ini memenuhi latar langitnya.
Ia menandakan tamatnya fasa akhir dalam projek pengembangan terbesar dalam sejarah Arab Saudi, yang dikenali sebagai “Pengembangan Saudi Ketiga” yang pernah menjadi simbol kepada projek pengubahsuaian terbesar dalam sejarah Islam moden.
Projek itu telah selesai secara rasmi pada penghujung Ramadan 2025 dengan pemindahan kren terakhir menandakan berakhirnya satu era pembangunan dan bermulanya era baru dalam pengurusan haji dan umrah.
“Ini adalah detik amat penting,” ujar Encik Saad Al-Qurashi, penasihat Jawatankuasa Nasional Haji dan Umrah di bawah Gabungan Dewan Perniagaan Saudi.
“Pemindahan kren ini tepat pada masanya, terutama sekali ketika Makkah menerima lonjakan jumlah jemaah umrah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.”
Pengembangan Ketiga Masjidil Haram yang dimulakan sejak Jun 2010 bukan sahaja berskala besar dari segi fizikal, malah mencerminkan iltizam kerajaan Arab Saudi memberikan khidmat terbaik kepada tetamu Allah.
Projek itu dilancarkan oleh Allahyarham Raja Abdullah dan diteruskan di bawah pengawasan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Dengan peruntukan dana melebihi AS$100 bilion ($128 bilion), projek itu kini diiktiraf sebagai projek pembinaan paling mahal di dunia, mengatasi struktur terkenal seperti Marina Bay Sands – kompleks bersepadu yang terkenal di Singapura, yang dibuka secara rasmi pada 2010; dan Apple Park iaitu ibu pejabat sejagat syarikat teknologi Apple Inc., yang terletak di Cupertino, California.
Menurut perangkaan daripada Gulf News dan Statista, sebelum peluasannya, Masjidil Haram hanya mampu menampung sekitar 670,000 anggota jemaah.
Kini, kapasiti itu meningkat kepada lebih dua juta orang pada satu-satu masa.
Luas kawasan binaan meningkat daripada 414,000 meter persegi kepada 1.564 juta meter persegi, manakala ruang solat bertambah kepada 912,000 meter persegi.
Kemudahan sokongan turut diperluas secara ketara dengan bilangan tandas meningkat daripada 3,515 kepada 16,726, manakala tempat wuduk melonjak daripada 2,479 kepada 12,639.
Sistem penyejukan turut dipertingkat dengan kapasiti 199,000 tan penyejukan berbanding hanya 39,000 tan sebelumnya.
“Pengembangan ini bukan hanya untuk menambah ruang, malah untuk memberikan keselesaan maksimum kepada jemaah.
“Reka bentuk moden digabung dengan ciri-ciri seni bina Islam yang kaya,” ujar Encik Al-Qurashi.
Masjidil Haram baru memperlihatkan gabungan teknologi moden dan keindahan seni bina Islam.
Dengan 22 kubah, termasuk 12 kubah kaca automatik bermotor dan enam kubah tetap, dan empat kubah kekal di dewan utama aras dua.
Kubah bermotor terbesar dengan diameter 36 meter dan setinggi 25 meter, dihiasi permukaan kayu bertatah batu permata serta boleh dibuka untuk pengudaraan semula jadi.
Pintu utama yang mewah, mashrabiya – tabir kayu bermotif seni bina Timur Tengah – berlapis emas, dan inskripsi Al-Quran dalam seni khat Thuluth turut memberi sentuhan kerohanian yang mendalam kepada pengunjung.
Reka bentuk koridor utama, jambatan selatan dan utara yang menghubungkan ruang solat dengan kawasan tawaf memudahkan pergerakan jemaah.
Dinding bangunan dihiasi dengan ukiran ayat Al-Quran yang meliputi kawasan seluas 2,700 meter persegi, manakala pintu dan tingkapnya dihiasi kaca kristal dan logam berukir.
Ciri-ciri itu bukan sekadar estetika, bahkan mewujudkan suasana kerohanian yang mendalam kepada jemaah.
Namun, proses pembinaan itu tidak terlepas daripada tragedi.
Sebuah kren runtuh di halaman timur Masjidil Haram pada 11 September 2015, mengorbankan 111 anggota jemaah dan mencederakan ramai yang lain.
Kejadian itu menjadi peringatan kepada pentingnya keselamatan dalam projek berskala besar pembinaan keagamaan yang mega.
“Kejadian kren itu memberi peringatan pahit bahawa kemajuan fizikal harus seiring dengan keselamatan dan ketelusan,” kata seorang pakar kejuruteraan struktur dari Universiti King Abdulaziz yang enggan dinamakan.
Kini, dengan keluarnya kren terakhir, Masjidil Haram memasuki fasa baru bukan sahaja dari segi struktur fizikal, malah dalam aspek pengurusan jemaah.
Dengan jumlah jemaah yang kian meningkat saban tahun, pengurusan logistik dan keselamatan jemaah menjadi lebih mencabar.
Prasarana baru itu direka untuk melancarkan pergerakan masuk dan keluar jutaan anggota jemaah, terutama pada waktu sibuk seperti tawaf dan sai.
Jambatan selatan dan utara yang menghubungkan bangunan utama dengan kawasan mataf – dataran tawaf – membantu melancarkan aliran jemaah.
Turut diperkenalkan ialah sistem kawalan orang ramai moden serta perkhidmatan logistik yang dikendalikan oleh ribuan jurutera, teknisyen dan petugas pembersihan.
“Kerjasama antara semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah.
“Prasaranar baru ini direka bentuk untuk memenuhi keperluan jangka panjang,” kata Encik Al-Qurashi.
Di sebalik keagungan fizikal lagi canggih, nama Dr Mohamed Kamal Ismail, kekal dikenang sebagai tokoh penting.
Arkitek dari Mesir itu pernah mengetuai pengubahsuaian Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada era Raja Fahd.
Menariknya, beliau enggan menerima sebarang bayaran atas khidmatnya.
“Jika saya terima wang untuk projek dua masjid suci ini, bagaimana saya hendak berdepan dengan Allah?” katanya seperti dilaporkan.
Beliau menolak bayaran dan hanya ingin berbakti kepada Islam.
Antara sumbangan Dr Mohamed Kamal yang paling dikenang ialah idea penggunaan marmar putih dari Greece untuk mengurangkan kesan haba di lantai.
Ia mampu menyejukkan lantai Masjidil Haram walaupun dalam cuaca panas, satu inovasi yang diteruskan sehingga hari ini.
Transformasi fizikal itu turut membawa perubahan ketara terhadap pengurusan logistik musim haji.
Penambahan kawasan solat, ruang rehat, dan sistem penyejukan (daripada 39,000 tan kepada 199,000 tan penyejukan) membolehkan jemaah melakukan ibadah dengan lebih selesa, walaupun dalam suhu melampau.
“Kerjasama antara semua pihak berkuasa memainkan peranan besar dalam kelancaran masuk dan keluar jemaah,” jelas Encik Al-Qurashi.
Beliau menekankan bahawa pengembangan itu selaras dengan peningkatan jumlah jemaah, terutama pada akhir Ramadan dan musim haji.
Pengembangan ini mencerminkan visi Arab Saudi sebagai pemegang amanah dua tanah suci.
Ia turut memperlihatkan bagaimana negara itu menggunakan sumber ekonomi dan teknologinya untuk melayani umat Islam dari seluruh dunia.
Menurut laporan akhbar antarabangsa Arab yang berpangkalan di London, Asharq Al-Awsat, pengembangan itu akan menyumbang kepada peningkatan pengalaman jemaah, dari aspek keselesaan, keselamatan dan kekhusyukan ibadah.
“Pengembangan ini mengekalkan kesucian tempat ini sambil membawa ciri-ciri moden untuk menyokong jutaan tetamu Allah,” kata laporan itu.
Sebagai mercu tanda kepada aspirasi Islam abad ke-21, Masjidil Haram kini menjadi simbol kesatuan dan ketekunan umat Islam.
Dengan selesainya Fasa Ketiga Pengembangan Saudi, satu bab baru dalam sejarah pengurusan haji dan umrah telah pun bermula.
Dengan berakhirnya era kren dan bermulanya penggunaan sepenuhnya ruang pengembangan baru, Masjidil Haram melangkah ke fasa baru dalam sejarahnya sebagai pusat kerohanian sejagat.
Projek ini bukan sahaja lambang kecekapan teknikal Arab Saudi, malah komitmen mendalam terhadap khidmat kepada tetamu Allah.
“Pengembangan ini mencerminkan keutamaan kerajaan Arab Saudi untuk memastikan keselesaan maksimum bagi jemaah,” lapor Asharq Al-Awsat.
Walaupun cabaran seperti tragedi 2015 kekal sebagai ingatan bersama, keseluruhan pengembangan itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan kejuruteraan, pengurusan, dan kerohanian yang bakal memberi manfaat berpanjangan kepada umat Islam dari seluruh dunia.
Dengan peningkatan prasarana, keindahan seni bina, dan sistem pengurusan pintar, Masjidil Haram kini benar-benar bersedia menyambut jutaan anggota jemaah dengan cara paling selamat, tersusun dan bermakna dalam sejarah Islam moden
“Apa yang kita saksikan hari ini ialah kemuncak usaha berdekad lamanya.
“Masjidil Haram kini lebih bersedia dari sebelumnya untuk menyambut tetamu Allah dengan penuh kemuliaan dan keselesaan,” tambah Encik Al-Qurashi – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg