Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejayaan Arab Saudi urus musim haji 2025 dapat pujian meluas

Jun 16, 2025 | 5:30 AM
haji, makkah, masjidil haram
Umat Islam mengunjungi Masjidil Haram di kota suci Makkah, Arab Saudi pada 8 Jun 2025, sempena berakhirnya ibadah haji. - Foto AFP

RIYADH: Penganjuran ibadah haji 2025 oleh Arab Saudi telah menerima pujian meluas di peringkat serantau dan sejagat.

Ia termasuk daripada Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jassem Al-Budaiwi, yang memuji usaha bersepadu kerajaan Saudi dalam menjamin keselamatan, kesihatan dan kelancaran pergerakan jutaan anggota jemaah di tanah suci.

“Kejayaan ini mencerminkan keupayaan dan usaha luar biasa kerajaan Saudi dalam menguruskan jemaah haji serta memastikan mereka menunaikan ibadah dengan selamat dan selesa,” ujar Encik Al-Budaiwi.

Beliau turut mengiktiraf kemajuan prasarana, penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), dan tenaga kerja berkemahiran tinggi sebagai faktor utama kejayaan.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyifatkan kejayaan musim haji 2025 sebagai hasil iltizam berterusan kerajaan dalam memberi khidmat terbaik kepada jemaah serta menjaga dua Masjid Suci di Makkah dan Madinah.

“Kejayaan ini adalah kesinambungan usaha negara kami yang diberkati dalam menyambut tetamu Allah dan memelihara kesucian tempat suci ini,” katanya semasa majlis sambutan Aidiladha di Istana Mina.

Menurutnya, usaha akan terus ditingkatkan bagi menjamin keselesaan jemaah.

Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz, Timbalan Gabenor Wilayah Makkah, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya dalam sektor keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan, serta para sukarelawan.

“Mereka memainkan peranan penting dalam menjayakan musim haji ini,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menghargai peranan jemaah sendiri yang mematuhi peraturan.

“Mereka adalah rakan kongsi utama dalam kejayaan ini melalui disiplin dan kepatuhan mereka terhadap peraturan,” jelasnya.

Walaupun secara keseluruhan berjalan lancar, musim haji kali ini menyaksikan cabaran serius berkaitan jemaah tanpa kebenaran.

Lebih 205,000 individu dilaporkan diusir kerana cuba menunaikan haji tanpa permit sah.

Sebanyak 415 pejabat haji palsu dikenal pasti, manakala 269,000 anggota jemaah tanpa permit dihalang memasuki Makkah.

Tindakan undang-undang turut dikenakan, termasuk penahanan lebih 1,200 individu yang cuba membawa masuk jemaah tanpa kebenaran.

Kementerian Dalam Negeri turut mengumumkan hukuman kewangan berat terhadap mereka yang melanggar peraturan berkaitan haji.

Musim haji 2025 menyaksikan kehadiran sekitar 1.67 juta anggota jemaah dari seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, seramai 166,654 terdiri daripada warga dan penduduk Arab Saudi.

Kadar kawalan kesihatan, keselamatan dan pergerakan dilapor amat teratur, sekali gus memperlihat peningkatan keberkesanan pengurusan krisis.

Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Dr Mohammed bin Abdulkarim Al-Issa, turut memuji usaha kerajaan Saudi.

“Pergerakan antara tempat-tempat suci sangat lancar. Jemaah dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadah mereka dalam suasana rohani yang selesa,” katanya.

Tumpuan kini beralih kepada perancangan lebih awal bagi musim haji akan datang.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfig Al-Rabiah, mengumumkan bahawa dokumen persediaan awal bagi musim haji 1447H telah diserahkan kepada pejabat urusan jemaah, sebagai langkah memastikan kestabilan operasi dan peningkatan mutu perkhidmatan.

“Kejayaan musim ini adalah dengan izin Allah, diikuti dengan sokongan dan panduan daripada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan pengawasan langsung Putera Mahkota Mohammed bin Salman,” kata beliau.

Penekanan turut diberikan kepada pematuhan syarat kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam pendaftaran jemaah.

Kementerian juga mengumumkan bahawa persidangan dan pameran haji dan umrah akan diadakan pada November.

Semua pihak tempatan dan antarabangsa dijemput untuk berkongsi inovasi serta bertukar kepakaran demi mempertingkat perkhidmatan kepada jemaah secara berterusan.

Dalam satu majlis penutup di ibu pejabat Kementerian Haji dan Umrah di Makkah, anugerah Anugerah Emas Labbaitum telah disampaikan kepada agensi dan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim haji 1446H.

Langkah seperti pelaksanaan kontrak awal, penetapan lokasi dan penyepaduan perkhidmatan dijangka memberikan kesan besar terhadap pengalaman jemaah pada musim akan datang.

Kejayaan haji 2025 bukan sekadar satu pencapaian logistik, malah lambang keupayaan Arab Saudi sebagai pemimpin dalam pengurusan ibadah berskala besar.

Dengan perancangan teliti, pemantauan rapi, serta sokongan teknologi moden, kerajaan Saudi bukan sahaja melindungi kesucian ibadah, malah terus menetapkan standard baharu dalam pengurusan perhimpunan keagamaan di peringkat sejagat.

“Kita telah melihat bagaimana kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dengan antarabangsa mampu menjamin kelancaran ibadah terbesar umat Islam,” simpul Dr Tawfig Al-Rabiah.

“Inilah wajah pengurusan ibadah haji masa depan: Moden, terangkum dan terancang.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg