MAKKAH: Penguasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah memperkenalkan rangkaian perkhidmatan berteknologi tinggi yang inovatif untuk tingkatkan ibadah para jemaah di Tanah Suci.
Rangkaian perkhidmatan tersebut direka bentuk untuk menjadikan perjalanan ritual lebih lancar dan selamat untuk berjuta-juta jemaah dari serata dunia.
Ini sekali gus memastikan mereka dapat tumpukan perhatian terhadap amalan rohani mereka tanpa bimbang terhadap urusan logistik.
Antara kemajuan terkini ialah peta interaktif tercanggih dalam pelbagai bahasa, yang membimbing jemaah melayari kompleks masjid yang luas itu.
Peta tersebut menawarkan arah tepat ke pelbagai kemudahan perkhidmatan, seperti tandas, pusat kesihatan, tempat pengagihan air Zamzam, troli dan kemudahan penting lain.
Dengan menyediakan khidmat pelbagai bahasa, rangkaian interaktif ini dapat membantu menyelesaikan masalah komunikasi yang mungkin dihadapi para jemaah daripada pelbagai negara dan bahasa.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan kanak-kanak pula, pihak berkuasa Arab Saudi telah memperkenalkan gelang khusus untuk mereka pakai.
Disediakan di Pintu Ajyad dan Pintu King Fahd, gelang elektronik mengandungi maklumat mengenai ibu bapa mereka, yang membolehkan pihak berkuasa kedua-dua buah masjid menyatukan semula kanak-kanak dengan keluarga mereka dengan cepat sekiranya mereka terpisah dalam kesesakan jemaah.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa terhadap perkhidmatan mesra keluarga, untuk meminimumkan tekanan yang dihadapi pihak keluarga dan penjaga.
Dengan tawaran perkhidmatan penuh canggih ini, penguasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengambil pendekatan proaktif memenuhi keperluan jutaan jemaah yang datang untuk mengerjakan umrah dan haji.
Gabungan alat navigasi digital dan langkah keselamatan bagi manfaat jemaah yang mengerjakan ibadah dengan keluarga, mempamerkan dedikasi pihak berkuasa untuk menyesuaikan teknologi moden dalam perkhidmatan tradisi, menjadikan ziarah suci ke Masjidil Haram dan Masjid Nabi lebih selamat, lebih mudah dan lebih inklusif.
Arab Saudi juga telah memperkenalkan aplikasi Nusuk untuk membolehkan umat Islam yang ingin menunaikan umrah atau melawat tapak-tapak suci di Arab Saudi mendapatkan visa dan permit secara elektronik. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg