Masyarakat antarabangsa kecam langkah Israel perkukuh kawalan di Tebing Barat
Masyarakat antarabangsa kecam langkah Israel perkukuh kawalan di Tebing Barat
Langkah disifat berisiko cetus ketegangan lebih luas, lemahkan prospek penyelesaian dua negara
RAMALLAH: Pelbagai negara termasuk Arab Saudi, sekumpulan negara Arab dan Islam, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU), Rumah Putih serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Februari mengecam keputusan Israel memperkukuh kawalannya ke atas Tebing Barat yang diduduki.
Ia disifatkan sebagai satu langkah yang berisiko mencetuskan ketegangan lebih luas dan melemahkan prospek penyelesaian dua negara.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Arab Saudi, menteri luar Arab Saudi, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Indonesia, Pakistan, Mesir dan Turkey mengecam “sekeras-kerasnya terhadap keputusan dan langkah Israel melaksanakan kedaulatannya secara tidak sah, mengukuhkan kegiatan penempatan haram, serta mewujudkan realiti perundangan dan pentadbiran baru di Tebing Barat yang diduduki”.
Kenyataan itu dibuat ketika kemarahan antarabangsa memuncak susulan pengumuman Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, dan Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengenai langkah baru yang memperluas kawalan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki, selain memudahkan pemerolehan tanah oleh rakyat Israel bagi penempatan baru yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan bersama itu, langkah tersebut mempercepatkan “penaklukan tidak sah Israel dan pemindahan rakyat Palestin”, sambil menegaskan bahawa Israel “tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki”.
“Dasar peluasan dan langkah tidak sah yang berterusan oleh pemerintah Israel di Tebing Barat yang diduduki hanya menyemarakkan keganasan dan konflik di peringkat serantau,” tambah kenyataan bersama itu.
Para menteri luar berkenaan turut menyuarakan “penolakan mutlak” terhadap tindakan Israel yang mereka sifatkan sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa”.
Ia turut menegaskan bahawa langkah tersebut bukan sahaja menjejas prospek penyelesaian dua negara, malah menghakis asas usaha diplomatik untuk mencapai keamanan berkekalan.
Menurut mereka, tindakan itu turut mencabuli hak asasi rakyat Palestin yang tidak boleh dilucutkan untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Mereka menegaskan bahawa langkah Israel di Tebing Barat adalah “tidak sah”, serta melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB, khususnya Resolusi 2334 yang mengecam sebarang usaha mengubah komposisi demografi, ciri dan status wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmakdis Timur.
Kenyataan itu turut merujuk kepada pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024 yang memutuskan bahawa dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, serta kehadirannya yang berterusan adalah menyalahi undang-undang dan menegaskan keperluan menamatkan pendudukan Israel serta penaklukan wilayah Palestin secara tidak sah.
Para menteri luar menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral untuk memberi Israel tekanan supaya menghentikan apa yang disifatkan sebagai peningkatan berbahaya di Tebing Barat, termasuk kenyataan berunsur hasutan oleh pegawai Israel.
Mereka menegaskan bahawa memenuhi hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri dan kenegaraan, berasaskan penyelesaian dua negara serta selaras dengan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab, kekal sebagai “satu-satunya jalan mencapai keamanan adil dan menyeluruh yang menjamin keselamatan serta kestabilan serantau”.
Di Washington, seorang pegawai Rumah Putih berkata Presiden Donald Trump menentang penaklukan Israel ke atas Tebing Barat yang diduduki.
“Tebing Barat yang stabil adalah penting untuk keselamatan Israel dan sejajar dengan matlamat pentadbiran ini untuk mencapai keamanan di rantau tersebut,” kata pegawai itu, lapor agensi berita, Reuters.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, turut menyertai kecaman tersebut.
Menurut jurucakapnya, Encik Stephane Dujarric, Encik Guterres menyifatkan tindakan Israel sebagai “menggugat kestabilan” dan merosakkan prospek penyelesaian dua negara.
“Keputusan ini tidak membawa kita ke arah yang betul. Ia semakin menjauhkan kita daripada penyelesaian dua negara dan keupayaan rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri,” kata Encik Dujarric pada sidang media di ibu pejabat PBB di New York.
UK dalam satu kenyataan pada 9 Februari menggesa Israel menarik balik keputusan tersebut.
“UK mengecam keras keputusan Kabinet Keselamatan Israel untuk memperluas kawalan ke atas Tebing Barat,” ujar kenyataan Britain.
“Sebarang usaha sepihak untuk mengubah susun atur geografi atau demografi Palestin adalah tidak boleh diterima dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.”
Sepanyol turut mengeluarkan kecaman dengan Kementerian Luar negara itu menyatakan langkah Israel “bertentangan dengan undang-undang antarabangsa” dan berisiko mencetuskan gelombang keganasan baru.
“Sebarang cubaan pengilhakan adalah tidak boleh diterima dan menjejas usaha sedia ada ke arah pelaksanaan pelan keamanan dan gencatan senjata,” tambah kenyataan kementerian itu.
EU pula menyifatkan keputusan Kabinet Keselamatan Israel sebagai “satu lagi langkah ke arah yang salah”.
Jurucakap EU, Encik Anouar el Anouni, berkata langkah itu membuka laluan kepada lebih banyak penempatan haram dan melemahkan Perjanjian Oslo yang dimeterai beberapa dekad lalu.
Langkah berkenaan diluluskan dalam mesyuarat tertutup Kabinet Keselamatan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada 8 Februari dan dilihat penganalisis sebagai satu strategi penaklukan secara berperingkat terhadap wilayah yang diinginkan Palestin bagi sebuah negara masa depan.
Encik Smotrich secara terbuka menyatakan matlamat langkah itu adalah untuk “memperkukuh akar kami di seluruh Tanah Israel dan menguburkan idea penubuhan sebuah negara Palestin”. – Agensi berita.

