DETROIT (Michigan): Encik Abdul El-Sayed mencipta sejarah apabila memenangi pemilihan utama Parti Demokrat bagi kerusi Senat Amerika Syarikat di Michigan, sekali gus membuka peluang untuk menjadi senator Muslim pertama negara itu jika berjaya menewaskan calon Republikan, Encik Mike Rogers, pada pilihan raya umum November ini.

Kemenangan tipis pakar kesihatan awam berusia 41 tahun itu disifatkan sebagai detik penting bagi masyarakat Arab dan Islam di Amerika yang melihat kejayaannya sebagai bukti bahawa komuniti mereka kini semakin diterima dalam arus perdana politik negara itu walaupun sentimen anti-Islam masih wujud di beberapa negeri.

Encik El-Sayed memperoleh 48.5 peratus undi untuk menewaskan Ahli Kongres, Cik Haley Stevens, yang meraih 47.5 peratus undi dalam antara pertandingan pemilihan utama paling sengit dan paling mahal pada musim pilihan raya kali ini.

Cik Stevens kemudian mengucapkan tahniah kepada Encik El-Sayed serta menyatakan sokongan penuh kepada beliau bagi menghadapi pilihan raya umum November nanti.

Anak kelahiran Michigan yang berasal daripada keluarga pendatang Mesir itu berdepan cabaran besar menentang bekas Ahli Dewan Perwakilan Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pertandingan yang dijangka menjadi antara penentu usaha Demokrat merampas semula penguasaan Senat.

Kemenangan Encik El-Sayed turut mendapat liputan meluas media berbahasa Arab kerana beliau menjadi antara tokoh Arab-Amerika paling menonjol yang berjaya memenangi pertandingan politik di peringkat nasional.

Bagi ramai penyokong Islam, kejayaan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar kemenangan politik.

Encik Bilal Baydoun, seorang penulis dan ahli strategi politik dari Dearborn, Michigan, berkata masyarakat Islam selama ini sering merasakan mereka perlu menyembunyikan identiti agama untuk diterima dalam politik Amerika.

“Sejak kecil, kami sering diberitahu bahawa jika mahu berjaya, kami perlu menyembunyikan identiti sebagai Muslim. Melihat beliau berdiri dengan bangga menggunakan nama penuhnya memberikan harapan baharu kepada kami,” katanya ketika meraikan kemenangan Encik El-Sayed di Detroit.

Pandangan sama turut dikongsi Cik Nishi Rahman, seorang perunding penjagaan kesihatan dari New York yang mengikuti perjalanan politik Encik El-Sayed sejak beliau bertanding jawatan Gabenor Michigan pada 2018.

Menurutnya, suasana selepas serangan 11 September 2001 menyebabkan ramai kanak-kanak Islam berasa mereka tidak mempunyai tempat dalam politik Amerika.

“Apa yang berlaku hari ini menunjukkan masyarakat Islam juga mempunyai tempat di negara ini. Kami boleh menjadi pemimpin dan kami juga rakyat Amerika seperti orang lain,” katanya.

Cik Farah Chalisa, peguam hak asasi manusia yang ibu bapanya berhijrah dari Pakistan, berkata kemenangan Encik El-Sayed membuatkan beliau berasa lebih diterima sebagai rakyat Amerika.

“Ia sangat bermakna apabila melihat seorang lelaki Muslim berpotensi menjadi senator. Ia membuatkan saya benar-benar merasakan diri ini sebahagian daripada negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, kemenangan Encik El-Sayed dijangka terus mencetuskan perdebatan, khususnya berkaitan pendiriannya terhadap konflik Palestin-Israel.

Sepanjang kempen, beliau secara terbuka mengkritik tindakan Israel di Gaza serta dasar luar Washington di Asia Barat, menjadikan isu itu antara topik utama yang membezakan beliau dengan Cik Stevens.

Beliau juga menuduh kumpulan lobi pro-Israel sebagai mempunyai pengaruh besar terhadap dasar luar Amerika.

Pada masa sama, Cik Stevens menerima sokongan kewangan puluhan juta dolar daripada jawatankuasa tindakan politik yang dikaitkan dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC), kumpulan pelobi pro-Israel paling berpengaruh di negara itu.

Menurut laporan media Amerika, gabungan AIPAC dengan organisasi berkaitannya membelanjakan hampir AS$30 juta bagi membantu kempen Cik Stevens.

Encik El-Sayed sebelum ini menyifatkan Israel sebagai “negara yang bertindak di luar undang-undang antarabangsa” selain menentang bantuan ketenteraan Washington kepada Israel, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Beliau turut menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan sistem apartheid terhadap rakyat Palestin.

Israel bagaimanapun menolak dakwaan itu.

Kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang difailkan Afrika Selatan berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai juga masih belum diputuskan.

Walaupun lantang mengkritik Israel, Encik El-Sayed turut mengecam Hamas.

Dalam satu temu bual bersama CNN pada April lalu, beliau menyifatkan kedua-dua pihak sebagai “jahat” dan menegaskan penyelesaian konflik perlu dicapai melalui pendekatan diplomatik.

Selain isu Asia Barat, kempen beliau lebih banyak menumpukan kepada agenda domestik seperti memperluaskan perlindungan kesihatan Medicare kepada semua rakyat Amerika, mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya serta mengurangkan pengaruh wang korporat dalam politik.

Latar belakang beliau sebagai pakar kesihatan awam turut menjadi antara kekuatan utama kempen.

Encik El-Sayed dilahirkan di pinggir bandar Detroit dan dibesarkan oleh ibu bapanya yang berhijrah dari Mesir.

Beliau memperoleh ijazah dari Universiti Michigan sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Universiti Columbia dan meraih ijazah kedoktoran dari Universiti Oxford.

Sebelum bertanding ke Senat, beliau pernah berkhidmat dalam beberapa institusi kesihatan awam di Michigan, namun tidak pernah memegang sebarang jawatan politik yang dipilih melalui pilihan raya.

Kempen beliau turut mendapat sokongan beberapa tokoh progresif Parti Demokrat termasuk Senator Bebas Bernie Sanders, Senator Elizabeth Warren dan Ahli Dewan Perwakilan Alexandria Ocasio-Cortez.

Bagaimanapun, beliau menolak label sebagai sosialis demokrat walaupun sering dikaitkan dengan sayap progresif parti itu.

Dari sudut dasar luar, El-Sayed turut menentang perang terhadap Iran dan menyifatkannya sebagai tindakan yang “bodoh serta menyalahi undang-undang”.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Iran tidak sepatutnya memiliki senjata nuklear dan isu itu perlu diselesaikan melalui rundingan diplomatik, bukannya peperangan.

Kemenangan El-Sayed juga dilihat mencerminkan perubahan sentimen dalam kalangan pengundi Demokrat terhadap konflik Palestin-Israel.

Tinjauan Pew Research Center pada April lalu menunjukkan 80 peratus penyokong Demokrat kini mempunyai pandangan negatif terhadap Israel, meningkat daripada 53 peratus sebelum tercetusnya perang Gaza pada 2023.

Perubahan itu turut menyaksikan beberapa calon progresif yang menyokong perjuangan Palestin mencatat kemenangan dalam pemilihan Parti Demokrat di beberapa negeri sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun begitu, laluan Encik El-Sayed ke Senat masih dijangka mencabar.

Jawatankuasa Senator Republikan Kebangsaan segera melancarkan iklan digital yang melabelkan beliau sebagai “calon Senat paling radikal di Amerika”, manakala beberapa ahli politik Republikan di negeri lain mula menggunakan retorik anti-Islam bagi menyerang pencalonannya.

Penganalisis politik berpendapat pertandingan antara Encik El-Sayed dan Encik Rogers dijangka berlangsung sengit memandangkan Michigan ialah negeri penentu yang sering menjadi medan persaingan rapat antara Demokrat dan Republikan dalam pilihan raya nasional.