MICHIGAN: Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 mencatat perubahan besar dalam sokongan anggota masyarakat Muslim dan Arab Amerika yang sebelum ini cenderung menyokong Parti Demokrat.
Berdasarkan data awal yang dikumpul oleh beberapa kumpulan advokasi utama, ramai pengundi Muslim dan Arab memutuskan untuk memberikan sokongan kepada calon Republikan, Encik Donald Trump, serta calon-calon bebas yang lain.
Punca utama perubahan itu adalah kekecewaan mereka terhadap pentadbiran Encik Joe Biden daripada Parti Demokrat dalam menangani isu perang di Gaza.
Rasa tidak puas hati itu dipercayai menjadi pendorong utama yang membawa Encik Trump mencatat kemenangan di negeri utama, khususnya di Michigan.
Kemenangan Encik Trump menewaskan Naib Presiden, Cik Kamala Harris, dan membuka jalan bagi mantan presiden itu kembali ke Rumah Putih buat kali kedua.
Dalam satu tinjauan undi oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair), kurang 50 peratus pengundi Muslim memberikan sokongan kepada Cik Harris.
Ini jauh lebih rendah berbanding anggaran 65 hingga 70 peratus yang mengundi Encik Biden pada 2020.
Sebilangan besar undi Muslim berpihak kepada calon Parti Hijau, Cik Jill Stein, yang lantang menggesa agar Amerika menghentikan sokongan ketenteraan kepada Israel.
Encik Trump pula mendapat sokongan beberapa pemimpin anggota masyarakat Arab dan Muslim di Michigan.
Peralihan yang sama turut berlaku dalam kalangan pengundi Arab Amerika.
Menurut Presiden, Institut Arab Amerika, Dr James Zogby, pengundi Arab yang selama ini menyokong Parti Demokrat dengan nisbah 2:1 mula beralih sokongan.
Sebelum pilihan raya, tinjauan menunjukkan undi Arab terbahagi hampir sama rata antara Encik Trump dengan Cik Harris, dan keputusan akhir pilihan raya mencerminkan jurang tersebut.
Dr Zogby menjelaskan bahawa isu Gaza memberikan kesan besar dalam mempengaruhi pengundi Arab dan Muslim.
“Apa yang mereka lihat berlaku di Gaza sangat menyentuh perasaan mereka,” katanya.
Di Michigan, rasa tidak puas hati pengundi Arab dan Muslim jelas kelihatan, terutama di Dearborn, Dearborn Heights dan Hamtramck.
Di Dearborn, lebih 55 peratus penduduknya adalah keturunan Timur Tengah.
Encik Trump berjaya meraih lebih 42 peratus undi di kawasan itu, meningkat daripada 30 peratus pada pilihan raya lalu.
Sementara itu, Cik Harris hanya menerima 36 peratus undi daripada anggota masyarakat yang sebelum ini memberi Encik Biden hampir 70 peratus sokongan.
Di Hamtramck, yang merupakan bandar majoriti Muslim pertama di Amerikat, Encik Trump mengaut 43 peratus undi, peningkatan ketara daripada 13 peratus pada 2020.
Cik Harris pula menerima hanya 46 peratus, jauh berbeza dengan 85 peratus undi yang diterima oleh Encik Biden empat tahun lalu.
Isu lain yang turut mempengaruhi keputusan undi termasuk ekonomi dan ketidakseimbangan sistem pendidikan.
Aktivis komuniti di Hamtramck, Encik Asm Kamal Rahman, berkata beliau menyokong Encik Trump buat kali pertama kerana pelan ekonominya.
Walaupun Encik Rahman seorang penyokong Demokrat, isu seperti pekerjaan dan inflasi menjadi faktor utama mengapa undinya berpihak kepada Republikan.
Di samping itu, kebimbangan mengenai isu imigrasi haram dan dasar keselamatan sempadan turut memainkan peranan penting.
Bagi sebahagian pengundi Muslim dan Arab, isu itu dirasakan membebankan rakyat Amerika dan perlu ditangani dengan tegas.
Pentadbiran Encik Biden dan Parti Demokrat kini menerima mesej yang jelas daripada anggota masyarakat Arab dan Muslim Amerika: Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan tanpa syarat daripada kumpulan minoriti itu.
Ramai dalam masyarakat ini berharap perubahan dasar yang lebih sejajar dengan nilai dan kepentingan mereka, terutama berkaitan dasar luar dan isu kemanusiaan sejagat.
Warga Dearborn keturunan Yaman, Encik Abdullah Hizam, menyatakan ramai cuba menakut-nakutkan mereka daripada mengundi Encik Trump, tetapi tindakan itu tidak menggugat sokongannya.
Baginya, perubahan yang diharapkan hanya boleh dicapai melalui calon yang membawa harapan untuk masa depan yang lebih baik.
Encik Hizam menyatakan pilihan raya itu membuktikan anggota masyarakat Muslim dan Arab Amerika kini merupakan kuasa yang tidak boleh diabaikan dalam landskap politik Amerika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg