Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maut di hotel Bangkok: Wanita disyaki racun 5 orang, diri sendiri

Jul 17, 2024 | 5:44 PM
Gambar yang diedarkan oleh Polis Diraja Thai menunjukkan minuman yang ditinggalkan dalam bilik hotel tempat enam orang yang didapati maut. Kematian dipercayai berpunca daripada racun sianida.
Gambar yang diedarkan oleh Polis Diraja Thai menunjukkan minuman yang ditinggalkan dalam bilik hotel tempat enam orang yang didapati maut. Kematian dipercayai berpunca daripada racun sianida. - Foto AFP
Pegawai polis Thailand mengawal sekitar hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok, Thailand, pada 16 Julai selepas enam mayat ditemui.
Pegawai polis Thailand mengawal sekitar hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok, Thailand, pada 16 Julai selepas enam mayat ditemui. - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Seorang wanita Amerika-Vietnam, Sherine Chong, dikenal pasti polis Thailand sebagai suspek yang meracuni lima orang di hotel mewah Grand Hyatt Erawan di Bangkok, sebelum dia membunuh dirinya dengan racun sianida.

Keracunan sianida berkemungkinan menjadi punca kematian.

Penyiasat Thailan membuat kesimpulan itu selepas menyoal saksi, kata Mejar Jeneral Polis Theeradet Thumsuthee, ketua penyiasatan Biro Polis Metropolitan Bangkok, lapor akhbar Thai, Khaosod dan Bangkok Post, pada 17 Julai.

Isu hutang disyaki menjadi motifnya, kata Mejar Jeneral Theeradet. Polis Thailand tidak menyiasat kemungkinan suspek lain, kerana bilik tempat mayat ditemui dikunci dari dalam dan tiada tanda pergelutan.

Chong disyaki meracuni orang-orang itu sebelum dia membunuh diri, kata polis Thailand pada 17 Julai.

“Kes itu mungkin berpunca daripada masalah hutang. Tiada kemungkinan lain. Pelakunya adalah antara enam (yang mati) kerana hanya mereka yang memasuki bilik itu,” kata Mejar Jeneral Theeradet.

Hutang itu disyaki berpunca daripada pelaburan dalam sebuah perniagaan melibatkan satu pembinaan yang kemudiannya gulung tikar.

Selepas menyoal saksi, termasuk beberapa ahli keluarga si mati, penyiasat berkata mereka yang maut terdiri daripada peminjam, pemberi pinjaman dan penjamin.

Laporan Polis Diraja Thailand berkata dua daripada mereka adalah pasangan suami isteri.

Tiga lelaki dan tiga wanita itu semuanya berketurunan Vietnam. Dua daripada mereka, termasuk Chong, 56 tahun, adalah warga Amerika.

Mayat mereka ditemui kakitangan hotel di dalam bilik di tingkat lima pada kira-kira 5.30 petang 16 Julai, beberapa jam selepas mereka sepatutnya mendaftar keluar.

Kumpulan itu menempah beberapa bilik atas tujuh nama di tingkat berbeza, kata ketua polis Bangkok, Leftenan Jeneral Thiti Saengsawang.

Orang ketujuh ialah adik perempuan salah seorang yang maut, lapor akhbar Khaosod. Beliau meninggalkan Thailand pada 10 Julai, dan tidak disyaki terlibat.

Leftenan Jeneral Thiti berkata kumpulan enam orang itu memesan makanan tetapi ia tidak disentuh, melainkan beberapa minuman.

Beberapa gambar yang menunjukkan pinggan berisi nasi goreng, sayur-sayuran dan sup tomyam dibalut plastik diedarkan di Internet. Hanya satu daripada pinggan itu yang plastiknya telah ditanggalkan.

Penyiasat forensik yang dipetik Khaosod pada 17 Julai berkata mereka menemui sianida dalam botol air di dalam bilik itu. Bahan itu dicampurkan ke dalam minuman menyerupai kopi hitam.

Keputusan bedah siasat dijangka diketahui pada 18 Julai.

Biro Penyiasatan Federal (FBI) Amerika Syarikat turut membantu siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg