Maximilian Maeder sendiri mengakui bahawa beliau hampir hilang kawalan diri dalam perlumbaan terakhir luncur lelayang di Kejohanan Dunia Formula Kite.

Namun atlet warga Singapura berusia 19 tahun itu berjaya menenangkan dirinya dan bangkit untuk merangkul semula gelaran dunianya pada 16 Mei. 

Ia merupakan gelaran dunia ketiga bagi atlet Singapura itu, selepas kemenangan pada 2023 dan 2024.

Usahanya untuk melengkapkan hatrik pada 2025 terbantut apabila beliau tewas kepada lawan dari Italy, Riccardo Pianosi. 

Namun, percubaannya kali ini berjaya.

Maeder, 19 tahun, berkata: “Tidak ada kata yang mampu menggambarkan betapa gembiranya apabila usaha kita membuahkan hasil...

“Sepanjang musim sejuk, segala latihan, pasukan baharu, apa yang saya lakukan – melihat semuanya berhasil adalah satu kepuasan yang luar biasa.

“Ini adalah kejohanan yang sungguh luar biasa, para pesaing menjadikannya sangat mengujakan, terutama dalam perlumbaan terakhir.

“Gelaran dunia ketiga? Saya tidak mengira, tetapi memiliki gelaran dunia itu sendiri sangat bermakna, dan ini sama pentingnya... seperti setiap kali saya berjaya merangkul gelaran itu sebelum ini.” 

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang mengucapkan tahniah kepada beliau dalam hantaran di Facebook, menyifatkan gelaran kali ketiga itu sebagai sesuatu yang luar biasa berkat kecekalan, keberanian dan ketekunan Max – ciri juara sebenar.

Max ujar beliau, telah membanggakan negara dan merupakan inspirasi kepada ramai anak muda Singapura – dengan menunjukkan bahawa berkat kerja keras, disiplin dan kepercayaan kepada diri sendiri, seseorang itu boleh pergi jauh, lebih daripada apa yang difikirkan.

Dalam kejohanan dunia yang berlangsung dari 9 hingga 16 Mei di Viana do Castelo, Portugal, Max, yang memenangi pingat gangsa Olimpik, memastikan tempat di peringkat akhir dengan menduduki tangga teratas siri kelayakan dengan 16 mata bersih.

Gian Stragiotti dari Switzerland, yang berada di tempat kedua dengan 40 mata, turut mendapat tempat automatik ke peringkat akhir seperti Maeder dan memperoleh kelebihan satu mata perlawanan.

Juara Olimpik dari Austria, Valentin Bontus, dan Lucas Fonseca dari Brazil kemudian mara melalui separuh akhir untuk melengkapkan barisan empat peserta peringkat akhir.

Juara bertahan, Pianosi, mengakhiri perlumbaan di tempat kelima secara keseluruhan.

Dalam final pada 16 Mei, atlet Singapura yang mudah dikenali dengan bib kuningnya itu memulakan perlumbaan dengan mantap, dan Bontus menyusul secara dekat.

Fonseca dan Stragiotti kemudian mengejar Bontus dalam persaingan untuk merebut tempat kedua, sementara Maeder terus melebarkan jurang di hadapan.

Maeder merupakan yang pertama melintasi garisan penamat, meraikan kemenangannya dengan menumbuk ke udara dengan penuh semangat, manakala Stragiotti berada di tempat kedua dan Fonseca di tempat ketiga.

“Pada 2025, saya menukar pasukan dan jurulatih, dan kami cuba melaksanakan perkara baharu yang masih belum sempurna ketika itu. Kini semuanya lebih mantap dan saya lebih selesa dengan sistem ini,” kata Maeder.

“Siri kelayakan berjalan dengan baik dan ia memang memberi saya dorongan keyakinan, tetapi ia juga seperti pedang bermata dua – selepas mendominasi perlumbaan sepanjang minggu... bagaimanakah kesudahannya jika saya tidak menang?”

Dalam temu bual selepas perlumbaan bersama Persatuan Luncur Lelayang Antarabangsa (IKA), beliau menambah:

“Saya tidak tahu nak kata apa. Saya berada dalam keadaan tunggang-langgang.

“Saya takut, saya menggigil teruk. Sudah tentu saya perlu kekal stabil di atas papan saya, tetapi dalam fikiran saya, saya... hampir rebah.

“Namun, selepas saya berjaya melalui tanda pertama dengan selamat, saya berasa sangat lega.

“Saya selalu berkata saya adalah orang yang sangat bertuah, tetapi saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memanfaatkannya.

“Pesaing-pesaing lain, saya pasti mereka akan mengejar tidak lama lagi, jadi saya perlu sentiasa berwaspada, seperti yang selalu dikatakan jurulatih saya.”

Stragiotti, yang berlatih bersama Maeder di bawah jurulatih, Matthieu Girolet, dalam pasukan Switzerland, memberitahu IKA:

“Pertarungannya sangat sengit dan anginnya cukup kencang, tetapi saya sangat gembira.

“Tidak ada yang lebih baik daripada ini dengan rakan sepasukan saya di tangga teratas.

Ini merupakan kemenangan ketiga Maeder dalam musim 2026.

Remaja itu memenangi gelaran Formula Kite lelaki semasa Minggu Olimpik Perancis pada 24 April, kurang dari tiga minggu selepas meraih emas keempat berturut-turut di pertandingan Trofeo Princesa Sofia di Sepanyol pada 4 April.

“Ini adalah kejohanan yang sungguh luar biasa, para pesaing menjadikannya sangat mengujakan, terutama dalam perlumbaan terakhir. Gelaran dunia ketiga? Saya tidak mengira, tetapi memiliki gelaran dunia itu sendiri sangat bermakna, dan ini sama pentingnya... seperti setiap kali saya berjaya merangkul gelaran itu sebelum ini.” 
Maximilian Maeder, atlet luncur lelayang Singapura dan juara Kejohanan Dunia Formula Kite 2026.