Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Max Maeder atasi pelbagai rintangan pertahan kejuaraan Eropah

Atlet S’pura atasi pesaing dari Italy, Riccardo Pianosi, dalam hari perlumbaan ‘luar biasa’
May 20, 2025 | 3:57 PM
Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder (jaket merah) mengekalkan mahkota Kejohanan Formula Lelayang Eropah selepas menewaskan Riccardo Pianosi (jaket kuning) dalam siri pingat itu pada 19 Mei.
Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder (jaket merah) mengekalkan mahkota Kejohanan Formula Lelayang Eropah selepas menewaskan Riccardo Pianosi (jaket kuning) dalam siri pingat itu pada 19 Mei. - Foto ST

Digelar ‘pakar bedah’ oleh rakan sepasukannya, atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, berjaya mengetepikan emosinya dan beraksi dengan ketepatan yang mengagumkan untuk mempertahankan gelaran Kejohanan Formula Lelayang Eropah pada 19 Mei.

Kemenangan itu diraih selepas Maeder mengalami perlumbaan selama seminggu yang penuh cabaran.

Pemenang pingat gangsa di Olimpik Paris 2024 itu menamatkan perlumbaan di acara Minggu Olimpik Perancis pada April 2025 di tempat kedua di belakang Riccardo Pianosi.

Namun, beliau menegaskan bahawa kejayaan kali ini bukan bertujuan membalas kekalahan tersebut walaupun dapat menewaskan atlet Itali berusia 20 tahun itu di kejohanan yang diadakan di Urla, Turkey, itu.

Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, berkata kemenangannya ke atas atlet Italy, Riccardo Pianosi, di Kejohanan Formula Lelayang Eropah bukan berdasarkan dendam.
Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, berkata kemenangannya ke atas atlet Italy, Riccardo Pianosi, di Kejohanan Formula Lelayang Eropah bukan berdasarkan dendam. - Foto FB SINGAPORE SAILING

Bercakap kepada The Straits Times (ST), Maeder berkata:

“Kemenangan ini bukan sekadar mempertahankan gelaran atau membalas dendam, kerana perasaan itu walaupun memuaskan, boleh mengaburi penilaian kita semasa perlumbaan. Maka, ini merupakan pengalaman pembelajaran yang baik, di mana saya berjaya memisahkan diri daripada emosi tersebut.

“Ketepatan seperti pakar bedah ini kadangkala sukar dicapai, dan saya sangat gembira dan terharu apabila menerima pujian sedemikian dan dapat mempersembahkannya hari ini.”

Pianosi menguasai siri pembukaan dengan memenangi 11 daripada 16 perlumbaan dan melayakkan diri ke pusingan akhir.

Beliau sekali gus menjadi atlet tunggal yang mempunyai satu mata kemenangan dan hanya perlu menang satu perlumbaan sahaja untuk merangkul emas.

Maeder pula menghadapi pelbagai halangan sebelum menamatkan siri pembukaan di tempat kedua dan perlu memenangi dua perlumbaan dalam pusingan akhir untuk menewaskan Pianosi.

Di perlumbaan keenam siri pembukaan, satu kemalangan telah menyebabkan peranti penjejakan tercabut dan sut selam Maeder terkoyak.

Beliau kemudian terlepas perlumbaan seterusnya selepas tali layarnya tersangkut ketika permulaan perlumbaan, menyebabkan lelayangnya rosak.

Dalam perlumbaan kedua terakhir, beg plastik tersangkut pada hydrofoil (sayap bawah air) lalu menjatuhkan Maeder ke dalam air dan menterbalikkan lelayangnya – lantas menamatkan saingan di tempat terakhir.

Detik dramatik itu berterusan pada pusingan akhir empat peserta, pada hari perlumbaan yang disifatkan sebagai “luar biasa”.

Ekoran memerlukan kemenangan dan mengelakkan Pianosi daripada meraih kemenangan dalam percubaan pertama, lelayang kedua-dua pelumba terlanggar.

Pianosi kemudian dikenakan penalti setelah didapati menyentuh lelayang Maeder ketika pusingan mengikut arah angin (‘downwind’) yang pertama.

Atlet Singapura berusia 18 tahun itu kemudian mengekalkan fokus dan memanfaatkan permulaan lemah daripada Pianosi dalam perlumbaan kedua untuk meraih kemenangan pertamanya bagi 2025.

Gian Stragiotti dari Switzerland dan Cameron Maramenides dari Greece masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder (tengah), memenangi Kejohanan Formula Lelayang Eropah di Urla, Turkey. Turut bersamanya ialah dari kiri, Cameron Maramenides dari Greece (tempat keempat); Riccardo Pianosi dari Italy (tempat kedua); dan Gian Stragiotti dari Switzerland.
Atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder (tengah), memenangi Kejohanan Formula Lelayang Eropah di Urla, Turkey. Turut bersamanya ialah dari kiri, Cameron Maramenides dari Greece (tempat keempat); Riccardo Pianosi dari Italy (tempat kedua); dan Gian Stragiotti dari Switzerland. - Foto FB SINGAPORE SAILING

Maeder menambah, untuk mengekalkan fokus selepas menang atau kalah dalam perlumbaan adalah lumrah pelumba, kerana mereka perlu melakukannya berulang kali.

“Selama ini, saya telah membina keupayaan diri saya untuk menyedari bila tugas saya belum selesai, serta membetulkan semula fokus dan bangkit kembali.

“Saya juga terdorong oleh saingan hebat di sekeliling saya yang memaksa saya untuk lakukan yang terbaik. Mereka mencetuskan sikap yang terbaik dalam diri saya, dan saya harap saya juga mencetuskan yang terbaik dalam diri mereka,” ujarnya.

Pianosi turut memberikan penghargaan kepada juara itu dan berkata:

“Max beraksi hebat hari ini. Beliau melakukannya dengan cemerlang dalam perlumbaan pertama, dan lebih baik lagi dalam perlumbaan kedua.

“Saya melakukan kesilapan pada permulaan, tetapi hari ini miliknya dan saya tumpang gembira.”

Maeder dijangka pulang ke Singapura pada 25 Mei untuk berehat selama dua minggu sebelum kembali ke Eropah bagi sesi latihan.

Dalam kategori wanita, Lauriane Nolot dari Perancis meraih pingat emas, manakala Lily Young dari Britain, Lysa Caval dari Perancis dan Catalina Turienzo dari Argentina masing-masing di tempat kedua, ketiga dan keempat.

Sementara itu, dalam Kejohanan Dunia Ilca 6 Wanita dan Ilca 7 Lelaki yang berlangsung dari 10 hingga 17 Mei di Qingdao, China, pelayar Singapura, Ryan Lo, menamatkan saingan di tempat ke-14 – kedudukan tertinggi bagi peserta lelaki Asia.

Rakan sepasukannya, Jarrod Toh, berada di tempat ke-123 daripada 138 pelayar, dengan pelayar Belanda, Willem Wiersema, meraih emas.

Dalam acara wanita, Jania Ang dari Singapura, menduduki tempat ke-57 daripada 99 pelayar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg