Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayor Istanbul ditahan, pembangkang dakwa cubaan singkir pesaing Erdogan

Mar 19, 2025 | 3:17 PM
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu dari parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP), bersama isterinya Dilek Imamoglu, berada di atas sebuah bas selepas memberikan keterangan kepada pihak kehakiman di Istana Kehakiman Caglayan, Istanbul, Turkey, pada 31 Januari 2025. 
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu dari parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP), bersama isterinya Dilek Imamoglu, berada di atas sebuah bas selepas memberikan keterangan kepada pihak kehakiman di Istana Kehakiman Caglayan, Istanbul, Turkey, pada 31 Januari 2025.  - Foto REUTERS

ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkey menahan Datuk Bandar Istanbul, Encik Ekrem Imamoglu, pada 19 Mac atas dakwaan rasuah, penipuan tender, serta membantu kumpulan pengganas.

Penahanannya mencetuskan kemarahan parti pembangkang yang menyifatkan tindakan ini sebagai “cubaan rampasan kuasa terhadap bakal presiden Turkey.”

Encik Imamoglu, tokoh utama Parti Rakyat Republikan (CHP), merupakan pencabar utama Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga dijangka dinamakan secara rasmi sebagai calon presiden oleh partinya dalam masa terdekat.

Pihak pendakwa raya Istanbul mendedahkan bahawa Encik Imamoglu sedang disiasat dalam dua kes berasingan.

Kes pertama melibatkan dakwaan rasuah dan penubuhan organisasi jenayah membabitkan lebih 100 individu, termasuk wartawan dan ahli perniagaan. Mereka didakwa terbabit dalam penyalahgunaan kuasa berkaitan tender kerajaan bandaraya.

Kes kedua pula melibatkan tuduhan bahawa Imamoglu dan enam lagi individu membantu Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkey dan beberapa sekutunya di Barat.

Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun X miliknya, Encik Imamoglu berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan politik. “Saya tidak akan berundur. Saya akan terus berdiri teguh demi rakyat dan demokrasi,” katanya ringkas tetapi tegas.

Penahanan Encik Imamoglu berlaku sehari selepas Universiti Istanbul membatalkan ijazah sarjananya - satu tindakan yang jika disahkan, boleh menggugurkan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Ketika ini, pilihan raya dijadualkan berlangsung pada 2028, namun ia boleh diawalkan sekiranya Erdogan memilih untuk bertanding semula.

Dalam langkah yang dilihat sebagai cubaan menyekat protes susulan penahanan itu, Pejabat Gabenor Istanbul turut mengumumkan larangan semua bentuk perhimpunan awam dan demonstrasi selama empat hari bermula 19 Mac.

Jurucakap CHP, Encik Faik Öztrak, menyifatkan tindakan ini sebagai sangat membimbangkan. “Ini bukan sahaja penahanan seorang pemimpin, tetapi satu rampasan kuasa senyap terhadap kehendak rakyat. Imamoglu ialah harapan baharu Turkey, dan mereka tahu itu,” katanya.

“Jika pemimpin kami dipenjarakan hanya kerana beliau lantang dan berani, itu hanya membuktikan bahawa kuasa hari ini takut akan kekuatan rakyat,” tambahnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg