LONDON: Datuk Bandar London, Sir Sadiq Khan, mengumumkan pendekatan baharu yang disifatkannya sebagai “gaya Singapura” untuk menangani krisis perumahan di ibu kota Britain, termasuk pelaburan £100 juta ($172 juta) bagi membolehkan Dewan Bandaraya London terlibat secara langsung dalam pembangunan rumah buat pertama kali.

Pengumuman itu dibuat ketika lawatan perdagangan beliau ke Singapura dan Jepun, yang bertujuan menarik pelaburan asing ke London.

Dalam video yang dimuat naik ke media sosial pada 17 Jun, Sir Khan memuji model perumahan awam Singapura yang diterajui Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sambil berkata London boleh mempelajari banyak perkara daripada pendekatan pemerintah Singapura dalam menyediakan rumah mampu milik.

“Saya amat kagum dengan peranan pemerintah dalam pembangunan perumahan di sini,” katanya yang menyandang jawatan Datuk Bandar London sejak 2016.

“Jumlah rumah yang dibina setiap tahun hasil campur tangan langsung pemerintah sangat mengagumkan. Saya fikir London boleh belajar daripada Singapura.”

Sepanjang lawatan ke Singapura, Sir Khan dibawa melawat projek perumahan SkyResidence @ Dawson oleh wakil HDB. Beliau turut melihat kemudahan seperti taman permainan, klinik dan ruang masyarakat yang terletak berhampiran kawasan kediaman.

Menurut Sir Khan, suasana kejiranan itu mengingatkannya kepada zaman beliau membesar di estet perumahan awam di selatan London.

“Di sini ada rasa komuniti yang sangat kuat,” katanya.

Di bawah model baharu itu, Penguasa Greater London (GLA) akan melabur £100 juta dalam projek Silvertown Partnership di Royal Docks, timur London, yang dijangka menyediakan kira-kira 7,000 unit rumah baharu.

Sir Khan berkata sekitar 30 peratus daripada rumah itu dijangka menjadi “benar-benar mampu milik” untuk penduduk London.

Silvertown, yang disifatkan media Britain sebagai antara projek pembangunan semula terbesar di timur London, sebahagian besarnya tidak dibangunkan selama lebih 40 tahun.

Menurut Dewan Bandaraya London, pelaburan itu akan mempercepat pembinaan kawasan kejiranan baharu yang merangkumi unit kediaman, ruang komersial dan kawasan awam.

Pengumuman itu juga menandakan perubahan besar dalam pendekatan Dewan Bandaraya London terhadap isu perumahan.

Sebelum ini, pejabat datuk bandar lebih banyak berperanan sebagai penyedia dana dan rakan kerjasama kepada pemaju swasta. Namun di bawah model baharu ini, Dewan Bandaraya London sendiri akan menjadi rakan pembangunan secara langsung.

“Pengumuman hari ini benar-benar mengubah pendekatan,” kata Sir Khan.

“Dua datuk bandar sebelum saya tidak terlibat secara langsung dalam pembangunan. Saya melakukannya.”

Namun beberapa pakar berkata kejayaan model HDB sukar ditiru sepenuhnya di London kerana keadaan kedua-dua bandar amat berbeza.

Ahli ekonomi hartanah dari firma perunding Cistri, Encik Jack Backen, berkata kejayaan Singapura banyak bergantung kepada kestabilan dasar jangka panjang dan kawalan pemerintah terhadap tanah.

“Ada beberapa faktor di Singapura yang menjadikan model itu sangat berjaya,” katanya kepada BBC.

“Antaranya konsistensi pemerintahan dan keupayaan melaksanakan strategi jangka panjang tanpa perubahan dasar yang berterusan.”

“Perbezaan paling besar ialah pemerintah Singapura memiliki hampir semua tanah. Keupayaan mereka mengawal dan mengurus pasaran sangat kuat.”

Sebaliknya, London mempunyai sistem perancangan yang lebih berpecah-belah dengan ramai pemilik tanah dan pemaju swasta.

Pengerusi Konservatif Perhimpunan London, Encik Andrew Boff, turut mengkritik pengumuman Sir Khan itu.

“Penduduk London sudah mula penat dengan pengumuman seperti ini kerana ia tidak benar-benar mencerminkan realiti,” katanya.

Beliau mendakwa London masih gagal menyediakan rumah bersaiz keluarga yang sangat diperlukan rakyat.

Krisis perumahan di London semakin meruncing sejak beberapa tahun lalu.

Akhbar Britain, The Guardian, baru-baru ini melaporkan jumlah gelandangan yang terpaksa meninggalkan London meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun.

Laporan 2023 pula mendapati hanya dua peratus hartanah persendirian di London mampu disewa oleh individu yang menerima bantuan perumahan pemerintah.

Menurut Projek Gelandangan Tunggal di Britain, lebih separuh golongan gelandangan England berada di London, dengan seorang daripada setiap 45 penduduk tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

Sir Khan bagaimanapun mengakui London tidak mungkin dapat meniru model Singapura sepenuhnya.

“Apa yang kami lakukan ialah belajar daripada yang terbaik dan menyesuaikannya dengan acuan London,” katanya.

Selain isu perumahan, Sir Khan turut memuji inisiatif ‘kota dalam taman’ atau City in a Garden Singapura selepas melawat Gardens by the Bay.

“Visi City in a Garden Singapura menunjukkan bagaimana pelaburan jangka panjang dalam prasarana hijau boleh mengubah ruang bandar, meningkatkan kesejahteraan dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya menerusi media sosial.

Sir Khan, yang berada di Singapura bagi menghadiri Sidang Kemuncak Bandar Sedunia, telah diberikan Anugerah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026 bagi pihak bandar London.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sepanjang lawatan tersebut. – Agensi berita.