Kota London dianugerahkan Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026 atas kejayaannya mengubah bekas tapak landasan kereta api seluas 27 hektar yang terbiar menjadi daerah rancak dengan pelbagai kegunaan di samping mewujudkan zon udara bersih terbesar seumpamanya di dunia.

Anugerah yang diperkenalkan pada 2010 dan diberikan setiap dua tahun itu mengiktiraf bandar yang menunjukkan pentadbiran baik serta berpandangan jauh dalam menangani cabaran pembangunan bandar, sambil membawa manfaat kepada anggota masyarakat.

Datuk Bandar London, Encik Sadiq Khan, menerima anugerah tersebut pada 15 Jun dalam satu majlis di Panggung Capitol.

Majlis penyampaian anugerah tersebut adalah anjuran bersama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Pusat bagi Kota-Kota yang Sesuai Didiami (CLC).

Dalam satu kenyataan bersama, URA dan CLC menyatakan London dipilih sebagai penerima edisi kelapan anugerah itu atas “keupayaan luar biasa untuk terus mencipta semula dirinya dan melaksanakan perubahan transformasi bagi sebuah kota metropolis yang padat”.

Juri anugerah itu turut memuji London kerana berjaya membawa perubahan positif menerusi tadbir urus yang berdaya tahan dan inovatif, pembangunan prasarana yang membawa perubahan serta kerjasama kreatif antara sektor awam dengan swasta.

Antara daya usaha yang diketengahkan ialah Zon Pelepasan Bahan Buangan Amat Rendah, yang meliputi kawasan seluas 1,500 kilometer persegi, serta program makanan sekolah percuma yang memberi manfaat kepada sehingga 270,000 pelajar setiap hari.

Menurut juri, inisiatif tersebut mencerminkan budaya tadbir urus yang menyelaras matlamat sosial, alam sekitar dan ekonomi dalam satu rangka dasar yang berpandangan jauh.

Pada sesi ceramah yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec sempena Sidang Kemuncak Bandar Sedunia antara 14 dengan 16 Jun, dengan wakil dari bandar pemenang anugerah dan bandar yang menerima sebutan khas berkongsi tentang usaha mereka, Encik Khan menyifatkan sajian sekolah percuma sebagai talian hayat baginya dan keluarga.

“Sajian tersebut memberi kami keyakinan segala-galanya mungkin dicapai, termasuk bagi kanak-kanak yang membesar di perumahan awam seperti saya,” katanya.

Beliau menambah, usaha menjadikan London bandar terbaik untuk kanak-kanak membesar merupakan cara beliau menghulurkan bantuan yang pernah diterimanya dahulu kepada generasi mendatang.

Dalam aspek perancangan prasarana, juri turut memuji Projek Laluan Elizabeth, rangkaian kereta api sepanjang 118 kilometer yang mula beroperasi pada 2022.

Dari 2015 hingga 2024, sebanyak 71,000 rumah baru dibina dalam lingkungan satu kilometer dari stesen Laluan Elizabeth, manakala 125,000 pekerjaan baru diwujudkan di kawasan sama antara 2022 dengan 2023.

Perkhidmatan itu kini merupakan laluan kereta api paling sibuk di Britain dengan sehingga 800,000 perjalanan sehari, dan dianggar menyumbang sekitar £42 bilion ($72 billion) kepada ekonomi negara tersebut.

Juri turut menonjolkan projek pembangunan semula King’s Cross sebagai contoh kejayaan pembaharuan bandar.

Rancangan induk kawasan bekas tapak landasan kereta api seluas 27 hektar itu dibangunkan menerusi proses lima tahun, melibatkan 30,000 penduduk.

Hasilnya adalah sebuah daerah yang menggabungkan pejabat, kedai dan restoran, selain mempunyai 20 jalan baru dan 10 ruang awam, yang masing-masing memiliki identiti tersendiri.

Encik Khan, yang menyandang jawatan Datuk Bandar London sejak 2016, berkata penghormatan yang diberi kepada London bukan sahaja miliknya, bahkan milik seluruh warga London serta pelbagai institusi dan masyarakat yang bekerjasama dengannya sepanjang sedekad lalu.