Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Melania Trump ancam saman Hunter Biden AS$1 bilion atas dakwaan diperkenal Epstein kepada Trump

Aug 14, 2025 | 4:27 PM
Wanita Pertama Amerika Syarikat Melania Trump, telah mengancam untuk menyaman Hunter Biden sebanyak AS$1 bilion atas dakwaan mengaitkan beliau dengan tokoh kontroversi Jeffrey Epstein.Kenyataan tersebut dianggap oleh Melania sebagai fitnah yang melampau dan mencemarkan reputasinya secara global. 
Wanita Pertama Amerika Syarikat Melania Trump, telah mengancam untuk menyaman Hunter Biden sebanyak AS$1 bilion atas dakwaan mengaitkan beliau dengan tokoh kontroversi Jeffrey Epstein.Kenyataan tersebut dianggap oleh Melania sebagai fitnah yang melampau dan mencemarkan reputasinya secara global.  - AFP

WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat, Melania Trump, mengancam untuk menyaman Hunter Biden melebihi AS$1 bilion ($1.28 bilion) selepas beliau mendakwa Cik Melania diperkenalkan kepada suaminya, Presiden Donald Trump, oleh pesalah seks Jeffrey Epstein.

Peguam yang mewakili Cik Melania, yang berkahwin dengan Donald Trump pada 2005, menyifatkan kenyataan itu sebagai “palsu, merendahkan maruah, berunsur fitnah dan berbaur provokatif.”

Encik Hunter Biden, anak kepada bekas Presiden Amerika Joe Biden, membuat dakwaan tersebut dalam satu temu bual awal bulan Ogos ini, di mana beliau mengkritik keras hubungan lama Encik Trump dengan Encik Epstein. Encik Trump mengakui pernah berkawan dengan Epstein tetapi berkata hubungan itu berakhir awal 2000-an selepas Encik Epstein mengambil pekerja dari spa di kelab golf Trump di Florida.

Surat daripada peguam Cik Melania yang dialamatkan kepada peguam Encik Hunter Biden menuntut beliau menarik balik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf, atau berdepan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi melebihi AS$1 bilion.

Surat itu menyatakan Cik Melania telah mengalami “kerugian kewangan dan reputasi yang amat besar” akibat dakwaan yang diulanginya. Encik Hunter turut dituduh mempunyai “sejarah panjang memperdagangkan nama orang lain” dan mengulangi dakwaan itu “untuk menarik perhatian kepada diri sendiri.”

Menurut laporan Fox News Digital, peguam Cik Melania, Encik Alejandro Brito, menghantar surat tersebut kepada Encik Hunter Biden dan peguamnya, Encik Abbe Lowell, pada 6 Ogos.

Cik Melania menuntut Encik Hunter segera menarik balik kenyataannya mengenai Epstein dan mengeluarkan permohonan maaf terbuka. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil.

Dakwaan Encik Hunter Biden bersandarkan artikel Daily Beast yang memetik penulis biografi Encik Trump, Encik Michael Wolff. Artikel itu kemudiannya ditarik balik selepas peguam Cik Melania membantah kandungan dan cara penyampaiannya.

“Mereka menghabiskan banyak masa bersama,” kata Encik Hunter mengenai Encik Trump dan Encik Epstein ketika temu bual bersama Encik Andrew Callaghan. “Itulah cara Melania dan Trump bertemu, menurut Michael Wolff.”

Dalam temu bual bersama Encik Callaghan, Encik Hunter turut mendakwa dokumen belum diterbitkan berkaitan Epstein akan “mengaitkan” Trump. Encik Hunter menghangatkan lagi isu ini dengan berkata “tidak diragui lagi” bahawa Trump dan Epstein adalah “kawan rapat” dan pesalah seks itu memperkenalkan Encik Trump kepada Cik Melania pada akhir 1990-an.

Dalam suratnya, Encik Brito menulis: “Kenyataan yang palsu, merendahkan maruah, berunsur fitnah dan provokatif ini telah tersebar luas di pelbagai platform digital, diterbitkan semula oleh media, wartawan, dan pengulas politik kepada puluhan juta orang di seluruh dunia.”

Encik Brito memberi amaran: “Kegagalan mematuhi akan memaksa Puan Trump menggunakan segala hak undang-undang yang ada untuk mendapatkan kembali kerugian kewangan dan reputasi yang besar akibat kenyataan anda.”

Surat itu menetapkan tarikh akhir pada 7 Ogos 2025, jam 5 petang untuk Encik Hunter mematuhi tuntutan tersebut. Sumber memberitahu Fox News bahawa Encik Hunter tidak mematuhinya.

Profil Harper’s Bazaar pada Januari 2016 melaporkan Cik Melania bertemu Encik Trump pada November 1998 di sebuah parti anjuran pengasas agensi peragaan. Cik Melania, ketika itu berusia 28 tahun, menolak memberi nombor telefon kerana Encik Trump hadir bersama pasangan. Encik Trump ketika itu baru berpisah daripada isteri keduanya, Marla Maples, yang diceraikannya pada 1999.

Tiada bukti wujudnya pengenalan antara Cik Melania dan Encik Trump melalui Encik Epstein, yang meninggal dunia dalam penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.

Surat tuntutan ini dikemukakan di tengah desakan terhadap Rumah Putih untuk mendedahkan “fail Epstein” - dokumen berkaitan siasatan jenayah terhadap pesalah seks tersebut.

Sebelum dipilih semula, Encik Trump berjanji akan mendedahkan dokumen tersebut jika kembali ke pejabat, namun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman pada Julai lalu menegaskan tiada senarai pelanggan yang boleh menjejaskan reputasi sesiapa.

Jabatan Kehakiman juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan maklumat tambahan mengenai kematian Encik Epstein, walaupun sebelum ini beberapa pegawai pentadbiran Encik Trump berkata dokumen itu akan didedahkan sepenuhnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg