WASHINGTON: Parti Republikan berjaya meraih kawalan ke atas Senat Amerika Syarikat melalui kemenangan besar di West Virginia dan Ohio, mengukuhkan kedudukan mereka dalam Kongres.
Kemenangan itu menjadikan parti mantan Presiden Donald Trump semakin berpengaruh untuk menentang atau menyokong agenda yang akan datang, termasuk pelantikan hakim dan pegawai pemerintah.
Senat akan memberi kesan signifikan terhadap hala tuju Amerika termasuk potensi usaha Republikan untuk merombak semula Obamacare, menangani bahagian undang-undang cukai 2017 yang bakal tamat tempoh, serta mengelak kemungkinan kegagalan membayar hutang negara.
Kemenangan utama dicapai apabila calon Republikan Encik Jim Justice diunjurkan memenangi kerusi Senat di West Virginia, menggantikan Encik Joe Manchin, yang sebelum ini Demokrat tetapi bertukar haluan menjadi bebas.
Sementara itu, di Ohio, Republikan Encik Bernie Moreno menewaskan penyandang Demokrat, Encik Sherrod Brown.
Dengan dua kemenangan itu, Republikan menguasai sekurang-kurangnya majoriti tipis 51-49 di Senat dan beberapa kerusi lain yang masih dalam pengiraan mungkin menambah kelebihan mereka.
Di Dewan Perwakilan, Parti Republikan turut mencatatkan beberapa kemenangan awal dalam usaha mempertahankan majoriti mereka.
Kemenangan di daerah yang berpihak kepada Demokrat sebelum ini, seperti di Pennsylvania yang merupakan tempat kelahiran Presiden Joe Biden, menunjukkan perubahan sokongan.
Di North Carolina pula, Republikan berjaya memperolehi kerusi tambahan setelah membuat perubahan sempadan pilihan raya yang memihak kepada mereka.
Namun, Demokrat turut mencapai kejayaan tersendiri apabila memenangi kerusi Republikan di New York dan Alabama.
Di Alabama, sempadan kawasan undi telah diubah untuk memenuhi perintah Mahkamah Agung yang mahu mewujudkan daerah majoriti kulit hitam.
Demokrat kini memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi tambahan untuk menguasai Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 kerusi keseluruhannya.
Di Delaware, Sarah McBride mencipta sejarah sebagai ahli kongres transgender pertama dari Demokrat, membuktikan kepelbagaian yang semakin diterima dalam politik Amerika.
Dalam Senat, buat pertama kalinya dua wanita kulit hitam akan berkhidmat serentak, apabila Cik Lisa Blunt Rochester menang di Delaware dan Cik Angela Alsobrooks diunjurkan menang di Maryland.
Di Texas, penyandang Republikan Encik Ted Cruz diunjurkan untuk mempertahankan kerusinya, mengatasi saingan Demokrat Colin Allred.
Di Montana, Demokrat Jon Tester menghadapi persaingan sengit untuk mempertahankan kerusinya.
Sementara itu, di Nebraska, Senator Republikan Deb Fischer berdepan cabaran hebat daripada calon bebas Dan Osborn.
Bagi Dewan Perwakilan, hasil akhir mungkin tidak dapat diketahui selama beberapa hari, khususnya di negeri yang padat seperti New York dan California yang mengambil masa lebih lama untuk mengira undi.
Penganalisis menyatakan, walaupun Demokrat mempunyai peluang untuk memenangi cukup kerusi bagi menguasai Dewan, namun tiada tanda-tanda “gelombang besar” yang dapat memastikan perubahan kuasa yang ketara.
Kemenangan Republikan di Senat mungkin akan memberi kesan kepada dasar negara, memandangkan majoriti kecil itu memungkinkan Parti Republikan untuk menyokong agenda konservatif Encik Trump atau menyekat agenda Demokrat yang diterajui oleh Cik Kamala Harris. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg