HULU KELANG: Pakatan Harapan (PH) mengingatkan pengundi Selangor supaya tidak ‘melayan’ pengkhianat dan memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dimenangi calon PH.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pengundi DUN Hulu Kelang diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan dikecapi setakat ini.
“Saya kenang sejarah Melayu yang menyebut orang yang khianat harus pertama sekali dihukum mati dengan disula.
“Anak muda mungkin tidak tahu apakah hukuman sula. Selepas itu (dihukum sula), rumah dibakar hangus dan tapak tanah rumah itu dicangkul serta dicampak ke laut,” katanya ketika berucap pada Program Ceramah Mega Perpaduan DUN Hulu Kelang di Taman Permata, Selangor, pada Ahad malam.
Turut hadir, Pengarah Komunikasi PH, Encik Fahmi Fadzil; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam; dan Ahli Parlimen (AP) Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Hannah Yeoh.
Datuk Anwar berkata pengajaran daripada hukuman itu ialah dalam sejarah Melayu, anak Melayu diajar tidak melayan dan melarang pengkhianat dalam kalangan mereka.
“Jadi, sesiapa yang melompat parti (mengkhianati), kita akan lingkupkan (kalahkan) mereka,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Malaysia.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 kali ini, PH mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Cik Juwairiya Zulkifli, untuk merebut kerusi DUN Hulu Kelang.
“Saya tak boleh janji lebih sebab ini kempen pilihan raya, tetapi kalau Cik Juwairiya menang di sini (Hulu Kelang), nanti saya beri dia akses terus kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg