Mungkin ada pengunjung di Masjidil Haram, Makkah, sering tertanya-tanya mengapa lantai marmar putih berkilauan yang mengelilingi Kaabah kekal sejuk walaupun pada hari paling panas.
Ada yang mendakwa ia kerana pemasangan paip air sejuk tersembunyi di bawah lantai, namun tidak ramai yang tahu sebab sebenarnya terletak pada pilihan marmar berkenaan.
Menurut satu rencana yang disiarkan laman Arab News, marmar itu diambil dari Thassos. iaitu pulau timur Greece, berhampiran Kavala di Laut Aegean.
Ia mempunyai salah satu ciri paling jarang ditemukan dalam batu jenis itu. Putih tulen dan mempunyai pantulan cahaya yang tinggi, marmar Thassos - kadang-kadang dipanggil marmar ‘putih salji’, marmar ini mempunyai salah satu penyerapan haba yang paling rendah berbanding mana-mana marmar, lapor laman Harian Metro.
Arab News yang memetik pembekal marmar India, RMS Marble, menyatakan marmar ini berharga sekurang-kurangnya antara AS$250 ($335.48) dan AS$400 untuk setiap meter persegi.
Selama beberapa dekad, Arab Saudi mengimport marmar unik ini untuk kegunaan eksklusif di dua masjid suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, bagi memberikan kelegaan dan mengelakkan suhu permukaan yang tidak selamat. Ia kerana pengunjung masjid dikehendaki masuk tanpa alas kaki.
Menurut Arab News, sekeping marmar itu yang digunakan di Masjidil Haram adalah setebal lima sentimeter dan apa yang menyerlahkannya ialah keupayaannya menyerap lembapan melalui liang halusnya pada waktu malam dan melepaskan lembapan itu pada siang hari, menjadikannya lebih sejuk di bawah suhu tinggi.
Marmar Thassos juga mempunyai tahap pemantulan suria yang tinggi dan kadar pengaliran haba tinggi, berbanding batu kapur, satu lagi batu yang biasa digunakan dalam seni bina Islam.
Oleh itu, ciri unik pada marmar ini membolehkan lantai di Masjidil Haram kekal sejuk walaupun cuaca panas terik yang boleh mencapai antara 50 dengan 55 Celsius pada musim panas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg