Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 3j anggota jemaah penuhi Masjidil Haram pada malam 23 Ramadan

Mar 24, 2025 | 10:47 AM
Ramai umat Islam yang menunaikan ibadah umrah merebut peluang beribadah pada malam-malam terakhir bagi merebut keberkatan bulan suci seperti yang dirakam di Masjidil Haram pada malam ke-21 Ramadan.
Ramai umat Islam yang menunaikan ibadah umrah merebut peluang beribadah pada malam-malam terakhir bagi merebut keberkatan bulan suci seperti yang dirakam di Masjidil Haram pada malam ke-21 Ramadan. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

MAKKAH: Lebih 3 juta anggota jemaah berhimpun pada siang hari ke-22 dan malam ke-23 Ramadan, bagi memanfaatkan malam-malam terakhir yang dianggap paling mulia dalam bulan penuh keberkatan ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan bahawa pada siang 22 Ramadan sahaja, jumlah anggota jemaah yang menunaikan solat subuh mencecah 592,100 orang; diikuti dengan 518,000 anggota jemaah untuk solat zuhur; 547,700 untuk asar; 710,500 ketika maghrib, dan 732,700 bersolat isyak dan tarawih secara berjemaah di Masjidil Haram.

“Malam-malam ganjil terakhir Ramadan merupakan waktu yang sangat ditunggu-tunggu.

“Ramai yang berharap dapat meraih keberkatan lailatulqadar, yang ganjarannya lebih baik daripada 1,000 bulan,” kata Menteri Haji dan Umrah, Encik Tawfiq Al-Rabiah, menerusi satu kenyataan rasmi.

Dalam tempoh yang sama, seramai 662,500 anggota jemaah umrah memasuki Masjidil Haram melalui pelbagai pintu utama.

Pintu Raja Abdul Aziz mencatat jumlah tertinggi iaitu 235,800 anggota jemaah; diikuti Bab Al-Umrah (111,400); Pintu Raja Fahd (172,700); Bab Al-Hudaybiyah (69,600); dan Bab Al-Salam (32,300).

Melihat kepada pertambahan luar biasa jemaah pada akhir Ramadan, pihak berkuasa telah mengaktifkan pelan operasi berskala besar bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh puncak ibadah ini.

Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah meningkatkan keupayaan perkhidmatan secara menyeluruh.

Ini termasuk penambahan ribuan petugas dan peralatan pembersihan, penyediaan ribuan permaidani solat, penyelenggaraan tandas, penyemburan pembasmi kuman dan bekalan air zamzam tanpa henti.

“Kami memanfaatkan teknologi dan sistem pemantauan pintar bagi mengawal aliran jemaah.

“Tujuannya ialah memastikan pengalaman ibadah yang selamat, bersih dan teratur,” jelas seorang pegawai kanan pengurusan operasi Masjidil Haram kepada media tempatan.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada penyediaan juadah iftar yang diagihkan kepada jemaah di dalam dan sekitar Masjidil Haram.

Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) mendedahkan bahawa pihak berkuasa Masjidil Haram telah melaksanakan piawaian pemeriksaan ketat terhadap semua makanan berbuka yang dibawa masuk.

Pemeriksaan merangkumi aspek visual, kebersihan, tarikh luput, keadaan pembungkusan, serta kandungan bahan mentah.

Contoh makanan turut dihantar ke makmal khas untuk diuji secara mikrobiologi dan kimia, bagi memastikan ia bebas daripada pencemaran serta selamat untuk dimakan.

“Makmal kami memeriksa setiap contoh makanan agar jemaah dapat menikmati iftar tanpa risiko kesihatan.

“Ini adalah amanah yang kami pikul sepanjang Ramadan,” kata salah seorang pegawai makmal kepada SPA. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg