WASHINGTON: Mantan presiden Donald J. Trump melangkah ke hari pilihan raya dengan sokongan padu daripada penyokong tegar dan pengalaman bertanding bagi jawatan presiden sebanyak dua kali.
Walaupun menghadapi pertuduhan jenayah yang memberi kesan besar terhadap reputasinya, Encik Trump berjaya membina naratif perubahan yang kuat, memikat pengundi yang kecewa dengan kepimpinan Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris.
Menurut kajian ABC/Ipsos, 74 peratus rakyat berpendapat Amerika sedang menuju arah yang salah, satu statistik yang sejak 1980 sering menjadi petunjuk kekalahan parti yang memerintah.
Kemenangan bagi Encik Trump akan menambah tekanan kepada Cik Harris, yang dilihat pengundi sebagai kesinambungan kepada rekod Encik Biden.
Encik Trump dengan pintar menggunakan isu sensitif seperti ekonomi dan imigresen, menegaskan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik, walau data rasmi menunjukkan pertumbuhan 2.8 peratus dalam suku terakhir.
Menurut kajian New York Times/Kolej Siena, persepsi rakyat lebih penting dalam kempen ini, dengan 75 peratus pengundi berpendapat ekonomi dalam keadaan buruk.
Isu imigresen menjadi teras dalam kempen Encik Trump.
Beliau kerap menggambarkan kemasukan imigran haram sebagai ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.
Iklan kempennya sering menampilkan imej hitam putih pendatang yang cuba melintas sempadan atau menyebabkan kekacauan di bandar-bandar.
Encik Trump turut mencadangkan hukuman mati bagi migran yang membunuh anggota penguat kuasa undang-undang, sambil memberi amaran kepada penduduk pinggir bandar bahawa mereka berada dalam bahaya.
Kempen itu meraih sokongan pengundi yang bimbang tentang jenayah yang dikaitkan dengan pendatang dan menggambarkan keadaan tidak selamat bagi komuniti mereka.
Walaupun dakwaan Encik Trump sering dianggap keterlaluan, isu imigresen kekal penting, dengan 15 peratus pengundi berkata ia faktor utama dalam undi mereka.
Encik Trump turut dilihat berjaya meraih sokongan pengundi lelaki, terutama dalam kalangan lelaki kulit hitam dan Latino, dengan gaya kempen yang maco dan berkeyakinan tinggi.
Menurut kajian New York Times/Kolej Siena, Encik Trump mengatasi Cik Harris dalam kalangan pengundi lelaki 55 peratus berbanding 41 peratus.
Ini memberi kelebihan kepada beliau dalam kalangan pengundi yang cenderung kepada ekonomi yang berkembang pesat dan dasar yang dilihat lebih konservatif.
Encik Trump juga bijak mengeksploitasi isu hak transgender dalam kempen ini, mengkritik dasar parti Demokrat yang dilihat sebagai terlalu berhaluan kiri dalam isu budaya.
Kempen beliau menyebarkan video yang menunjukkan Cik Harris mengambil pendirian yang dianggap ‘woke’, atau ‘sensitif terhadap isu sosial’.
Sebulan sebelum pilihan raya, Encik Trump dan Republikan membelanjakan AS$65 juta ($85.7 juta) untuk iklan yang menumpukan kepada isu transgender, menurut analisis data pengiklanan firma media AdImpact.
Encik Trump berjaya mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan pengundi yang berasa negara mereka semakin kehilangan identiti konservatifnya.
Melalui strategi agresif dan retorik kuat, beliau berjaya mengatasi pelbagai cabaran, termasuk pandangan negatif dan tuduhan jenayah, untuk membuktikan pengaruh politiknya masih kukuh. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg