Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beri lebih tumpuan kepada komuniti Latin, Puerto Rico

Oct 30, 2024 | 3:03 PM
Penyokong bersorak untuk calon presiden Republikan, mantan Presiden Encik Donald Trump, semasa perhimpunan kempen di PPL Center pada 29 Oktober di Allentown, Pennsylvania.
Penyokong bersorak untuk calon presiden Republikan, mantan Presiden Encik Donald Trump, semasa perhimpunan kempen di PPL Center pada 29 Oktober di Allentown, Pennsylvania. - Foto AFP

PENNSYLVANIA: Calon presiden Republikan Donald Trump berkata beliau telah “melakukan lebih banyak untuk komuniti Puerto Rico daripada mana-mana Presiden” di tengah-tengah tindak balas berterusan terhadap kenyataan perkauman dan menghina yang dibuat dalam perhimpunan di New York baru-baru ini.

Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan seorang pelawak ketika berucap dalam kempennya di Medison Square, yang menyifatkan Puerto Rico sebagai “pulau sampah terapung”.

“Tiada siapa yang menyayangi komuniti Latin dan komuniti Puerto Rico lebih daripada saya,” kata mantan presiden Amerika Syarikat itu pada 29 Oktober, sekitar sejam selepas perhimpunan di Allentown, di Lehigh Valley, yang mempunyai populasi Latin yang cukup besar.

Menurut data banci Amerika, lebih 68,000 orang – lebih separuh daripada jumlah penduduk – di Allentown adalah Hispanik atau Latin.

Encik Trump sekali lagi memuji perhimpunan di Madison Square Garden, dengan berkata “cinta itu sukar dipercayai” dan menceritakan kisah berjela-jela tentang menonton roket SpaceX yang bertahan lebih lama daripada perbincangannya tentang Puerto Rico.

Ramai penceramah dalam kempennya itu, termasuk pegawai Puerto Rico, Encik Zoraida Buxó, menekankan warisan Puerto Rico.

Ia juga petanda usaha kempen Encik Trump untuk memenangi pengundi Puerto Rico di Pennsylvania, negeri medan pertempuran utama dalam pilihan raya yang bakal berlangsung 5 November.

Tinjauan pendapat menunjukkan persaingan sengit antara beliau dengan pesaingnya daripada Parti Demokrat yang juga Naib Presiden Cik Kamala Harris.

Seorang lagi penceramah di perhimpunan itu, Senator Marco Rubio, turut menyertai Encik Trump di atas pentas ketika bekas presiden itu berkongsi dengan orang ramai mengenai komen Presiden Joe Biden yang mengutuk kenyataan berbaur perkauman tentang Puerto Rico.

Sementara itu, mantan wanita pertama Amerika, Cik Melania Trump, tampil menolak serangan ke atas suaminya dengan menyatakan calon presiden Republikan itu “bukan Hitler”.

Mantan ketua staf Rumah Putih zaman Encik Trump, Encik John Kelly, telah memetik mantan bosnya sebagai berkata bahawa “Hitler melakukan beberapa perkara yang baik juga” dan beliau “mahukan jeneral seperti Adolf Hitler”.

Encik Trump telah menafikan membuat kenyataan itu dan memberitahu penyokong:

“Saya bukan Nazi. Saya bertentangan dengan Nazi.”

Dalam pada itu, Encik Steve Bannon, salah seorang “perancang strategi” di sebalik pergerakan sayap kanan Encik Trump, telah dibebaskan dari penjara pada 29 Oktober selepas menjalani hukuman selama empat bulan.

Encik Bannon yang dihukum penjara kerana menghina Kongres, meninggalkan penjara persekutuan di Connecticut dan segera melahirkan sokongan terhadap Encik Trump, menyerang pesaingnya dan menguatkan teori konspirasi pilihan raya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg