Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menlu Brics bincang hadapi tekanan perdagangan AS

Apr 29, 2025 | 1:57 PM
Dari kiri ke kanan: Penolong Menteri Luar Mesir, Duta Ragui El-Etreby; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Amiriah Arab Bersatu, Reem Al Hashimy; Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov; Menteri Luar Ethiopia, Gedion Timothewos; Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira; Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Indonesia, Sugiono; Menteri Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Ronald Lamola; Timbalan Menteri Diplomasi Ekonomi Iran, Sayed Rasool Mohajer; serta Setiausaha Hubungan Ekonomi India, Dammu Ravi bergambar bersama sebelum bermulanya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di Istana Itamaraty, Rio de Janeiro, Brazil.
Menteri-menteri luar dari blok perdagangan BRICS, yang kini terdiri daripada sepuluh negara termasuk Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, memulakan mesyuarat dua hari mereka di Rio de Janeiro.
Dari kiri ke kanan: Penolong Menteri Luar Mesir, Duta Ragui El-Etreby; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Amiriah Arab Bersatu, Reem Al Hashimy; Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov; Menteri Luar Ethiopia, Gedion Timothewos; Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira; Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Indonesia, Sugiono; Menteri Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Ronald Lamola; Timbalan Menteri Diplomasi Ekonomi Iran, Sayed Rasool Mohajer; serta Setiausaha Hubungan Ekonomi India, Dammu Ravi bergambar bersama sebelum bermulanya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di Istana Itamaraty, Rio de Janeiro, Brazil. Menteri-menteri luar dari blok perdagangan BRICS, yang kini terdiri daripada sepuluh negara termasuk Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, memulakan mesyuarat dua hari mereka di Rio de Janeiro. - Foto EPA-EFE

RIO DE JANEIRO: Menteri-menteri luar dari negara anggota Brics (Brazil, Russia, India, China dan AfrikaSelatan) mengadakan pertemuan dua hari di Rio de Janeiro bermula Isnin, 28 April dengan matlamat membentuk satu pendirian bersama dalam menghadapi dasar perdagangan agresif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pertemuan ini berlangsung pada saat genting buat ekonomi dunia, selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan unjuran pertumbuhan global akibat kesan tarif baru yang dilaksanakan oleh Washington.

Para diplomat kanan dari blok yang kini mempunyai 11 ahli — termasuk Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iran, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Amiriah Arab Bersatu — berkumpul untuk memperhalusi agenda menjelang sidang kemuncak pemimpin Brics pada bulan Julai.

Menteri Luar Brazil, Encik Mauro Vieira, menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh dialog antarabangsa. “Dalam keadaan krisis kemanusiaan, konflik bersenjata, ketidakstabilan politik dan hakisan multilateralisme, peranan Brics sebagai satu kumpulan menjadi lebih penting daripada sebelumnya,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Encik Trump mengenakan tarif 10 peratus ke atas puluhan negara, dengan China menjadi sasaran utama apabila banyak produknya dikenakan tarif setinggi 145 peratus.

Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif balas sehingga 125 peratus ke atas barangan dari Amerika Syarikat. Di Beijing, perancang ekonomi kanan China, Encik Zhao Chenxin, menyatakan bahawa negaranya berada di “pihak yang benar dalam sejarah” menghadapi apa yang beliau labelkan sebagai “unilateralisme dan pembulian oleh Washington.”

Ditubuhkan pada 2009 oleh Brazil, Russia, India dan China, Brics kini merangkumi hampir separuh daripada populasi dunia dan 39 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. Pengaruh kumpulan ini semakin berkembang, termasuk dalam isu-isu seperti Ukraine, Gaza dan perdagangan dunia.

Dalam ucapannya, Encik Vieira turut menggesa “pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza,” dan menyifatkan sekatan bantuan ke atas wilayah tersebut yang telah berlarutan lebih 50 hari sebagai “tidak dapat diterima.”

Berhubung perang di Ukraine, Brics mengambil pendekatan lebih berhati-hati, menyeru kepada perdamaian tanpa secara langsung mengecam pencerobohan Russia. Encik Vieira menekankan keperluan untuk “penyelesaian diplomatik yang menghormati prinsip dan matlamat Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”

Pertemuan Brics ini juga berlangsung ketika Amerika Syarikat menyifatkan minggu ini sebagai “minggu penting” dalam usaha menamatkan perang di Ukraine. Selepas bertemu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky semasa upacara pengebumian Paus Francis, Encik Trump menyatakan bahawa beliau merasakan Presiden Rusia, Vladimir Putin, “sekadar mempermainkannya.”

Sebagai tindak balas, Encik Putin mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei. Namun, Rumah Putih menganggap langkah itu tidak mencukupi, dengan kenyataan bahawa “Trump mahukan gencatan senjata kekal terlebih dahulu” sebelum mempertimbangkan sebarang kemajuan.

Pada masa sama, Encik Trump turut meningkatkan tekanan ke atas Kyiv supaya meninggalkan aspirasi untuk merampas semula Crimea yang telah  dirampas dan dikuasai Russia.

Satu lagi isu utama dalam rundingan kali ini ialah cabaran Brics terhadap dominasi dolar Amerika Syarikat. Pada 2024, blok ini membincangkan usaha meningkatkan transaksi menggunakan mata wang nasional masing-masing, yang mengundang ancaman dari Encik Trump yang mengugut mengenakan tarif 100 peratus jika mereka mengurangkan kebergantungan kepada dolar.

Bercakap kepada akhbar O Globo Brazil sebelum mesyuarat, Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, berkata bahawa negara-negara Brics merancang untuk “meningkatkan penggunaan mata wang nasional dalam urusan perdagangan,” tetapi menegaskan bahawa perbincangan mengenai mewujudkan mata wang bersama Brics masih dianggap “belum masanya.”

Encik Vieira turut menafikan bahawa Brazil bercadang untuk mencipta mata wang baru, sambil menyatakan bahawa eksport Brazil ke Amerika Syarikat hanya dikenakan tarif 10 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar yang dikenakan ke atas China.

Isu perubahan iklim dijangka menjadi sebahagian penting dalam kenyataan bersama yang akan dikeluarkan selepas mesyuarat ini. Brazil, sebagai tuan rumah Persidangan Iklim COP30 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal berlangsung di Belem, Amazon pada November, berusaha untuk meletakkan agenda iklim sebagai keutamaan Brics tahun 2025 ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg