KUALA LUMPUR: Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam Brics sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan dunia.
Menurut kemas kini dari @BRICSInfo di X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baru ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai anggota penuh.
Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkey, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 28 Julai, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa negara itu telah menyerahkan permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan Brics.
Russia kini mempengerusikan blok berkenaan, yang turut dianggotai Brazil, India, China dan Afrika Selatan.
Pada 18 Jun, Datuk Anwar mengesahkan hasrat Malaysia menyertai Brics semasa perbincangan dengan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva.
Brics yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Russia, India, dan China, telah ditubuhkan pada 2009 sebagai wadah kerjasama bagi ekonomi sedang membangun, dengan Afrika Selatan menyertaimya pada 2010.
Sejak itu, blok tersebut telah berkembang untuk merangkumi Iran, Mesir, Habsyah, dan Amiriah Arab Bersatu.
Brics mewakili kira-kira 40 peratus penduduk dunia dan menyumbang kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) terkumpul sebanyak AS$26.6 trilion ($35.11 trilion), atau 26.2 peratus daripada GDP dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).
G7 pula ialah kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada tujuh ekonomi maju dunia, termasuk Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli, menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Brics Outreach/Brics Plus di Kazan, Russia, pada 24 Oktober.
Di acara itu, beliau melahirkan rasa percaya bahawa Brics boleh menjadi penyelesaian dan pengimbang kritikal, di tengah-tengah dunia sekarang yang mempunyai banyak pusat kuasa atau pengaruh.
Sekiranya negara anggota Brics dapat menggalak hubungan ekonomi yang lancar tanpa halangan antara negara, ia berpotensi berkembang atau meningkat dengan sangat cepat, ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg