JAKARTA: Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Uno menyambut ketibaan pertama pelancong asing dari Singapura, di Bandar Bentan Telani Por di Bintan, Kepulauan Riau, pada 1 Januari.
Pelancong asing disambut Encik Sandiaga, yang meletakkan kalungan bunga di leher dan tanjak, topi adat Melayu, diiringi Gabenor Kepulauan Riau, Encik Ansar Ahmad dan Ketua Daerah Bintan, Encik Robby Kurniawan.
“Kami mengalu-alukan kedatangan pertama pelancong asing ke Kepulauan Riau. Kami memastikan pelancongan di sini selamat, selesa dan menyeronokkan,” kata Encik Sandiaga semasa menyambut ketibaan pelancong itu.
Jelasnya, Kepulauan Riau merupakan wilayah yang mencatatkan kunjungan pelancong asing ketiga tertinggi di seluruh negara.
Wilayah ini menawarkan beberapa destinasi pelancongan, seperti Lagoi Bay dan Treasure Bay, Pantai Trikora, dan Bukit Pasir di Kampung Busung.
Perkampungan pelancongan Poyotomo dan Ekang Anculai di Bintan dan Kuil Patung Seribu di Tanjung Pinang, adalah lokasi lain yang menarik untuk pelancong di wilayah itu.
Beliau menyatakan program visa semasa ketibaan (VoA) percuma, yang dicadangkan oleh pemerintah Kepulauan Riau, kini dalam semakan oleh Kementerian Kewangan.
“Semoga perkara ini dapat direalisasikan, agar ia menjadi ‘hadiah Tahun Baru’ bagi Kepulauan Riau dalam meningkatkan kunjungan pelancong pada 2024,” katanya, dipetik akhbar Tempo.
Sementara itu, Gabenor Encik Ansar Ahmad menyatakan, kunjungan pelancong asing ke Kepulauan Riau sehingga Oktober 2023, mencecah lebih 1.2 juta.
Berdasarkan data Statistik Indonesia (BPS), beliau menyatakan kunjungan pelancong asing ke Kepulauan Riau sehingga akhir Disember 2023 mencecah 1.5 juta.
“Kami bersyukur kerana pelancongan Kepulauan Riau telah bertambah baik, dan kami berharap agar tiada lagi kegawatan ekonomi. Semoga jumlah pelancong dapat terus melonjak naik,” kata Encik Ahmad. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg