JAKARTA: Gunung Padang, sebuah tapak warisan yang terletak di Cianjur, Jawa Barat, kini kembali menjadi tumpuan perbincangan dan penyelidikan.
Sejak penemuan pertama pada awal abad ke-21, Gunung Padang, telah mencetuskan pelbagai pandangan daripada kalangan pakar arkeologi dan geologi berkenaan asal usul dan usia sebenar tapak itu.
Gunung itu dianggap piramid tersembunyi di sebalik bukit dan berkemungkinan menjadi piramid tertua di dunia.
Namun, penyelidikan dan kajian terhadap Gunung Padang terhenti pada 2014.
Dengan perubahan kepimpinan dalam Kementerian Kebudayaan Indonesia, menterinya, Encik Fadli Zon, melihat keperluan untuk meneruskan penyelidikan bagi mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan kepentingannya sebagai warisan budaya bangsa.
“Berkenaan Gunung Padang, kami akan meneruskan penyelidikan dan kajian kerana ia terhenti dalam jangka masa yang lama.
“Terdapat pelbagai pandangan daripada ahli arkeologi, dan saya rasa itu adalah perkara biasa.
“Malah, ia perlu dibincangkan dalam satu pertemuan yang melibatkan semua kumpulan yang terlibat,” ujar Encik Fadli pada 9 Januari dalam perbincangan umum yang diadakan oleh Kementerian Kebudayaan di Jakarta.
Perbincangan itu diadakan untuk membincangkan lanjutan penyelidikan mengenai tapak Gunung Padang.
Dalam sesi tersebut, Pengarah Perlindungan Warisan dan Tradisi, Dr Restu Gunawan, menekankan bahawa perbincangan itu merupakan langkah penting untuk merancang penemuan ulung yang baru dalam usaha melestari dan mengembangkan tapak warisan tersebut.
“Perbincangan ini bertujuan untuk mencari jalan terbaik dalam lanjutan kajian dan penyelidikan Gunung Padang kerana tapak ini memerlukan usaha bersama daripada pelbagai pihak untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Dr Restu Gunawan dalam laporan rasmi.
Encik Fadli turut menyatakan bahawa penyelidikan lanjut yang mendalam akan melibatkan kerjasama antarabangsa dengan mengundang pakar dari luar negara untuk menyertai kajian megalitik itu.
Beliau turut menegaskan pentingnya forum perbincangan antara pakar, pemerintah dan pihak berkepentingan untuk merangka penyelesaian terhadap permasalahan penyelidikan serta pelestarian tapak tersebut.
“Kita masih dalam tahap awal penyelidikan, sudah tentu jika kita ingin melaksanakan kajian lebih mendalam terhadap Gunung Padang ini, perlu adanya kerjasama dengan banyak lembaga dan pakar-pakar dari luar untuk menjalankan penyelidikan lanjut,” tambah Encik Fadli.
Tapak Gunung Padang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Budaya Nasional berdasarkan Keputusan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan pada 2014.
Menurut seorang ahli arkeologi, Dr Junus Satrio Atmodjo, Gunung Padang merupakan tapak warisan budaya megalitik yang terdiri daripada struktur bertingkat yang dibina atau diperbuat daripada batu keras berbentuk kayu balak dengan lima lapisan teras bertingkat.
“Tapak ini mempunyai lima teras yang disusun bertingkat, dan ia digunakan untuk memuja nenek moyang, di mana konsepnya adalah teras bertingkat,” ujar Dr Junus dalam perbincangan tersebut.
Selain Dr Junus, pakar geologi Dr Taqyuddin turut memberikan pandangannya mengenai nilai penting Gunung Padang sebagai tapak warisan budaya yang perlu dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang sebagai bukti kegemilangan peradaban Nusantara.
“Nilai-nilai penting ini akan menjadi rangsangan untuk usaha pelindungan dan pengembangan warisan budaya,” ujar Dr Taqyuddin.
Namun, kajian mengenai Gunung Padang tidak terlepas daripada kontroversi, terutama sekali berkenaan dakwaan tapak tersebut berusia lebih dari 25,000 tahun, seperti yang dicatat dalam kajian kontroversi Dr Danny Hilman Natawidjaja, dan pasukannya pada 2023.
Kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal, Wiley Online Library, menyatakan bahawa kebanyakan struktur di Gunung Padang dibina secara berperingkat selama ribuan tahun, dengan bahagian paling tua dipercayai dibina pada zaman glasial antara 25,000 dengan 14,000 sebelum Masihi (SM).
Mereka turut menyarankan bahawa struktur asal Gunung Padang berkemungkinan bermula sebagai sebuah bukit lahar semula jadi sebelum diubah suai oleh masyarakat waktu itu.
Bagaimanapun, pada Mac 2024, Wiley Online Library, mengeluarkan kenyataan bahawa kajian tersebut ditarik balik berikutan kebimbangan mengenai kesahihan data yang digunakan.
“Kajian itu mengandungi kesilapan besar kerana penanggalan karbon yang digunakan pada sampel tanah tidak berkaitan dengan mana-mana artifak atau ciri yang dapat diterjemahkan sebagai hasil kegiatan manusia,” kata penerbit dalam kenyataan rasmi mengenai penarikan kajian tersebut.
Walaupun kajian itu telah ditarik balik, Encik Fadli tetap yakin Gunung Padang berpotensi besar menjadi tapak arkeologi yang penting.
“Walaupun terdapat perdebatan, kita masih perlu mendalami dan menyelidiki tapak ini dengan lebih teliti.
“Sebagai contoh, piramid Giza di Mesir juga masih menjadi perdebatan, namun ia menarik 15 juta pelancong setiap tahun,” katanya, menekankan kepentingan untuk terus menyokong penyelidikan lanjut mengenai Gunung Padang.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Dr Danny, pakar geologi yang memimpin pasukan penyelidik tersebut, turut menyatakan bahawa penarikan balik kajian tersebut adalah sebahagian daripada sekatan.
“Penarikan balik kajian ini adalah bentuk penapisan.
“Kami yakin dengan penemuan kami dan akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak data mengenai prasejarah Indonesia,” kata Dr Danny kepada hadirin.
Dr Junus, yang telah mengkaji tapak tersebut sejak 1984, turut menambah bahawa penemuan artifak buatan manusia dan bukti pengaturan ruang yang kompleks di Gunung Padang menunjukkan kewujudan peradaban kuno.
“Gunung Padang merupakan satu keanehan dalam budaya prasejarah Indonesia. Ia bukanlah seperti piramid di Mesir, tetapi lebih kepada struktur bertingkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, pakar arkeologi Encik Ali Akbar yang turut terlibat dalam kajian yang ditarik balik itu menyatakan bahawa kajian yang dilakukannya telah menemui bukti-bukti artifak buatan manusia di tapak tersebut.
Namun, pakar arkeologi, Dr Lutfi Yondri, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut, menyuarakan kebimbangan mengenai keseragaman data yang digunakan.
“Lapisan budaya merupakan sempadan dalam penggalian. Jika tanah di tapak tersebut tidak mengandungi lapisan budaya, kita perlu menghentikan penggalian,” tegas Dr Lutfi.
“Sebagai orang awam, rasa ingin tahu ini sangat luar biasa, terutamanya mengenai tempat tersebut dan bila ia dibina... inilah jenis pertanyaan yang ingin kita dengar daripada sumber-sumber kita sendiri untuk memberikan jawapan kepada persoalan yang masih belum terjawab mengenai Gunung Padang,’’ tambah Encik Fadli. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg