LONDON: Britain dan sekutunya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mesti kekal di hadapan dalam “perlumbaan senjata Kecerdasan Buatan (AI) baru”, kata Menteri Pejabat Kabinet Britain, Encik Pat McFadden, pada 25 November.
Beliau memberi amaran bahawa penjenayah siber Russia semakin menyasarkan negara yang menyokong Ukraine.
Berucap pada Persidangan Pertahanan Siber Nato di London, Encik McFadden, mendedahkan rancangan Britain untuk menubuhkan satu makmal baru untuk keselamatan AI demi mencipta alat pertahanan siber yang lebih baik dan mengatur perisikan mengenai serangan.
Dalam amaran terbaru mengenai tindakan Moscow yang meningkatkan serangan siber ke atas negara yang menyokong Ukraine, Encik McFadden menyeru pakatan tentera, perniagaan dan institusi yang diketuai Amerika Syarikat agar melakukan “segala yang mereka boleh untuk mengunci pintu digital mereka sendiri”.
Ini perlu demi melindungi diri mereka daripada apa yang disifatkannya sebagai tindakan Russia yang semakin agresif.
“Perang siber kini menjadi realiti harian yang menyaksikan pertahanan kita sentiasa diuji,” katanya.
“Tahap ancaman mesti dipadankan dengan kekuatan keazaman kita untuk memeranginya dan melindungi rakyat dan sistem kita.
“Selama 75 tahun selepas penubuhannya, jelas sekali kita memerlukan Nato yang lebih padu daripada sebelumnya,” ujar beliau.
Moscow sebelum ini menafikan bahawa ia melakukan serangan siber, dan pegawainya telah melemparkan tuduhan sedemikian sebagai percubaan untuk menghasut sentimen anti-Russia.
Encik McFadden berkata AI boleh digunakan sebagai senjata terhadap negara-negara yang menyokong Ukraine sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, untuk meningkatkan apa yang disifatkannya sebagai realiti harian peperangan siber terhadap Britain dan sekutunya.
“AI sudah merevolusikan banyak bahagian kehidupan termasuk keselamatan negara.
“Tetapi semasa kita membangunkan teknologi ini, terdapat bahaya ia boleh menjadi senjata terhadap kita kerana musuh kita juga melihat cara menggunakan AI di medan perang fizikal dan siber,” kata beliau.
Peranan Encik McFadden sebagai Canselor Wilayah Lancaster termasuk tanggungjawab terhadap keselamatan negara dan siber Britain.
Makmal baru itu disokong dengan pembiayaan awal kerajaan sebanyak £8.22 juta ($10.3 juta), akan menghimpunkan pakar akademik dan kerajaan untuk menilai kesan AI terhadap keselamatan negara dan lebih memahami penggunaannya oleh Russia.
Encik McFadden menarik perhatian: “Jangan ragu-ragu. Britain dan orang lain di dalam bilik ini sedang memerhatikan Russia.
“Kami tahu dengan tepat apa yang mereka lakukan, dan kami menentang serangan mereka secara terbuka dan di belakang tabir.
“Itulah sebabnya kami menyokong Ukraine dalam perjuangannya untuk menentukan nasibnya sendiri.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg