LONDON: Ukraine telah melancarkan buat kali pertama peluru berpandu Storm Shadow buatan Britain ke atas wilayah Russia selepas mendapat lampu hijau daripada London, lapor media Britain pada 20 November.
Beberapa peluru berpandu dilancar terhadap sekurang-kurangnya satu sasaran tentera Russia, kata Financial Times, memetik seorang pegawai Barat yang tidak mahu namanya disiarkan.
Akhbar itu berkata sumber kerajaan Britain telah mengesahkan penggunaan peluru berpandu jarak jauh itu buat kali pertama.
The Guardian pula berkata Britain telah memberi kebenaran kepada Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu itu sebagai tindak balas kepada penempatan tentera Korea Utara oleh Moscow di sempadan.
Serangan itu juga dilaporkan secara meluas oleh wartawan Russia di Telegram dan disahkan oleh seorang pegawai dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Jurucakap Kakitangan Am Ukraine berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.
Penulis blog tentera Russia pro-Kremlin menulis bahawa kira-kira sedozen peluru berpandu Storm Shadow dilancarkan ke sasaran di wilayah sempadan Kursk, yang sebahagiannya dikuasai tentera Ukraine.
Media Ukraine menyiarkan rakaman video udara daripada dron yang menunjukkan beberapa siri letupan di kawasan yang kelihatan seperti sebuah estet negara, menamakan lokasi itu sebagai Maryino – tempat pentadbiran presiden yang mempunyai pusat penjagaan kesihatan atau sanatorium.
Media Ukraine melaporkan serangan itu mungkin menyasarkan pusat perintah tentera bawah tanah.
Moscow mahupun Kyiv tidak mengesahkan secara rasmi serangan peluru berpandu atau penggunaan Storm Shadow.
Serangan Ukraine itu berlaku selang beberapa hari Washington memberi kebenarannya untuk menggunakan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat (ATACMS) bagi menyerang wilayah Russia pada 19 November.
Serangan yang dilaporkan itu berlaku ketika Moscow cuba membalas serangan Ukraine kerana melepaskan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan Amerika ke atas wilayah Russia buat kali pertama.
Kremlin menuduh Presiden Amerika, Encik Joe Biden, sebagai telah mengheret peperangan.
Russia telah meningkatkan serangan peluru berpandu sejak beberapa hari kebelakangan ini, menyasarkan kawasan perumahan dan loji tenaga Ukraine.
Amerika berkata pada 20 November bahawa ia telah menutup kedutaannya di Kyiv selepas menerima “maklumat khusus mengenai potensi serangan udara yang ketara”.
Canada, Greece, Hungary, Italy dan Sepanyol, yang kesemuanya menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), juga mengambil langkah yang sama.
Kedutaan Amerika berkata pada 20 November bahawa ia akan dibuka semula pada 21 November, selepas “operasi diubah suai buat sementara waktu” kerana amaran “potensi serangan udara akan berlaku”.
Kedutaan Perancis tetap dibuka tetapi menggesa rakyatnya supaya berhati-hati.
Pegawai Ukraine mengkritik langkah yang jarang berlaku itu dan menyeru sekutunya supaya tidak menyebarkan ketakutan dalam kalangan penduduk Ukraine.
“Kami mengingatkan anda bahawa ancaman serangan oleh negara penceroboh malangnya telah menjadi realiti harian bagi rakyat Ukraine selama lebih 1,000 hari,” kata Kementerian Luar Ukraine.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata dalam ucapannya bahawa “mesej panik yang disiarkan semula” di media sosial “hanya membantu Russia”.
Kyiv telah bergelora selepas hampir tiga tahun berperang, dan kemenangan Encik Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika pada 5 November telah menyuntik ketidaktentuan baru.
Pemimpin Republikan itu telah berulang kali mengkritik sokongan Amerika terhadap Ukraine dan mendakwa beliau boleh menjadi perantara gencatan senjata dalam beberapa jam – komen yang telah mencetuskan kebimbangan di Kyiv dan Eropah tentang keupayaan Ukraine untuk membendung serangan Russia tanpa sokongan Amerika. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg