Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Indonesia: Gibran tiada ruang rayuan selepas sijil pendidikan dibatalkan mahkamah
Menteri Indonesia: Gibran tiada ruang rayuan selepas sijil pendidikan dibatalkan mahkamah
Menteri Undang-Undang Indonesia tegaskan keputusan mahkamah muktamad, ketika Gibran berdepan desakan pemecatan dan mahu meletak jawatan
Menteri Indonesia: Gibran tiada ruang rayuan selepas sijil pendidikan dibatalkan mahkamah
JAKARTA: Kedudukan Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, semakin terancam selepas Mahkamah Agung mengeluarkan alasan penghakiman yang membatalkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah beliau, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai kelayakannya memegang jawatan.
Keputusan bertulis yang dikeluarkan pada 10 November itu menjelaskan bahawa dokumen akademik yang dikemukakan Gibran tidak membuktikan beliau menamatkan pendidikan pada peringkat yang setaraf dengan sekolah menengah atas Indonesia.
Mahkamah turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah membatalkan sijil pengiktirafan kelayakan akademik yang digunakan Encik Gibran ketika mendaftar sebagai calon Naib Presiden dalam pilihan raya 2024.
Keputusan dalam kes bernombor 742 K/TUN/2026 itu dikeluarkan 11 hari selepas penghakiman dibuat pada 30 Oktober.
Menurut mahkamah, dokumen yang menjadi asas pengeluaran sijil berkenaan hanya mengandungi rekod kehadiran, keputusan akademik, penjelasan mengenai gred dan beberapa dokumen sokongan lain.
Bagaimanapun, dokumen tersebut tidak membuktikan Encik Gibran berjaya menamatkan satu peringkat pendidikan tertentu.
Mahkamah juga mendapati tiada bukti beliau memiliki diploma atau sijil pendidikan luar negara yang boleh dijadikan asas untuk mengiktiraf kelayakannya sebagai setaraf dengan sekolah menengah atas Indonesia.
Perkembangan itu menambah tekanan terhadap Encik Gibran, 39 tahun, yang sebelum ini menyatakan hasrat meletak jawatan kepada Presiden Prabowo Subianto dalam pertemuan selama dua setengah jam di Jakarta pada 10 November.
Bagaimanapun, Encik Gibran turut meminta peluang untuk mempertahankan kesahihan dokumen pendidikannya melalui proses undang-undang.
Namun, Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, menegaskan bahawa usaha tersebut tidak lagi membawa sebarang hasil.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan mengenai isu kelayakan pendidikan Encik Gibran sudah muktamad.
“Tidak ada gunanya. Keputusan Mahkamah Agung sudah muktamad kerana perkara yang dipertikaikan adalah sama,” katanya kepada wartawan di kompleks Istana Presiden, Jakarta, pada 10 November.
Encik Yusril menjelaskan bahawa kes berkenaan sudah melalui proses kehakiman di dua institusi mahkamah tertinggi Indonesia.
Beliau turut menegaskan bahawa Encik Gibran tidak mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kerana beliau tidak terlibat sebagai pihak dalam prosiding mahkamah sebelum ini.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Agung membatalkan tindakan pentadbiran pihak berkuasa pendidikan yang mengeluarkan sijil tersebut, bukannya keputusan terhadap Gibran sebagai pihak dalam kes berkenaan.
Oleh itu, Gibran tidak boleh merayu keputusan tersebut atas kedudukannya sendiri.
Sebelum ini, Encik Gibran menyatakan bahawa beliau mahu meneruskan tindakan melalui Mahkamah Pentadbiran Negara dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai kemungkinan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Agung.
Kes itu bermula apabila peguam Subhan Palal memfailkan saman mencabar kesahihan sijil penyetaraan pendidikan Gibran.
Saman tersebut pada mulanya ditolak Mahkamah Pentadbiran Negara Jakarta, manakala rayuannya turut gagal di Mahkamah Tinggi Pentadbiran Negara.
Bagaimanapun, Encik Subhan membawa kes itu ke Mahkamah Agung yang akhirnya memutuskan untuk menyebelahinya.
Encik Gibran, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi, menerima sebahagian besar pendidikan menengah dan pengajian tingginya di Singapura serta Australia.
Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU), beliau belajar di Sekolah Menengah Orchid Park di Singapura dari 2002 hingga 2004 sebelum melanjutkan pengajian di Insearch, sebuah kolej berkaitan University of Technology Sydney, dari 2004 hingga 2007.
Beliau kemudian mengikuti pengajian di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dan memperoleh ijazah sarjana muda pemasaran daripada Universiti Bradford, Britain, pada 2010 melalui kerjasama institusi tersebut dengan MDIS.
Pada 10 November Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, mengesahkan Encik Gibran menyatakan hasrat meletak jawatan ketika bertemu Presiden Prabowo.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada Presiden menerima permintaan itu.
Encik Gibran pula berkata Presiden Prabowo menasihatinya supaya terus mempertahankan kelayakan akademiknya melalui saluran undang-undang.
“Saya menghormati segala pandangan, kritikan dan cadangan masyarakat mengenai keadaan sekarang. Saya tidak mahu perkembangan ini menjadi kontroversi politik yang berpanjangan,” katanya.
Kontroversi itu turut mencetuskan usaha anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mengumpulkan sokongan bagi mengemukakan usul menyatakan pendapat, langkah yang boleh membuka laluan kepada proses pemecatan Encik Gibran.
Di bawah undang-undang MD3, sekurang-kurangnya 25 daripada 580 anggota DPR daripada lebih satu kumpulan parti perlu menyokong usul tersebut sebelum ia dibawa ke sidang pleno.
Jika diluluskan dengan majoriti yang ditetapkan, kes itu akan dirujuk kepada Mahkamah Perlembagaan sebelum Majlis Permusyawaratan Rakyat membuat keputusan akhir mengenai pemecatan.
Tekanan politik terhadap Gibran semakin meningkat ketika hubungan antara Presiden Prabowo dengan Jokowi, yang membantu beliau memenangi pilihan raya 2024, dilaporkan semakin renggang.
Tiga ahli politik kanan Parti Solidariti Indonesia (PSI), yang dipimpin adik Gibran, Encik Kaesang Pangarep, turut mengumumkan pengunduran daripada parti itu pada 9 November.
Di luar bangunan Parlimen di Jakarta, kumpulan penunjuk perasaan terus mendesak supaya Gibran meletak jawatan atau dipecat.
Penyelaras Gabungan Nasional Wanita Indonesia, Cik Meri Samiri, berkata kumpulannya sudah mengadakan bantahan selama 21 hari dan mengumpulkan tandatangan orang ramai yang menyokong pemecatan tersebut.
Menurutnya, rakyat Indonesia berhak mendapat pemimpin yang mempunyai kelayakan akademik yang sah serta integriti.
“Kami mahukan pemimpin yang mempunyai diploma yang sah,” katanya. – Agensi berita