Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri: Indonesia hanya akan eksport elektrik ke Singapura jika harga sesuai
Menteri: Indonesia hanya akan eksport elektrik ke Singapura jika harga sesuai
JAKARTA: Indonesia menegaskan bahawa rancangan mengeksport sehingga tiga gigawatt (GW) elektrik bersih ke Singapura mungkin tidak diteruskan dalam masa terdekat kerana keperluan tenaga domestik perlu diutamakan, selain menegaskan sebarang penjualan mesti mengikut harga yang ditetapkan Jakarta.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata negaranya tidak akan berkompromi mengenai harga eksport elektrik semata-mata untuk memenuhi permintaan Singapura.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan rakyat Indonesia mesti didahulukan sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai perdagangan tenaga dengan negara jiran.
“Selagi harganya sesuai dan mengikut harga yang kami tetapkan, eksport boleh diteruskan.
“Tetapi jika harganya tidak sesuai, kami akan mengutamakan keperluan domestik. Keperluan dalam negara mesti dipenuhi terlebih dahulu,” katanya di Kompleks Istana Presiden di Jakarta pada 2 November.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan kerjasama tenaga antara kedua-dua negara, khususnya perjanjian yang diumumkan pada Jun 2025 untuk membekalkan sehingga tiga GW elektrik bersih kepada Singapura.
Bekalan tersebut, yang sebahagian besarnya dijangka dijana menggunakan tenaga suria, bertujuan menyokong usaha Singapura mengurangkan pergantungan pada bahan api fosil.
Bagaimanapun, Encik Bahlil berkata Indonesia sendiri masih memerlukan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi permintaan domestik.
“Indonesia tidak boleh mengeksport elektrik dalam masa terdekat. Kami sendiri masih memerlukan elektrik. Bekalan belum mencukupi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen dan Pameran Mineral dan Arang Batu (Minerba Convex) 2026 di Jakarta.
Beliau turut mengingatkan agensi pelaburan negara, Danantara Indonesia, supaya tidak tunduk kepada sebarang usaha melobi bagi menurunkan harga eksport elektrik.
Menurutnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral sudah membuat pengiraan harga berdasarkan cadangan rasmi Indonesia.
“Jika harganya masih tidak sesuai, kita tidak boleh meneruskannya. Sebab itu saya meminta Danantara supaya tidak dipengaruhi usaha melobi untuk menurunkan harga,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kuasa mengeluarkan permit eksport terletak pada kementeriannya, bukannya Danantara.
“Kedaulatan negara mesti diutamakan. Maruah dan kehormatan negara mewakili 280 juta rakyat Indonesia,” tegasnya.
Pada Julai lalu, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, melantik Danantara sebagai agensi yang bertanggungjawab melaksanakan kerjasama perdagangan elektrik rentas sempadan dengan Singapura.
Pengumuman itu dibuat ketika pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, di Istana Negara, Jakarta, pada 6 Julai.
Ketika itu, Encik Prabowo menyifatkan kerjasama ekonomi sebagai tonggak penting hubungan dua hala, merangkumi perdagangan, tenaga dan hubungan antara pelbagai sektor.
Namun, pendirian terbaru Jakarta menunjukkan pelaksanaan projek tersebut masih bergantung pada persetujuan mengenai harga dan jaminan bekalan domestik.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Bahlil turut menggesa supaya Indonesia menghentikan amalan mengeksport sumber asli melalui negara perantara sebelum komoditi itu dihantar ke pasaran akhir.
Beliau mendakwa negara perantara memperoleh keuntungan daripada perdagangan komoditi Indonesia walaupun tidak terlibat dalam pengeluarannya.
“Sumber asli kita tidak sepatutnya lagi dihantar melalui negara lain. Jika kita mahu menghantar barangan ke China, ia perlu dihantar terus dari Jakarta ke China, bukan singgah di negara tertentu,” katanya.
Beliau mendakwa sesetengah negara hanya meletakkan cop pada barangan Indonesia sebelum mengisytiharkannya sebagai eksport negara mereka.
“Mereka hanya meletakkan cop pada barangan itu, kemudian mendakwa ia eksport negara mereka. Dari mana mereka mendapat barangan tersebut?” soalnya.
Walaupun tidak menamakan Singapura secara langsung, kenyataannya dibuat ketika hubungan perdagangan dan tenaga antara kedua-dua negara menerima perhatian berikutan beberapa pertikaian.
Encik Bahlil mendakwa negara perantara menikmati hasil cukai dan manfaat perdagangan, sedangkan Indonesia kehilangan sebahagian keuntungan daripada sumber aslinya.
Beliau berkata arahan sudah diberikan kepada pegawai kanan kementeriannya supaya penghantaran komoditi melalui negara perantara yang tidak diperlukan dihentikan.
“Indonesia ialah negara berdaulat dan tidak sepatutnya menerima arahan daripada negara lain,” katanya.
Kenyataan tersebut menyusuli dakwaan beliau bahawa sebahagian daripada 148 penghantaran gas asli cecair (LNG) Indonesia ke Singapura mungkin dijual semula kepada negara ketiga.
Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti mengenai penghantaran tertentu yang didakwa dieksport semula.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura sebelum ini menjelaskan bahawa syarikat perdagangan LNG yang berpangkalan di republik itu lazimnya mengurus urus niaga antarabangsa tanpa membawa bekalan secara fizikal melalui Singapura.
Menurut kementerian itu, Singapura merupakan hab perdagangan LNG antarabangsa yang menempatkan lebih 50 syarikat.
MTI turut menegaskan bahawa gas asli yang diimport melalui saluran paip dari Indonesia digunakan untuk keperluan domestik Singapura dan tidak dieksport semula.
Perkembangan itu berlaku ketika kedua-dua negara berdepan beberapa isu berkaitan bekalan gas, jerebu rentas sempadan dan perdagangan.
Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, yang mengunjungi Jakarta baru-baru ini, menggesa kedua-dua pihak mengutamakan dialog secara terbuka dan membina bagi menangani perbezaan pendirian.
“Penting untuk semua pihak kekal tenang, mengadakan perbincangan secara langsung, jujur, terbuka dan membina, serta mencari pendekatan bersama,” katanya. – Agensi berita