ASHDOD (Israel): Menteri keselamatan negara berhaluan kanan Israel menyiarkan video pada 20 Mei yang memaparkan aktivis flotila ke Gaza sedang melutut dengan tangan terikat dan dahi di atas tanah, mencetuskan kecaman antarabangsa.

Video itu, yang dikongsi di X oleh Encik Itamar Ben Gvir, diterbitkan selepas pasukan Israel memintas kapal flotila di laut dan mula menahan ratusan aktivis asing di pelabuhan selatan Ashdod.

Video itu dengan pantas mencetuskan kegemparan antarabangsa, Encik Ben Gvir sendiri dikritik oleh Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Encik Gideon Saar.

Dengan kekata “Selamat datang ke Israel”, rakaman itu menunjukkan berpuluh-puluh aktivis terpaksa berlutut dengan tangan terikat dan dahi di atas tanah.

Pada beberapa ketika, lagu kebangsaan Israel boleh didengari dimainkan di latar belakang.

Rakaman itu juga menunjukkan Encik Ben Gvir mengejek dan mengibarkan bendera Israel pada aktivis yang ditahan.

Perancis berkata ia telah memanggil duta Israel atas “tindakan yang tidak boleh diterima” oleh Encik Ben Gvir, manakala Madrid mengutuk layanan “kejam” terhadap aktivis dan berkata kuasa usaha Israel juga telah dipanggil sebagai tanda protes.

Menteri Luar Ireland, Cik Helen McEntee, berkata beliau terkejut melihat video itu dan menuntut pembebasan segera aktivis, antaranya ialah adik perempuan Presiden Catherine Connolly.

Italy dan Greece juga mengecam layanan terhadap aktivis tersebut dan menyeru pembebasan segera rakyat mereka, dengan Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, menuntut permohonan maaf daripada Israel.

Kementerian Luar Turkey berkata Encik Ben Gvir telah “sekali lagi secara terbuka menunjukkan kepada dunia mentaliti ganas pemerintah pimpinan Encik Netanyahu”.

Encik Ben Gvir juga menimbulkan kemarahan Encik Netanyahu, yang berkata tindakan menteri itu terhadap aktivis “tidak selaras dengan nilai dan norma Israel”.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa mengusir aktivis secepat mungkin,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Encik Saar juga mengecam Encik Ben Gvir di X, dengan mengayakan bahawa beliau telah “sengaja menyebabkan kemudaratan kepada negara kita dalam paparan yang memalukan ini – dan bukan buat kali pertama”.

Tetapi Encik Ben Gvir membalas Encik Saar di Parlimen dengan berkata: “Saya bangga menjadi menteri yang bertanggungjawab ke atas organisasi yang beroperasi menentang penyokong keganasan.

“Ya, akan ada pelbagai jenis gambar yang tidak disukai oleh Gideon Saar, tetapi saya fikir ia adalah sumber kebanggaan yang besar.”

Kira-kira 50 kapal Flotilla Global Sumud belayar dari Turkey minggu lalu dalam percubaan terbaru aktivis untuk melanggar sekatan Israel ke atas Gaza, selepas pasukan Israel memintas konvoi sebelumnya bulan lalu.

Pihak berkuasa Israel menyatakan 430 aktivis flotila itu sedang dalam perjalanan ke Israel, sementara kumpulan hak asasi menyatakan sebahagiannya telah tiba di pelabuhan Ashdod dan ditahan di sana.

Hamas, yang menyerang Israel pada 7 Oktober 2023 sehingga mencetuskan perang, berkata rakaman itu adalah bukti “sikap keji dan ganas” pemimpin Israel.

Kumpulan itu juga mengkritik pihak berkuasa Israel berhubung rakaman video itu. – AFP.