LONDON: Keputusan terkini oleh Britain dan Perancis untuk mengiktiraf negara Palestin bukan sahaja mencerminkan tindak balas dan dilihat sebagai reaksi terhadap krisis penderitaan kemanusiaan yang semakin memburuk di Gaza.
Ia malah turut mengangkat semula warisan sejarah kolonial yang telah membentuk landskap politik Asia Barat sejak lebih seabad lalu.
Walaupun tidak disebut secara langsung oleh mana-mana pemimpin, Perjanjian Sykes-Picot pada 1916, yang pernah membahagikan wilayah Uthmaniyah kepada zon pengaruh British dan Perancis, menjadi latar penting kepada pemahaman politik Barat terhadap Asia Barat.
Ketika Setiausaha Luar Britain, Encik David Lammy, mengisytiharkan bahawa negaranya akan mengiktiraf negara Palestin jika Israel enggan menerima gencatan senjata, beliau berkata Britain berbuat demikian dengan “tangan sejarah berada di atas bahu kami”.
Manakala rakan sejawatannya dari Perancis turut menekankan betapa sejarah telah lama meletakkan tanggungjawab moral kepada negara itu untuk menyokong penyelesaian dua negara yang adil.
Namun, kedua-duanya tidak menyebut langsung Perjanjian Sykes-Picot – satu perjanjian rahsia yang menjadi lambang keangkuhan imperialis Barat dalam mencorak sempadan wilayah Asia Barat mengikut kepentingan kolonial tanpa mempertimbangkan realiti sosioetnik dan aspirasi penduduk tempatan.
Perjanjian itu melakar sempadan yang memotong rentas masyarakat agama, etnik dan suku di wilayah yang kini merangkumi Israel, Lebanon, Syria dan wilayah Palestin.
Kepada ramai penduduk Arab, ia adalah pengkhianatan besar yang menyemai ketegangan berpanjangan di Asia Barat.
Pakar Sejarah Asia Barat Moden di Universiti Oxford, Profesor Eugene L. Rogan, berkata “sejarah ini sangat relevan”.
Beliau menambah: “Ia menunjukkan bahawa pelaku sejarah yang pernah melakukan kesilapan besar masih berpeluang untuk membetulkan tindakan mereka.”
Profesor Rogan melihat pengiktirafan negara Palestin oleh Britain dan Perancis sebagai langkah membina masa depan yang lebih lestari.
“Langkah ini membantu membuka laluan kepada bentuk kedamaian bersama yang boleh bertahan,” ujarnya.
Dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Lammy turut merujuk satu lagi dokumen penting iaitu Deklarasi Balfour 1917 yang menyokong pembentukan “tanah air bagi rakyat Yahudi di Palestin” tetapi dengan syarat tidak menjejas hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi.
“Hujahnya ialah sudah tiba masanya untuk menunaikan separuh kedua janji itu,” kata Profesor Rogan, merujuk kepada penderitaan rakyat Palestin yang kini kian terpinggir.
Profesor Rogan menegaskan bahawa ketika Deklarasi Balfour dilakar, empayar Britain masih menguasai dunia.
Namun hari ini, Encik Lammy beroperasi dalam realiti pascakolonial tetapi tetap menggunakan sejarah sebagai sandaran moral dan legitimasi politik.
Ironinya, Profesor Rogan menambah, sokongan awal Britain terhadap pembentukan negara Yahudi lebih berunsur strategik berbanding moral.
London mahu menubuhkan masyarakat proksi di Palestin untuk menghalang ancaman kepada Terusan Suez yang ketika itu merupakan nadi utama empayar Britain.
Namun, tidak semua pihak bersetuju bahawa pengiktirafan negara Palestin oleh Britain dan Perancis akan membawa kedamaian.
Sejarawan Israel-Amerika yang juga mantan Duta Israel ke Washington, Encik Michael B. Oren, berkata pengiktirafan tersebut hanya akan melambatkan penyelesaian konflik.
“Ia memberikan Hamas lebih sedikit insentif untuk menerima gencatan senjata,” katanya.
Menurutnya, tindakan negara Eropah lebih mencerminkan hasrat untuk mengembalikan pengaruh dan relevan di rantau yang suatu ketika dahulu berada di bawah cengkaman kuasa mereka.
“Tindakan ini membawa bayangan kegelisahan silam pascakolonial yang tidak pernah reda,” ujar Encik Oren.
Reaksi tegas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bersama barisan pegawai kanan Israel memperlihatkan bahawa langkah pengiktirafan negara Palestin oleh kuasa-kuasa Eropah bukanlah sekadar simbolik atau bersifat retorik.
Encik Netanyahu, yang kini semakin tertekan di peringkat antarabangsa akibat tindakannya dalam perang di Gaza, melihat pengiktirafan itu sebagai ancaman langsung terhadap kedudukan politik dan naratif keselamatan negaranya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 140 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Canada dan Malta, telah menyatakan sokongan terhadap Palestin sebagai sebuah negara merdeka – satu gelombang diplomatik yang mencabar pendirian keras Encik Netanyahu terhadap penyelesaian dua negara.
Perancis, walaupun kurang penglibatan langsung di Palestin selepas Perjanjian Sykes-Picot, pernah menjadi sekutu rapat Israel dari 1945 hingga 1967.
Hubungan itu dibentuk dalam konteks perjuangan kemerdekaan Algeria daripada penjajahan Perancis – konflik serantau yang diperkukuh oleh sokongan Presiden Mesir Gamal Abdel Nasser, terhadap gerakan nasionalis Algeria.
Perancis membekalkan jet pejuang Mirage dan teknologi nuklear kepada Israel, tetapi memutuskan bantuan ketenteraan menjelang Perang Enam Hari 1967 dan mula menyokong dunia Arab.
Mantan Duta Perancis ke Israel (2003-2006), Encik Gerard Araud, mengakui wujud sentimen curiga terhadap Perancis dalam kalangan masyarakat Israel.
“Sentiasa ada rasa ‘jangan percaya Perancis’,” katanya.
Namun sejak 1970-an, Perancis menjadi antara negara Barat pertama yang menjalin hubungan rasmi dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Menurut Encik Araud, langkah Presiden Emmanuel Macron kini untuk mengiktiraf Palestin membawa risiko politik dalaman.
“Perancis memiliki penduduk Yahudi dan Islam terbesar di Eropah Barat. Ia adalah keputusan yang berisiko tinggi,” ujarnya.
Meskipun suara Britain dan Perancis kian lantang, Eropah masih berpecah.
Ketika PBB meluluskan resolusi pada September 2024 agar Israel menamatkan pendudukan di Tebing Barat, hanya 13 negara Kesatuan Eropah (EU) yang menyokong, 12 berkecuali dan dua menolak iaitu Hungary dan Republik Czech.
Baru-baru ini, 28 negara demokratik, termasuk 20 anggota EU menggesa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.
Namun Jerman yang terperangkap dalam rasa bersalah sejarah holocaust enggan menyertainya walaupun mengiktiraf Palestin.
Dalam masa yang sama, penduduk Muslim di negara itu semakin lantang bersuara terhadap dasar luar yang dilihat terlalu pro-Israel.
Keputusan Britain dan Perancis membawa implikasi besar bukan hanya kepada dinamik Asia Barat, bahkan juga kepada kewibawaan moral Barat.
“Israel yang dahulu dianggap lahir daripada abu holocaust kini semakin dilihat sebagai pelaku keganasan moral,” tulis seorang penganalisis.
Pelan Israel, yang dikaitkan dengan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, untuk memindahkan dua juta rakyat Gaza ke Rafah sebagai ‘pengasingan kekal’ turut mencetuskan kritikan sejagat.
Walaupun Israel tampak semakin kebal terhadap tekanan antarabangsa, tekanan tersebut bukan sia-sia.
Masalah sebenar terletak pada Eropah yang masih gagal bersuara secara tekal.
Sebagai bekas kuasa penjajah, Britain dan Perancis kini diberi peluang menebus kesilapan sejarah mereka.
Namun, perubahan sebenar hanya boleh dicapai apabila pengiktirafan terhadap Palestin disusuli dengan tindakan tekal, dan bukan sekadar retorik dalam bayang Sykes-Picot.
“Jika Eropah benar-benar mahu membawa perubahan, mereka mesti bersatu dan bertindak dengan ketegasan,” kata Profesor Rogan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg