BERLIN: Eropah akan meningkatkan sokongan ketenteraan kepada Ukraine, kata Menteri Pertahanan Jerman dalam ikrarnya selepas perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Britain, Perancis, Italy dan Poland, mengenai cara memupuk kerjasama pertahanan ketika bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kembali ke Rumah Putih.
“Sasaran kami mestilah membolehkan Ukraine bertindak dalam kedudukan yang kuat,” kata Menteri Pertahanan Jerman, Encik Boris Pistorius, kepada wartawan pada 25 November di Berlin selepas menganjurkan mesyuarat kumpulan lima negara utama dalam pertahanan Eropah.
Pemilihan Encik Trump – yang dilihat kurang cenderung terhadap sokongan Amerika terhadap Ukraine – telah menambah tekanan ke atas Eropah untuk meningkatkan peranannya dalam memperkuat Kyiv sekiranya Washington, penderma terbesar setakat ini, mengurangkan bantuannya.
Bertemu beberapa jam selepas kemenangan Encik Trump diumumkan, Encik Pistorius dan Menteri Pertahanan Perancis, Encik Sebastien Lecornu, pada 6 November bersetuju mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan mereka.
Bercakap kepada wartawan, Menteri Pertahanan Poland, Encik Wladyslaw Kosiniak-Kamysz, mengulangi ikrar Encik Pistorius untuk memberi lebih banyak bantuan kepada Kyiv.
“Eropah mesti selaraskan usahanya dengan lebih giat, ia mesti mengharmonikan tindakannya, ia mesti menyasarkan lebih tinggi, untuk turut menjadi rakan kongsi yang baik untuk Amerika,” ujar beliau.
“Kami diwajibkan hari ini untuk menyatakannya dengan jelas – Eropah mesti meningkatkan usaha membantu Ukraine tetapi yang paling penting... apabila ia berkaitan dengan keselamatannya sendiri.
“Tanpa perbelanjaan yang lebih tinggi, tanpa kesedaran dalam setiap masyarakat Eropah tentang zaman kita berada kini, semuanya tiada apa-apa dan tidak bermakna,” tegasnya.
Pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang terletak di Wiesbaden, Jerman, akan mengambil alih penyelarasan bantuan ketenteraan negara Barat untuk Ukraine pada Januari, umum Encik Pistorius.
Langkah tersebut memang dijangkakan sejak beberapa bulan sebelumnya.
Penubuhan pejabat baru itu, digelar Bantuan dan Latihan Keselamatan Nato untuk Ukraine (Nsatu), dilihat secara meluas sebagai usaha melindungi mekanisme bantuan daripada sebarang gangguan oleh Encik Trump. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg