MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, memberi amaran bahawa Barat akan berperang secara langsung dengan Russia jika ia membenarkan Ukraine menyerang wilayahnya dengan peluru berpandu jarak jauh buatan Barat.
Jika serangan itu dilakukan, ia adalah satu langkah yang akan mengubah bentuk dan skop konflik itu, katanya.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, telah merayu kepada sekutu Kyiv supaya membenarkan Ukraine melancarkan peluru berpandu jarak jauh jenis ATACMS buatan Barat, termasuk Amerika Syarikat, ke dalam wilayah Russia untuk mengehadkan keupayaan Moscow melancarkan serangan.
Dalam beberapa komennya pada 12 September, Encik Putin berkata langkah sedemikian akan mengheret negara yang membekalkan Kyiv peluru berpandu jarak jauh terus ke dalam kancah perang.
Ini kerana data sasaran satelit dan laluan peluru berpandu itu perlu dilakukan oleh anggota tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kerana Kyiv tidak mempunyai keupayaan tersebut.
“Jadi ini bukan soal membenarkan rejim Ukraine menyerang Russia dengan senjata ini atau tidak. Ia adalah persoalan sama ada negara anggota Nato terlibat secara langsung dalam konflik ketenteraan atau tidak,” kata Encik Putin.
“Jika keputusan ini diambil, ia bermakna pelibatan langsung negara Nato, Amerika dan negara Eropah dalam perang di Ukraine.
“Ini akan menjadi penyertaan langsung mereka, dan ini sudah tentu akan mengubah inti pati, bentuk konflik ini dengan ketara,” tegasnya.
Russia akan dipaksa untuk mengambil apa yang disebut oleh Encik Putin sebagai “keputusan sesuai” berdasarkan ancaman baru itu.
Barat telah mengadakan perbincangan mengenai sama ada ia harus membenarkan Kyiv menggunakan senjata jarak jauhnya untuk menyerang Russia sebagai sebahagian daripada jawapan kepada apa yang dikatakan sebagai peningkatan perang oleh Moscow.
Russia menyerang Ukraine pada 2022, mencetuskan konfrontasi terbesarnya dengan Barat sejak Perang Dingin berakhir. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg